Friday, May 1, 2009

SEJARAH TELAH MENCERITAKAN TENTANG DUA PUAK DALAM PAS (Siri 1)

Setelah berlalu hampir seminggu isu hangat tentang kewujudan beberapa puak dalam PAS, saya rasa terpanggil untuk mengajak pembaca budiman meneliti sejarah yang pernah berlaku dalam Islam sendiri. Sememangnya apa yang pernah terjadi haruslah dijadikan pengajaran buat kita yang pernah membaca sejarah-sejarah tersebut.

Pepatah Arab berbunyi,…

“Siapa yang tidak membaca sejarah, dia tidak akan dapat mencipta sejarah…”

Sejarah telah menceritakan perpecahan umat Islam seawal zaman Khalifah Uthman al Affan lagi. Di mana ketika itu wujud pelbagai pihak di dalam Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan pandangan pimpinan tentang kenaikan Khalifah Uthman. Lalu, kebencian ini membarah sehinggalah Saidina Uthman sendiri dibunuh oleh mereka yang mengaku Islam.

Lalu, timbullah dua pandangan yang kedua-duanya betul, iaitu Saidatina Aisyah dan Saidina Ali KAW. Kedua-dua ahli keluarga Nabi Muhammad SAW ini mempunyai pandangan yang berbeza antara satu sama lain. Saidatina Aisyah mengatakan bahawa kita mesti melaksanakan qisas (bunuh balas) terhadap pembunuh Saidina Uthman dengan segera kerana bimbangkan masalah lain akan tercetus.

Manakala Saidina Ali KAW pula berpendapat supaya kita perlu melantik khalifah dahulu kerana khalifah itulah yang akan melaksanakan qisas. Lalu terhasillah dua pandangan yang berbeza. Maka Saidina Ali KAW menerima aduan daripada orang Islam ketika itu, yang ingin seseorang mengetuai mereka. Lalu, untuk menyelesaikan perkara ini, beliau telah bertindak sebagai ketua sementara, menanti pelantikan khalifah.

Lalu, datang pula golongan lain yang meminta beliau supaya melaksanakan qisas terhadap pembunuh Saidina Uthman, tetapi beliau enggan melakukannya kerana menanti pelantikan khalifah. Khalifah yang dilantiklah yang akan melangsaikan perkara tersebut. Begitu juga Saidatina Aisyah sendiri yang datang menemuinya secara baik untuk menuntut bela ke atas pembunuhan tersebut.

Tanpa disedari, pihak munafik sudah berjaya menghidu ruang untuk mereka menyelinap ke dalam kesatuan Islam ketika itu. Lalu mereka memainkan isu sehinggalah berlakunya fitnah di kalangan masyarakat. Masyarakat yang tidak tahu menahu tentang hal tersebut, mula membuat spekulasi sendiri sehingga membarahkan lagi fitnah tersebut.

Isu hangat itu sama sahaja dengan apa yang sedang berlaku hari ini. Tok Guru Haji Hadi mempunyai pandangan yang berbeza dengan Tok Guru Nik Aziz, dan kedua-duanya ulama’. Lalu, muncullah golongan munafik hari ini, yang “bertugas” sebagai pembakar isu supaya ia menjadi hangat. Kalau dahulu, orang munafik diketuai oleh Abdullah bin Saba, tetapi hari ini,…. Entah…..

Oleh itu, golongan munafik ini yang sudah lama “bertugas” sebagai pengapi-api isu, muncul sekali lagi ketika isu perbezaan pandangan Saidina Ali dan Saidatina Aisyah tercetus. Mereka mula bertindak sebagai pemberita-pemberita, pengulas isu, dan sebagainya. Sama sahaja seperti yang terjadi hari ini. Media-media dan beberapa individu mengambil kesempatan ini untuk menjatuhkan Islam. Masing-masing mengaku bahawa merekalah orang yang menjuarai isu. Sama sahaja dengan Abdullah bin Saba sendiri yang mendakwa bahawa beliau begitu perihatin dengan masalah dalam Islam….

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment