Thursday, April 23, 2009

MEDIA ASING TIBA-TIBA MENYERANG NAJIB, TAHNIAH ATAU TAKZIAH?


Semalam saya terbaca artikel yang disiarkan di dalam blog Cina Islam yang bertajuk “Media Asing sudah mula burukkan imej Najib, kata Mahathir”. Artikel ini sedikit sebanyak memberikan bonus kepada Pakatan Rakyat, dan memberi tamparan hebat kepada Najib dan Barisan Nasional sendiri. Saya yakin, ramai PR yang akan mengucapkan “padan muka” kepada Najib.

Tetapi, bagi saya, kita perlu mengetahui siapakah “media asing” tersebut. Dan siapakah pula yang mendalangi semua serangan-serangan ini? Mahathir telah menyebut bahawa serangan-serangan media asing ini secara tiba-tiba, seolah-olah dirancang. Jadi, siapakah perancangnya? Sampai hari ini, persoalan ini akan tergantung, sehinggalah Najib sendiri yang menyaman media asing tersebut.

Tetapi sehingga hari ini, Najib seolah-olah berada di kandang pesalah kerana hanya mampu berdiam diri dan melihat dengan benci, berita-berita yang disiarkan diseluruh dunia tersebut. Sekiranya beliau berada di pihak yang benar, kenapakah dia perlu berada di kandang pesalah? Untuk menyelesaikan perkara ini, saya menggunakan kaedah yang pernah saya lakukan, iaitu dengan menggunakan “andaian dan pembahagian”.

Najib kemungkinan bersalah, dan kemungkinan tidak bersalah. Sekiranya dia tidak bersalah, dia boleh menyaman media asing tersebut, bahkan mampu untuk membersihkan nama baiknya. Ini kerana beliau tidak bersalah. Tetapi, sekiranya Najib bersalah, beliau tidak dapat menyaman media asing tersebut, kerana media asing tersebut menyebut fakta yang benar.

Dua kemungkinan ini boleh difikirkan bersama. Sehingga hari ini Najib masih belum membersihkan nama baiknya sekiranya dia dianggap tidak bersalah. Tetapi apa yang terjadi, kemungkinan mengatakan Najib itu bersalah, adalah kemungkinan yang besar. Ini kerana beliau seolah-olah membenarkan apa yang dikatakan oleh media tersebut.

Tetapi ia sangat pelik dengan apa yang terjadi di Malaysia. Gobind digantung kerana bertanyakan hal Altantuya, tetapi media asing tidak diperlakukan apa-apa walaupun mereka bebas mengatakan begitu. Saya teringat kalam Najib sebelum ini, bahawa beliau menekankan aspek merendah diri. Beliau menyatakan juga bahawa kita sepatutnya merendah diri terhadap rakyat Malaysia, tetapi dengan negara lain, kita perlu menunjukkan gah.

Inilah kalamnya yang dianggap sebagai kalam seorang haprak. Ini kerana ia tidak lebih melainkan hanya omongan kosong semata-mata. Memang betul, beliau tidak mampu menunjukkan gah di hadapan mata masyarakat asing kerana mereka sendiri sudah melihat “aurat” Najib yang terdedah di seluruh dunia.

Sedikit analogi bagi Perdana Menteriku… terdapat seorang pemimpin yang hebat, naik ke atas pentas untuk memberi ucapan yang turut dihadiri oleh masyarakat sedunia. Tanpa disedari, seluar yang dipakainya mengalami koyak di bahagian sulit. Lalu seorang rakyatnya datang membisikkan sesuatu kepadanya, menyatakan bahawa seluarnya koyak.

Tetapi, dengan angkuhnya, dia terus memanggil polis untuk menangkap rakyatnya tersebut yang dikatakan cuba mengganggu majlisnya. Setelah itu, dia menyambung lagi ucapannya dalam keadaan seluarnya yang koyak. Selepas beberapa minit memberi ucapan, bangun seorang warga asing, dan dengan selambanya, dia mengatakan di hadapan orang ramai bahawa “seluar tuan koyak…”

Habis bergema hilai tawa para pendengar. Tetapi, untuk menunjukkan professionalnya yang bodoh, beliau berdiam diri, dan terus memberikan ucapan. Pemimpin yang berseluar koyak itu terus memberi ucapan walaupun semua hadirin ketika itu melihat kekoyakan tersebut…… Fikirlah wahai orang yang berakal.

Salam perjuangan

Dr Fikrah

1 comment:

  1. Salam sdr.

    Memang kebanyakan rakyat tertanya-tanya, kenapa PM kita yang merendah diri itu tidak bertindak dengan orang asing tetapi tetapi memberi tindak balas yang keras terhadap rakyat sendiri.

    ReplyDelete