Tuesday, May 5, 2009

UMNO MENGAJAK KITA KEMBALI KE ZAMAN JAHILIYYAH (Siri 1)

Apakah yang dimaksudkan dengan jahiliyyah? Adakah jahiliyyah itu zaman di mana masyarakat itu tidak bertamadun? Atau ia adalah zaman kegelapan? Hakikat jahiliyyah yang sebenar ialah sepertimana yang disebut oleh Syed Qutb bahawa jahiliyyah itu adalah zaman di mana masyarakat menolak Islam.

Ini kerana sekiranya mereka dikatakan tidak bertamadun, hakikatnya mereka mempunyai kemajuan yang hebat. Mereka dapat untuk membina kaabah setelah runtuh sebahagiannya akibat banjir besar. Mereka mampu mendirikan rumah-rumah, dan tidak tinggal di dalam gua seperti zaman batu. Mereka juga berniaga sehingga ada di kalangan mereka yang kaya raya dengan perniagaan.

Mereka juga membuka sektor perlancongan di Mekah sehingga menarik masyarakat luar untuk bertandang ke Mekah. Ada di kalangan mereka yang hebat dalam bahasa, iaitu penyair-penyair. Bukankah kita sering mengatakan bahawa bahasa itu adalah tamadun? Mereka berniaga itu membuktikan bahawa mereka pandai mengira.

Ada juga yang membuka sector perladangan seperti mengembala kambing dan sebagainya. Nabi Muhammad SAW sendiri seorang pengembala kambing. Bukankah ini bukti bahawa mereka itu bertamadun. Tetapi kenapakah mereka masih digelar sebagai zaman Jahiliyyah? Ini kerana mereka menolak undang-undang Islam. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah SWT :
.
Apakah undang-undang jahiliyyah yang mereka mahukan? Siapakah yang lebih baik undang-undangnya daripada Allah bagi mereka yang yakin? (Surah al Maidah : 50)

Allah SWT tidak pernah mengharamkan perniagaan, perladangan, perlancongan dan sebagainya. Sebaliknya Allah SWT meletakkan undang-undang dalam setiap sector yang mereka ceburi. Contohnya Allah SWT mengharamkan riba dalam jual beli, Allah SWT mengharamkan rasuah dalam kepimpinan, dan sebagainya.

Tetapi, mereka menganggap bahawa undang-undang Allah ini menyekat kebebasan mereka, sedangkan Allah SWT mengemukakan satu undang-undang yang tidak bersifat menganiaya orang lain. Kalau sebelum ini masyarakat Jahiliyyah berkahwin dengan cara yang tidak senonoh, iaitu dengan empat cara. Salah satunya adalah dengan melakukan penzinaan beramai-ramai dan anak hasil zinaan tersebut akan diukur rupa parasnya. Sesiapa yang hampir sama rupanya dengan anak tersebut, maka dia adalah bapanya.

Oleh itu, Allah SWT meletakkan undang-undang yang menyelaraskan semua perkara dalam kehidupan mereka. Tetapi mereka merasakan ia tidak bersesuaian dengan mereka lalu mereka menganggap ia sebagai “kacau daun”. Mereka menolak undang-undang Allah, dan mereka berpegang dengan undang-undang jahiliyyah yang disusun oleh nenek moyang mereka.

Bagaimanapula dengan apa yang terjadi di Malaysia hari ini? Sebelum itu, antara undang-undang jahiliyyah yang mereka tetapkan ialah bertawaf di kaabah dengan bertelanjang! Sila lihat tafsiran ulama’ tentang ayat 31 Surah al A’raf. Bagaimanapula dengan Malaysia hari ini?

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

1 comment:

  1. Semua manusia yang tak jumpa jalan kembali kepada Allah adalah orang yang jahil. tak payah lah cakap tetang zaman jahilliah zaman dulu zaman sekarangpun sama.

    ReplyDelete