Friday, May 1, 2009

SEJARAH TELAH MENCERITAKAN TENTANG DUA PUAK DALAM PAS (Siri 2)

Sebelum ini telah pun diceritakan bahawa kewujudan dua puak dalam Islam ketika zaman Saidina Ali yang tercetus daripada perbezaan pandangan. Apabila terdapat perbezaan pandangan tersebut, muncullah golongan munafik yang bertugas sebagai pembakar isu untuk menjatuhkan kesatuan Islam.

Saidatina Aisyah sudah pun bertemu dengan Saidina Ali untuk membincangkan masalah ini, dan perbezaan pandangan ini telah ditemukan ketika itu. Tetapi, isu yang dimainkan oleh orang munafik, tetap dicanang sehinggalah orang Islam ketika itu mula berlagak menjadi seorang ulama’, dan mengkritik Saidina Ali, manakala satu kumpulan lagi mengkritik Saidatina Aisyah.

Mereka mengkritik atas dasar tidak tahu, dan terpengaruh dengan dakyah munafik. Peristiwa ini berulang lagi hari ini, di mana golongan munafik ini terus menerus menyebarkan dakyah supaya terdapat perpecahan di dalam PAS. Walaupun Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi telah bertemu dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut, muncul golongan media dan beberapa individu yang membuat spekulasi tanpa sumber.

Mereka menanam benih-benih perpecahan di antara ahli PAS. Saya menasihatkan kepada mana-mana ahli PAS yang tidak mengetahui hal sebenar, jangan terlalu gelojoh untuk menjadi hero. Ini kerana golongan munafik lebih dahulu menjadi hero dalam perpecahan di dalam Islam. Maka, kebanyakan ahli PAS sendiri yang termakan dengan dakyah golongan munafik ini sehingga membuat spekulasi tanpa sumber. Inilah fitnah.

Setelah keadaan semakin serius, maka terjadilah Perang Jamal, yang berlaku sesama umat Islam. Perang Jamal ini pun terjadi disebabkan golongan munafik. Pada mulanya Saidatina Aisyah dan Saidina Ali datang untuk menyelesaikan keadaan dan menyelamatkan umat Islam dari berpecah. Tetapi malangnya golongan munafik ini telah bertindak sebagai pencetus sehinggakan Saidina Ali menyangka ia adalah tindakan Saidatina Aisyah, dan begitu juga sebaliknya.

Keadaan parah ini telah menyebabkan tercetusnya Perang Jamal dan orang munafik bertepuk tangan melihat angka korban Para Sahabat RA begitu ramai ketika itu. Lihatlah apa erti jamal itu. Jamal adalah unta. Dua puak ketika itu datang untuk berbaik-baik lalu mereka datang dengan menaiki unta bukannya kuda.

Tetapi, kelicikan orang munafik ini berjaya mempengaruhi umat Islam sehingga mereka terlupa, mana mungkin mereka akan berperang kerana datang hanya menaiki unta. Hari ini pula, Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi bertemu dalam keadaan “ingin mendapatkan penjelasan”, dan penjelasan telah diberikan. Lalu Tiadalah perbezaan pandangan di antara kedua-duanya.

Tetapi timbul pula golongan bawahan yang tidak tahu hal sebenar, mula bertindak sebagai juara isu, tetapi malangnya mereka berada di jalan yang silap. Berhati-hatilah dengan mereka yang bertindak sebagai pemberita ini, adakalanya sebahagian daripada mereka adalah munafik, dan sebahagian lain tidak. Tetapi, malangnya, orang yang tidak munafik itu terikut-ikut dengan rentak munafik, sehinggakan mereka menjadi penyebar fitnah kepunyaan munafik!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment