Sunday, April 26, 2009

ROMBAKAN PIMPINAN UMNO, STRATEGI ATAU KECACATAN? ATAU STRATEGI YANG CACAT?


Semalam, berita telah menyiarkan bahawa Najib akan membuat rombakan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO. Kata Muhyiddin, ia adalah untuk memperkukuhkan parti, tetapi sejauh manakah kebenarannya? Atau ia hanya retorik yang bersahaja dan tidak berasas? Di dalam menjelaskan “sebab” perubahan ini, suka untuk saya lampirkan contoh yang sesuai dengan situasi ini.

Contoh tersebut ialah perlawanan bolasepak. Beberapa ketika, jurulatih akan membuat beberapa penukaran pemain, dan sedikit perubahan strategi. Memang benar, ia adalah bertujuan untuk memperhebatkan rentak perlawanan. Tetapi, tidak dinafikan juga, jurulatih terpaksa berbuat demikian kerana melihat bahawa wujudnya rompongan yang terdapat di dalam pasukan tersebut ketika perlawanan.

Ya, sudah pasti, tindakan “memperkukuhkan” sepertimana yang didakwa Muhyiddin, adalah tindakan untuk menampal rompongan tersebut. Mana mungkin sekiranya pasukan UMNO sudah benar-benar hebat, tidak perlulah membuat tindakan pengukuhan tersebut. Itulah hakikatnya, mereka melihat bahawa UMNO hari ini sedang mengalami rompongan yang besar dan teruk!

Oleh itu, Najib terpaksa mengambil tindakan menampal rompongan tersebut sepertimana seorang jurulatih bolasepak menukarganti pemain, kerana melihat bahawa rompongan dan kekurangan terdapat di dalam pasukannya. Apakah rompongan yang terdapat di dalam UMNO? Teruk manakah rompongan tersebut?

Perubahan pucuk pimpinan parti adalah satu perkara yang jarang berlaku di dalam UMNO sendiri. Kenapakah ia dibuat? Ini kerana UMNO hari ini sudah mengalami rompongan yang agak teruk. Terpaksa mengubah kedudukan pucuk pimpinan tertinggi. Seolah-olah seorang jurulatih bola sepak itu menukar kedudukan penjaga gol, menjadi seorang penyerang!

Adakah ia berpunca dari masalah dalaman UMNO sendiri? Mungkin juga. Tetapi hakikatnya mereka sahaja yang tahu masalah rumah tangga mereka. Mereka terlupa bahawa masalah rumah tangga mereka ini menjadi bualan orang ramai. Dan orang pasti tertanya-tanya, apakah punca masalah tersebut. Masing-masing hairan dan pelik, kenapakah pimpinan tertinggi UMNO terpaksa diubah?

Pertanyaan ini hanya dijawab oleh Muhyiddin bahawa ia adalah tindakan mengukuhkan parti, tetapi masih ramai yang tertanya-tanya, sejauh manakah kebenaran kata-kata Muhyiddin itu? Jawapannya itu meragukan banyak pihak dan dia tidak lagi dipercayai. Saya yakin, ramai yang berpandangan bahawa ia berpunca daripada masalah dalaman UMNO sendiri.

Ini kerana beberapa sebab, yang menampakkan ia berpunca daripada masalah dalaman tersebut. Contohnya, seseorang (bukan doktor) telah mendapati bahawa suhu badan sahabatnya terlalu tinggi. Lalu, tanpa perlu berjumpa dengan doktor, dia sudah dapat membuat spekulasi bahawa sahabatnya itu sedang mengalami sakit. Begitu juga UMNO, orang bukan politik (awam) sudah dapat membuat spekulasi bahawa terdapat penyakit di dalam UMNO, tanpa perlu mendengar kalam ahli politik sendiri.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

1 comment: