Monday, June 8, 2009

FILEM “PEREMPUAN BERKALUNG SERBAN” MENYUNTIK FAHAMAN FEMINISME

Sebuah filem yang sedang tersebar di Malaysia hari ini, “Perempuan Berkalung Serban”, yang telah diterbitkan oleh perfileman Indonesia, jelas mempunyai objektif penyesatan yang hebat. Anda boleh dapatkan sendiri filem tersebut, atau melarang anak-anak anda daripada menontonnya. Ini kerana fahaman yang dibawa daripada filem tersebut adalah feminism.

Feminisme adalah pemikiran yang memperjuangkan hak kebebasan wanita. Bahkan di dalam filem tersebut menonjolkan bahawa pusat pengajian pondok ini menyekat kebebasan wanita, mengongkong dan sebagainya. Seolah-olah wanita itu dipenjarakan oleh Islam. Secara jujur saya sebut, filem tersebut bertujuan merosakkan pemikiran manusia, dan memburuk-burukkan Islam.

Adakah Islam mengongkong, memenjarakan wanita? Orang bodoh sahaja yang berkata demikian. Memang benar, Islam mendidik wanita, supaya wanita tidak bebas melakukan kejahatan. Ini kerana Islam memelihara wanita daripada bebas melakukan kejahatan. Dalam erti kata lain, menghalang daripada wanita bebas menjerumus dalam kejahatan.

Filem tersebut menggambarkan bahawa wanita diharamkan menjadi pimpinan, tidak dibenarkan menyambung pelajaran ke pengajian tinggi, meredhai kekejaman suami dan sebagainya. Sebaliknya itu hanyalah rekaan terhadap Islam. Islam bukan seperti yang digambarkan di dalam filem tersebut.

Tentang aurat, Islam menjaga harga diri wanita daripada aurat mereka yang bernilai itu, didedahkan di hadapan khalayak ramai. Kepimpinan pula, Islam membenarkan perempuan menjadi pimpinan, tetapi yang pastinya, pimpinan tertinggi adalah lelaki. Islam tidak menyekat wanita untuk menyambungkan pelajaran, selagi mana pelajaran tersebut tidak bercanggah dengan Islam.

Filem tersebut menggambarkan juga bahawa pusat pengajian pondok mengharamkan perempuan daripada belajar menulis, membaca buku dan sebagainya. Mana mungkin Islam sedemikian rupa. Ramai sahaja penulis Islam dari kalangan perempuan. Membaca buku juga dibenarkan oleh Islam, bahkan digalakkan selagi mana buku tersebut mengandungi ilmu dan tidak tersimpang dari kebenaran.

Islam meletakkan wanita di bawah suami, menunjukkan bahawa suami bertanggungjawab terhadap isterinya. Menzalimi isteri bukanlah ajaran Islam sepertimana yang digambarkan di dalam filem tersebut. Filem tersebut menggambarkan seorang wanita yang dianiaya oleh suaminya yang memiliki sijil sarjana dalam pengajian Islam, sedangkan Islam bukan sedemikian teruknya.

Bahkan isteri dibenarkan untuk meminta cerai daripada suami sekiranya benar suaminya berlaku zalim terhadapnya. Tetapi, isteri diharamkan berlaku curang terhadap suami sekiranya suami tersebut tidak menzaliminya! Hari ini, sekawan isteri menuntut cerai terhadap suami sewenang-wenangnya, sedangkan mereka sendiri yang menzalimi diri mereka. Persoalan poligami akan diterangkan kemudian, insya Allah.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment