Sebelum ini saya pernah menulis artikel yang bertajuk “Ganesan : Speaker Haram Yang Mendakwa Dirinya Sah”. Di dalam artikel tersebut saya telah menjelaskan tentang apakah yang dikatakan sebagai Halal, Haram, Sah dan Tak Sah. Kesimpulan yang saya dapat buat terhadap Ganesan ialah “Beliau diSAHkan sebagai speaker HARAM”. Bagaimana pula Zambry?
Sekiranya dikira mengikut apa yang disebut oleh mahkamah, Zambry adalah MB yang sah, tetapi kenaikannya sebagai MB dengan cara haram. Maka, secara mudahnya kita boleh menyatakan bahawa beliau adalah MB Haram Yang Sah, atau diSAHkan sebagai MB Haram. Mahkamah hanya menyebut beliau sebagai MB yang sah sahaja, tanpa menyebut halal atau haram.
Sekiranya masih ada yang bertanya “kenapakah Dr Fikrah boleh mendakwanya sebagai haram?”, maka saya mempersilakan kepadanya untuk membaca artikel-artikel sebelum ini. Sudah berulang kali disebut, yang manakah haram dan yang manakah halal. Namun, masih ada yang berkata bahawa saya telah mengharamkan dan menghalalkan berdasarkan pemikiran politik, tidak berlandaskan agama Islam.
Jadi, saya menjawab semula, bahawa saya menyatakan itu halal dan ini haram berdasarkan dalil. Dalil yang begitu jelas. Sekiranya saya tersilap dalam memahami dalil tersebut, silakan tegur. Hakikatnya hukum 5 (Wajib, Sunat, Harus, Makruh dan Haram) telah dijelaskan dengan terperinci. Bahkan setiap saat detik kehidupan kita bergantung dengan 5 hukum ini.
Begitu juga dalam berpolitik. Di sana terdapat politik yang halal dan politik yang haram. Politik yang haram hanya satu sahaja, tetapi politik yang halal terdapat 4, iaitu wajib, sunat, harus dan makruh. Contoh politik yang wajib ialah menggunakan al Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan. Hakikatnya kerajaan hari ini sudah bercanggah dengan kedua-duanya yang merupakan perkara wajib dalam berpolitik.
Demikianlah juga sunat, harus dan makruh. Hakikatnya perkara ini sudah jelas sepertimana hadis Nabi SAW
.
Perkara yang halal itu sudah jelas, dan haram itupun sudah jelas, tetapi di antara kedua-duanya terdapat perkara yang meragukan, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, samada ia halal, ataupun haram… (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis yang diringkaskan di atas menyebut tentang perkara yang meragukan. Dan ia sudah pun dijelaskan sebelum ini di dalam artikel “Kepada Sesiapa Yang Meragui Perjuangan PAS”. Hakikatnya, halal dan haram itu sudah jelas. Melakukan kezaliman itu adalah haram, dan keadilan itu dituntut. Merampas hak orang lain adalah haram, dan sebagainya.
Masihkah anda masih ingin katakan ia sebagai pemikiran politik? Adakah perkara ini diharamkan oleh saya? Fikirlah sendiri. Segalanya sudah jelas. Demikianlah apa yang dikatakan sebagai halal dan haram dalam berpolitik, dan dalil-dalilnya jelas. Sekiranya masih tidak jelas, bertanyalah, bukan menolak.
Demikian juga kenaikan Zambry secara haram. Dimanakah yang dikatakan sebagai haram? Sudahpun dijelaskan berulang kali di dalam artikel sebelum ini. Zambry dikatakan haram bukan berdasarkan agama sahaja, bahkan bercanggah dengan perlembagaan. Maka, fikirlah sendiri.
Salam Perjuangan
Dr Fikrah
No comments:
Post a Comment