Friday, June 19, 2009

MENCARI POPULAR DENGAN MENGHINA USTAZ


Semakin hari, istilah penggunaan ustaz semakin dikelirukan oleh beberapa golongan. Apa yang sempat aku tulis di sini ialah, dua golongan sahaja. Mereka berdua ini adalah golongan yang bertugas dan bertindak sebagai pencetus kekeliruan bagi istilah”ustaz”. Golongan yang pertama ialah mereka yang “menjadi ustaz” setelah membaca beberapa buah buku. Manakala golongan kedua pula ialah mereka yang mencari popular dengan menghina ustaz..

Golongan pertama adalah golongan yang paling cepat pembiakan mereka. Semakin banyak bahan bacaan, semakin tinggilah pangkatnya sebagai “ustaz buatan”. Contoh apa yang terjadi ialah seorang hamba Allah ini, yang menyamakan isu PAS dengan UMNO seperti Mu’awiyah dan Saidina Ali. Bahkan PAS dikatakan sebagai Saidina Ali, manakala UMNO itu sebagai Mu’awiyah. Dan kedua-duanya berperang ketika Perang Siffin.

Sedikit kesilapan yang dikemukakan oleh orang ini ialah, Mu’awiyah tidak boleh disalahkan di dalam kes ini. Bahkan Mu’awiyah adalah khalifah selepas Saidina Ali KAW, dan mereka berdua difitnah, sehinggalah fitnah ini turut disebarkan oleh orang ini, yang tidak tahu asal usul cerita. Ini kerana, mereka berguru dengan buku, bukan dengan Tok Guru!

Selain daripada itu, golongan ini tidak akan tahu apa itu istilah Masalih Mursalah, Sadduz Zara’ie dan sebagainya. Contohnya Saidina Ali KAW pernah membakar golongan Syi’ah. Adakah Islam itu kejam sehingga boleh membakar orang? Saidina Abu Bakar pula membunuh orang yang tidak bayar zakat. Bolehkah mereka dibunuh sedangkan mereka hanya tidak bayar zakat sahaja?

Inilah yang dipanggil sebagai Sadduz Zara’ie. Perkara ini tidak mungkin diketahui oleh orang yang bergelar “ustaz buatan”. Golongan ini menunjukkan lagak sebagai seorang yang alim, pakar dalam semua bidang dan sebagainya. Hakikatnya semua manusia boleh membaca buku, tetapi berapa keratkah yang memahaminya?

Contohnya mereka mengatakan bahawa khinzir itu diharamkan disebabkan kuman yang terdapat padanya. Betulkah? Sekiranya kuman tersebut berjaya dibunuh, maka adakah khinzir itu menjadi halal? Mereka juga mengatakan bahawa kita mesti bersolat untuk menjadikan tubuh badan kita sihat. Sekiranya kita sudah sihat, apakah kita tidak perlu solat? Adakah solat itu hanya untuk menyihatkan badan?

Jawapannya ialah, khinzir diharamkan sebab perintah daripada Allah SWT. Bukan disebabkan kuman yang ada padanya. Sekiranya manusia bertanya, “kenapa?” maka, jawapannya ialah sebab Allah haramkan! Bukan sebab kuman. Kuman itu adalah “hikmah” daripada pengharaman, bukan “sebab” pengharaman.

Kita wajib mendirikan solat kerana ia juga perintah Allah. Bukan kerana untuk menyihatkan badan. Mendirikan solat itu di”sebab”kan perintah daripada Allah SWT, bukan disebabkan untuk mendapatkan kesihatan tubuh badan. Sebaliknya kesihatan tubuh tersebut adalah “hikmah”, daripada mendirikan solat. Bukannya “sebab”.

Kalau begitu sama sajalah dengan orang bukan Islam yang bersenam.. Sekiranya mereka bersolat sepertimana yang kita buat, adakah ia sama dengan solat kita? Tetap tidak sama! Ini kerana mereka “bersolat” atau bersenam bukan kerana perintah Allah, sebaliknya kerana kesihatan tubuh badan! Wahai golongan “ustaz buatan”, adakah anda “memahami” pengertian ini? Memahami tidak sama dengan mengetahui.

Salam Perjuangan

Dr FikrahJustify Full

No comments:

Post a Comment