Wednesday, March 18, 2009

BERAPAKAH NILAI KESEDIHAN ANDA?


Manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan perasaan sedih, pilu dan sebagainya yang menjadi rutin kehidupan seorang hamba. Tiada manusia yang sentiasa gembira sepanjang hayatnya. Ia adalah fitrah semulajadi manusia. Sekiranya kita melihat kepada Sirah Nabi Muhammad SAW, Baginda juga pernah bersedih, iaitu ketika kematian isterinya, Saidatina Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Thalib dalam satu-satu masa.

Tahun tersebut telah dinamakan “Tahun Kesedihan”, sehingga hari ini kita mengetahui tentang kisah tersebut. Hakikat yang perlu kita ambil di sini ialah bagaimanakah kita hendak menghilangkan kesedihan yang ada? Sekiranya kita melihat kepada sebab-sebab berlakunya kesedihan, seperti perpisahan, pergaduhan, kebencian dan sebagainya. Dan hakikat ini tidak boleh lari dari kehidupan seorang manusia.

Oleh itu, seseorang itu terpaksa berhadapan dengannya, dan mampu untuk mengawal kesedihan tersebut supaya tidak melampaui batasan. Bukankah Nabi SAW sendiri melarang umatnya daripada menangisi pemergian seseorang? Satu ketika, anak Baginda SAW meninggal dunia, lalu Nabi SAW menitiskan air mata kerana pemergiannya. Lalu sahabat Baginda SAW bertanya, bukankah engkau melarang daripada menangisi kematian? Baginda SAW menerangkan bahawa itulah perasaan manusia, tetapi hendaklah dikawal supaya tidak melampau, dengan meraung, menyakitkan badan dan sebagainya.

Kadangkala kita merasa sedih disebabkan ujian yang menimpa kita. Ujian tersebut diuji oleh Allah SWT untuk melihat kekuatan dan kesabaran kita di dalam menghadapi ujian tersebut. Semakin dekat seseorang itu dengan Allah SWT, semakin tinggilah ujiannya. Antara ujian tersebut ialah kesedihan. Ketika Nabi SAW berada di dalam Gua Thur bersama Saidina Abu Bakar, Baginda telah menyatakan kepada beliau, “janganlah bersedih, Allah bersama kita”.

Bagaimanakah pula kita hari ini? Kita sering diuji dengan kesedihan, tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, berapakah besarnya nilai kesedihan tersebut? Atau berapa mahalkah nilai benda yang disedihkan itu? Atau kenapa perlu aku bersedih, bukankah Allah SWT bersamaku? Atau, kenapakah perlu aku bersedih sekiranya diuji, sepatutnya aku gembira kerana berada hampir denganNya.

Oleh itu marilah kita fikir sejenak. Manusia hari ini sedih disebabkan kehilangan sesuatu benda yang disayangi. Sekiranya kehilangan seseorang di dalam hidup, mengapakah kita bersedih sedangkan kita sendiri sudah tahu bahawa setiap jiwa pasti akan pergi? Sekiranya seseorang itu bersedih kerana diuji dengan ujian yang besar, mengapakah kita bersedih sedangkan ujian tersebut adalah tanda hampirnya kita dengan Allah?

Sekiranya kita bersedih kerana putus cinta, mengapakah kita bersedih sedangkan cinta yang sebenar milik Allah? Bukankah Dialah yang menjodohkan seseorang? Sekiranya sudah ditetapkan jodoh seseorang, maka tidak perlulah disedihkan kerana sudah pasti cinta itu tiada pada orang yang memutuskan cinta tersebut. Maka, apa lagi yang perlu disedihkan?

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

1 comment:

  1. kesedihan juga 'perasa tmbahan' dlm hidup,jika trlebih,'rasa' akn kurang enak,jika kurang turut hilang lazatnya.. hiduplah dgn ujian! -mehnah itu minhah-

    ReplyDelete