Tuesday, March 10, 2009

SI ZALIM YANG DILAKNAT



Allah SWT berfirman

Dan siapakah yang lebih zaim daripada orang yang mengada-ngadakan suatu pembohongan terhadap Allah? Mereka ini akan dihadapkan kepada Tuhan mereka (yang mereka bohongi), dan para saksi akan berkata, “orang-orang inilah yang telah berbohong terhadap Tuhan mereka”. Ingatlah, laknat Allah terhadap orang yang zalim. (iaitu) mereka yang menghalang dari jalan Allah, dan mengingini agar jalan tersebut bengkok, dan mereka itulah orang yang tidak percaya kewujudan Hari Akhirat (Surah Hud : 18-19)

Di dalam dua ayat al Quran ini, mengandungi banyak perkara yang perlu diperhatikan, dan ia jelas menunjukkan bahawa segala situasi tersebut berada di hadapan mata kita. Namun, masih ramai yang tidak menyedari, bahkan menuduh al Quran sebagai sesuatu yang kolot.

Pertama

Mahkamah Allah SWT yang diadili dengan penuh keadilan dan Allah tidak menzalimi sesiapapun, melainkan mereka yang menzalimi diri mereka sendiri. Orang yang ketika di dunia melakukan pembohongan terhadap Allah SWT, samada dengan menafikan kewujudan Allah SWT, menolak syariat Allah dan sebagainya. Mereka yang menafikan kewujudan Allah SWT seperti mereka yang langsung tidak mempercayai bahawa Allah SWT mampu untuk membalas segala kejahatan yang dilakukan. Mereka menyangka penghinaan mereka terhadap al Quran adalah satu perkara biasa, dan tidak mengganggu gugat kedudukan mereka.

Ketika golongan ini diadili di mahkamah Allah SWT, jutaan saksi yang didatangkan, tiada seorang pun yang dirasuah, dipolitikkan dan sebagainya sepertimana yang mereka mampu lakukan di dunia ini. Mereka dihadapkan terus di hadapan Tuhan yang ketika di dunia dahulu menjadi bahan ejekan dan penghinaan mereka.

Sekiranya di dunia, manusia yang menderhakai raja atau sultan sudah dianggap satu perbuatan yang terkutuk, tetapi, mereka dengan mudah menderhakai Allah setiap saat dan ketika. Mereka tidak merasakan bahawa kezaliman yang mereka lakukan itu, akan dibalas dengan balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan. Di mahkamah inilah mereka diadili dengan kesalahan mereka disaksikan oleh semua makhluk Allah, termasuk mulut mereka yang memberi arahan, tangan mereka yang mengatur rancangan jahat dan sebagainya.

Di dunia juga, sesiapa sahaja boleh mempolitikkan kes, dengan mengada-ngadakan sebuah kes untuk menzalimi seseorang. Bahkan saksi-saksi palsu yang didatangkan oleh orang yang zalim ini dirasuah, semata-mata untuk menjatuhkan seseorang. Tetapi di mahkamah Allah nanti, semua rakyat akan menjadi saksi terhadap semua kezaliman dan penganiyaan tersebut. Bahkan tiada seorang pun yang dirasuah, atau dipaksa untuk mengeluarkan kenyataan.

Kedua

Perkara kedua yang disebut oleh Allah SWT, adalah susulan dari perkara sebelumnya. Allah SWT menerangkan pula ciri-ciri orang yang zalim yang dimaksudkan. Di dalam ayat ini, digariskan sebanyak tiga ciri-ciri orang zalim yang mendapat laknat Allah SWT.

Pertama : Menghalang Jalan Allah

Jalan Allah SWT ialah jalan lurus yang menuju kebenaran. Kebenaran yang hakiki ialah pelaksanaan al Quran dan as Sunnah, menegakkan keadilan di muka bumi berlandaskan kedua-duanya dan sebagainya. Namun hari ini, terdapat golongan yang berusaha untuk menghalang daripada terlaksananya hukum Allah SWT. Mereka menghantar tentera mereka untuk menyekat daripada keadilan Allah SWT terlaksana.

Kedua : Berusaha Untuk Membengkokkan Jalan Tersebut

Selain dari itu, mereka juga berusaha untuk menjadikan Jalan Allah SWT tersebut bengkok, dengan berusaha agar orang lain mengingkari agama yang sebenar. Bermacam-macam usaha yang dilakukan agar orang lain menyangka Islam itu hanya pada nama, Islam itu kolot dan ketinggalan, Islam itu menyekat dan mengongkong, dan sebagainya. Inilah hasil usaha mereka untuk membengkokkan jalan Allah SWT.

Ketiga : Tidak Beriman Dengan Akhirat

Tidak beriman dengan akhirat boleh dilihat pada ciri-ciri mereka yang langsung tidak merasai bahawa kezaliman yang mereka lakukan di dunia ini dibalas di akhirat kelak. Mereka mengatakan “kenapa perlu takut untuk menolak hukum Allah? Kita ada polis!”. Mereka juga gila mengumpulkan harta berbukit-bukit tidak kira halal atau haram, seolah-olah mereka tidak sedar segala duit haram itu akan membakar mereka di akhirat. Mereka tidak percaya semua ini, dengan mengatakan “karut”.

Kesimpulan

Ketiga-tiga sifat inilah yang menunjukkan bahawa seseorang itu bergelar SI ZALIM YANG MENDAPAT LAKNAT ALLAH. Mereka dihakimi di mahkamah Allah SWT kerana kezaliman yang mereka lakukan. Bahkan mereka memiliki 3 sifat ini, dan mereka diazab oleh Allah SWT kerana mereka sendiri yang melakukannya. Mereka sendiri yang menghalang daripada terlaksananya hukum Allah, dan berusaha menyeleweng undang-undangNya. Mereka sendiri jugalah yang tidak memikirkan bahawa mereka akan dibalas di akhirat kelak.

Sedarlah wahai orang zalim yang mendapat laknat Allah. Bukan sahaja bergelar penderhaka Allah SWT, bahkan mendapat laknatNya pula. Selama hidup di dunia ini, mereka boleh melakukan apa sahaja kekejaman, ini kerana mereka sendiri yang membenci Agama Islam. Sekiranya orang-orang barat menghina Nabi Muhammad SAW dengan lukisan, tetapi di Malaysia orang-orang ini menghina undang-undang Allah SWT dengan mulut mereka! Bukankah orang-orang ini lebih jahat daripada orang-orang barat?

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment