Thursday, May 21, 2009

BILAKAH KITA DIKATAKAN MEMELUK ISLAM? (Siri 2)

Sebelum ini kita telah memahami bahawa sekiranya seseorang itu sudah berpegang dengan keenam-enam perkara tersebut, dia sudah dikatakan sebagai Islam. Bagaimanakah pula dengan dua kalimah syahadah dan praktikal? Mengucap dua kalimah syahadah adalah sebagai tanda untuk membuktikan keislamannya pada orang lain. Sepertimana yang disebutkan, keenam-enam pegangan ini adalah di dalam hati, maka, manusia yang lain tidak dapat mengetahui keislaman seseorang.

Maka, apabila seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, terlihatlah keimanannya. Orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi tidak berpegang dengan salah satu daripada enam rukun iman tadi, maka ia adalah orang munafik. Contohnya seperti Abdullah bin Ubai, yang mengucap dua kalimah syahadah, tetapi hatinya tidak berpegang dengan kenabian Baginda SAW.

Kita sebagai manusia, hanya dapat mengenali keislaman seseorang dengan dua kalimah syahadah yang dituturkan, dan praktikal yang akan dijelaskan kemudian. Seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah disyaratkan supaya mempunyai pegangan dahulu di dalam hatinya. Sekiranya tidak, bermakna dia akan dihitung dengan Allah SWT. Kita hanya mampu mengukur dari segi zahir sahaja.

Soalan yang ditanya “Bilakah kita dikatakan Islam?”, maka jawapannya, setelah kita berpegang dengan keenam-enam rukun sebelum ini. “Bilakah kita boleh mengenali Islam seseorang?”, maka jawapannya ialah, setelah orang tersebut mengucap dua kalimah syahadah, dan melaksakanak praktikal yang akan dijelaskan.

Perkara yang ketiga dalam Islam ialah praktikal. Praktikal di sini ialah 5 rukun Islam. Iaitu, mengucap dua kalimah syahadah (sudah dijelaskan), solat, zakat, puasa dan haji. Kelima-lima perkara ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada mereka yang Islam. Selain itu kelima-lima perkara ini menampakkan kepada kita tentang keislaman orang lain, dan kita dapat membezakan di antara orang Islam, dan bukan Islam.

Sekiranya seseorang itu tidak mengerjakan solat kerana kemalasannya, maka dia tidak dianggap kafir, tetapi dianggap sebagai berdosa. Sekiranya seseorang itu tidak mengerjakan solat kerana dia menganggap solat itu “tidak wajib”, maka dia adalah kafir. Ini kerana “pegangan”nya tentang perintah Allah SWT telah dicabuli. Dia tidak lagi berpegang dengan perintah Allah. Persoalan ini akan dijelaskan dalam artikel yang lain Insya Allah.

Selain daripada kelima-lima rukun Islam ini, kita juga perlu memahami tentang syariat. Syariat ialah undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT. Contohnya menutup aurat. Sekiranya seseorang itu tidak menutup aurat kerana kemalasannya, maka dia tidak dianggap kafir, tetapi dia dianggap sebagai berdosa. Tetapi sekiranya dia tidak menutup aurat kerana mengatakan bahawa ia adalah “tidak wajib”, maka dia adalah kafir. Na’uzubillah.

Maka, soalan yang ditanya, “bilakah kita dikatakan memeluk Islam?” Kita sudah dikatakan memeluk Islam apabila kita sudah berpegang dengan keenam-enam perkara sebelum ini. “Bilakah sempurnanya Islam seseorang?” Sempurnanya Islam seseorang setelah dia berpegang dengan keenam-enam perkara sebelum ini, dan dia melaksanakan semua undang-undang yang ditetapkan oleh Allah.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment