Monday, April 27, 2009

ANAK YANG MASUK ISLAM TETAP MENGHORMATI IBU MEREKA WALAUPUN KAFIR

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel sebelum ini yang mengulas tentang keislaman Ridzuan. Di dalam artikel ini, saya akan menceritakan serba sedikit tentang adab seorang anak yang masuk Islam, menghormati ibu bapa mereka, walaupun mereka masih bukan Islam. Inilah ajaran Islam yang diterap, dan Islam adalah agama yang mengasihi.

Kisah pertama yang ingin saya ceritakan di sini ialah Asma binti Abu Bakar. Saidina Abu Bakar telah berkahwin dengan Qailah binti Abdul Izzi ketika mereka masih belum memeluk agama Islam. Setelah itu, Saidina Abu Bakar menceraikannya, dan Saidina Abu Bakar memeluk agama Islam. Hasil daripada perkahwinan tersebut, lahirlah seorang perempuan yang bernama Asma’.

Hasil daripada didikan Saidina Abu Bakar, Asma tetap mengasihi ibunya walaupun ibunya tidak beragama Islam. Beliau kerap menziarahi ibunya dan ibunya juga mengasihi Asma’. Sehinggakan ibunya kerap menyediakan hadiah, ketika Asma’ datang menziarahinya. Lihatlah hasil didikan seorang bapa yang beragama Islam.

Sehingga ibunya yang masih kafir itu merasa senang dan tenang mendapat kasih saying seorang anak, walaupun anaknya beragama Islam. Kebanyakan ulama’ mendapat bahawa ibunya mati dalam keadaan bukan Islam. Demikianlah kisah yang patut difikirkan bersama terutamanya orang bukan Islam, supaya dapat mengenali Islam yang sebenar. Islam yang sebenar ini tiada pada UMNO yang hanya beromong kosong siang dan malam.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW sendiri menghormati bapa saudaranya walaupun bapa saudaranya itu masih kafir. Bapa saudara Nabi SAW, dianggap sebagai bapa kandung kerana dialah yang membesarkan Nabi Muhammad SAW, dan memberi kasih saying sepenuhnya, sehinggalah Baginda SAW membesar dan bergelar seorang Nabi.

Apa yang dilakukan oleh Baginda SAW, ialah menghormatinya sehinggalah akhir hayat bapa saudaranya. Walaupun dia seorang yang bukan Islam, tetapi hasil didikan daripada Allah SWT, mampu melentur hati bapa saudaranya itu, untuk menjaga seorang anak yang memperjuangkan agama yang berlainan dengan agamanya. Inilah didikan Islam terhadap anak-anak.

Walaupun anak-anak anda memeluk Agama Islam, mereka diajar supaya tetap menerima ibu bapa mereka dan menghormati mereka. Wahai orang bukan Islam, inilah ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak pernah mengajar seseorang itu menderhakai ibu bapa mereka walaupun kedua-duanya bukan Islam. Tetapi sekiranya ibu bapa tersebut menyuruh supaya menderhakai Allah, Islam melarang anak-anak menuruti perintah tersebut.

Demikianlah kisah Nabi Ibrahim AS. Bapa saudaranya (ada yang mengatakan bapanya) adalah seorang penyembah berhala. Walaupun beliau sudah beragama Islam, tetapi beliau tetap memanggil bapa saudaranya dengan panggilan yang baik dan lembut. Beliau berkomunikasi dengan bapa saudaranya sebagai seorang anak, semoga dia dapat menerima Islam. Inilah apa yang diajar oleh Islam, maka ambillah iktibar.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment