Sunday, April 26, 2009

PMRAM MENJELASKAN ISU PENGISLAMAN RIDZUAN

Sumber : www.pmram.org

1. PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

1. Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).

2. Hak penjagaan anak.

3. Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.

Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah.

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah.

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Baca seterusnya

No comments:

Post a Comment