Di dalam memori kejatuhan UMNO hari ini, terlintas di fikiran saya untuk memikirkan tentang tentera Allah yang menyerang UMNO, walaupun ia bukan dari kalangan manusia sendiri. Sekiranya kita memerhati kepada sejarah serangan Abrahah terhadap Kota Mekah, Allah SWT telah menunjukkan kuasanya dengan menghantar burung-burung untuk menjahanamkan mereka. Walaupun Abrahah memiliki jentera tentera yang kuat.
Namrud, seorang pemimpin yang zalim dibunuh oleh seekor nyamuk yang masuk ke dalam telinganya, walaupun beliau mempunyai tentera yang ramai dan harta yang kaya. Karun, seorang kaya yang menjadi sumber kewangan Firaun, dimatikan oleh Allah SWT dengan ditelan oleh bumi yang merupakan makhluk Allah.
Tentera Jalut yang mempunyai sejarah kekuatan yang hebat, telah dikalahkan oleh Islam yang diketuai oleh Talut. Bilangan orang Islam yang sedikit telah menjadikan mereka berkeyakinan untuk mengalahkan Islam, tetapi Allah SWT telah menghantar tentera yang tidak dapat dilihat oleh mereka, sehinggakan mereka kalah seteruk-teruknya, walaupun mereka adalah tentera yang hebat ketika itu.
Firaun yang mendakwa dirinya tuhan, dimatikan oleh Allah dengan ditelan oleh tentera Allah, iaitu laut. Walaupun dia cuba menunjukkan ketuhanannya, namun, dia tetap mati dengan diserang oleh tentera Allah. Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, orang Islam mampu menghadapi tentera kafir di beberapa siri peperangan, kerana mendapat bantuan daripada tentera Allah SWT.
Ketika perang Badar, yang menyaksikan kekuatan orang Islam hanya 313 orang bertempur dengan orang kafir yang seramai 1050 orang lengkap bersenjata. Namun, orang kafir tetap tersungkur kerana tentera Allah SWT bukan hanya manusia yang sedikit itu.
Ketika perang Ahzab, tentera kafir yang telah bergabung dengan beberapa kekuatan besar, dan mampu mengepung orang Islam di kawasan madinah. Lalu Allah SWT menghantar tenteraNya yang berupa angin ribut untuk menjahanamkan semuanya sekali, walaupun pada mulanya mereka menyangka, mereka adalah yang terkuat.
Inilah hakikat sejarah yang telah diceritakan di dalam al Quran, Hadis, dan sejarawan Islam sendiri. Selain itu, pengkaji eropah juga turut mengakui kesahihan cerita ini di dalam jurnal-jurnal mereka. Sejarah yang telah diceritakan ini sepatutnya dijadikan pengajaran bagi UMNO hari ini. Mereka menyangka kekuatan polis yang mereka miliki mampu menyekat PR yang cuba menegakkan kebenaran.
Mereka juga menyangka bahawa media yang mereka kuasai mampu untuk melenyapkan kebenaran yang nyata. Mereka mampu untuk menyekat Harakah dan Suara Keadilan, tetapi mereka tidak mampu menyekat kebenaran yang bukan hanya pada dua makhluk itu sahaja. Mereka cuba menjahanamkan Plak Pokok supaya memori demokrasi itu tidak tersingkap, tetapi hakikat itu terus melekat di memori setiap insan.
Mereka juga menangkap dan menahan bloggers dan cuba membuat akta khusus untuk blog, namun, kebenaran itu tetap terserlah. Walaupun mereka menangkap semua bloggers, dan menghapuskan penggunaan internet di Malaysia sekalipun, Allah itu Maha Berkuasa. Tentera Allah SWT mampu menjahanamkan UMNO dalam sekelip mata, tetapi mereka masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertaubat.
Wahai UMNO, sedarlah sebelum terlambat, tentera Allah itu banyaknya tak terkira. Lidah yang ada pada mulut anda juga merupakan tentera Allah, dan bila-bila masa sahaja lidah itu akan menyerang anda. Hanya menanti arahan daripada Allah untuk menjahanamkan anda. Duit yang anda miliki juga adalah tentera Allah, dan ia menanti untuk menyerang dan menjahanamkan anda. Bertaubatlah sebelum terlambat.
Salam Perjuangan
Dr Fikrah
No comments:
Post a Comment