Saturday, June 6, 2009

SIAPAKAH YANG BERHAK MENGHALAL DAN MENGHARAMKAN? (Siri 2)

Sebelum ini telah diceritakan tentang tanggapan orang kristian bahawa syariat itu berhak diatur oleh orang-orang mereka, bahkan ia bercanggah dengan al Quran. Orang Nasrani masih beranggapan bahawa Nabi Isa AS memberi kebenaran sepenuhnya kepada anak-anak muridnya untuk menghalal atau mengharamkan sesuka hati mereka. Sepertimana yang telah diceritakan di dalam Injil Mathew 18:18 “Satu kebenaran yang aku beritahu kepadamu, iaitu semua perkara yang berkaitan dengan urusanmu di dunia, ia juga sepertimana di langit. Dan setiap perkara yang kamu halalkan di dunia, ia juga dihalalkan di langit”

Demikianlah sepertimana yang Islam kritik terhadap golongan yang mensyirikkan Allah. Mereka mengharam dan menghalalkan sesuatu perkara tanpa keizinan daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum) : “Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah kepada mereka : “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?” (Surah Yunus : 59)

Allah SWT berfirman

Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu : “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya (Surah an Nahl : 116)

Berdasarkan ayat ini, dan hadis yang telah disebutkan sebelum ini, Fuqaha telah mengemukakan satu pengetahuan yang meyakinkan, iaitu “Sesungguhnya Allah sahajalah empunya kuasa untuk menentukan sesuatu itu halal atau haram di dalam al Quran, atau melalui lidah rasul-rasulNya. Sesungguhnya peranan fuqaha’ dan ulama’ itu tidak melanggar hukum-hukum Allah di dalam menghalal atau mengharamkan sesuatu. Allah SWT berfirman

Allah SWT telah menerangkan kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu (Surah al An’am : 119)

Fuqaha’ bukanlah berperanan untuk mengatur syariat agama bagi manusia tentang perkara yang dibenarkan ataupun tidak, sebaliknya mereka bersama-sama ulama’-ulama’ dan ijtihad-ijtihad mereka berusaha mengelakkan diri daripada mengeluarkan fatwa. Bahkan mereka lebih suka menyerahkan sesuatu permasalahan kepada ulama’ lain kerana mereka khuatir terhalalkan sesuatu yang haram, dan terharam sesuatu yang diharamkan.

Demikianlah peranan fuqaha dan ulama di dalam berhati-hati ketika membuat sesuatu hukum. Bukan dengan sembarangan, atau dengan keinginan peribadi semata-mata. Wahai muftiku, saya mohon derhaka kiranya tidak disalah sangka. Bukan mengata, tetapi memberi pandangan atas nama persaudaraan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

SIAPAKAH YANG BERHAK MENGHALAL DAN MENGHARAMKAN? (Siri 1)

Islam telah menetapkan bahawa satu-satunya kuasa yang berhak menghalal dan mengharamkan sesuatu itu adalah kuasa Allah semata-mata. Tidak kira betapa tingginya darjat seseorang tersebut di dalam agama Allah, ataupun dari sudut pandangan manusia, ia tetap hak Allah SWT semata-mata. Ia bukanlah hak orang cendekiawan atau ahli ugama, bukan juga milik raja atau sultan, untuk mereka menentukan sesuatu itu haram selama-lamanya kepada mana-mana manusia.

Maka, sesiapa yang melakukan demikian, bermakna dia telah melampaui batasan hak Allah SWT di dalam mengatur syariat bagi semua makhluk. Bahkan, sesiapa yang mengakui bahawa mereka berhak untuk mengatur syariat, dan orang ramai mengikutinya, seolah-olah dia telah menjadikan aturan mereka tersebut sebagai tandingan bagi Allah, dan mereka yang mengikutinya turut dikatakan sebagai syirik.

Allah SWT berfirman

Adakah patut bagi mereka, mempunyai sembahan-sembahan selain daripada Allah yang menyusun syariat di dalam agama, sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah asy Syura : 21)

Al Quran mengkritik golongan ahli kitab yang telah memberikan kekuasaan untuk menghalal dan mengharamkan kepada golongan-golongan cerdik (pendeta), dan ahli-ahli ugama dari kalangan mereka. Allah SWT berfirman

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah : 31)

Seorang sahabat Nabi SAW, ‘Adiy bin Hatim telah datang berjumpa Baginda SAW (beliau adalah penganut agama Nasrani sebelum Islam). Ketika mana beliau mendengar Nabi SAW membacakan ayat 31 Surah at Taubah tersebut, beliau berkata : “Wahai Rasulullah, mereka bukanlah menyembah benda-benda (cendekiawan dan ahli ugama) tersebut” Lalu Baginda SAW menjelaskan

“Benar apa yang kamu katakan. Sesungguhnya mereka telah mengharamkan apa yang dihalalkan ke atas mereka, dan mreka juga menghalalkan apa yang diharamkan, lalu mereka mengikut sahaja syariat sesat tersebut. Maka perbuatan ini dikira penyembahan terhadap benda-benda tersebut”

Di dalam riwayat lain, bahawa Nabi SAW bersabda untuk mentafsirkan ayat 31, Surah at Taubah dengan berkata : “Sekiranya mereka tidak dikatakan menyembah benda-benda tersebut, akan tetapi apabila benda-benda tersebut menghalalkan sesuatu perkara, mereka juga turut menghalalkannya. Begitu juga apabila benda-benda tersebut mengharamkan sesuatu perkara, mereka juga turut mengharamkannya.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Friday, June 5, 2009

HARAM ITU HANYA SEDIKIT, TETAPI MANUSIA MASIH SUKA YANG SEDIKIT ITU (Siri 3)

Sebelum ini kita telah melihat pandangan Ibnu Taimiyyah dalam masalah ini. Maka, di sana Imam Ahmad dan beberapa ulama’ dari kalangan ulama’ hadis dan fiqh, berpandangan :

Hukum asal bagi ibadah yang telah diaturkan waktunya, ialah tidak boleh dilaksanakan sembarangan melainkan apa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Sekiranya tidak, kita akan tergolong dalam firman Allah SWT :

Adakah patut bagi mereka, mempunyai sembahan-sembahan selain daripada Allah yang menyusun syariat di dalam agama, sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah asy Syura : 21)

Manakala perkara yang dikatakan sebagai adat adalah dimaafkan. Maka ia tidak diharamkan melainkan apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT. Sekiranya tidak, maka kita akan tergolong dalam firman Allah SWT :

Katakanlah (Wahai Muhammad) : “Adakah kamu semua melihat baik dan buruk, terhadap rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kamu, sehingga kamu dapat membandingkan di antaranya haram dan halal? (Surah Yunus : 59)

Ayat ini merupakan satu kaedah yang sangat hebat dan memberi manfaat. Oleh itu, dapat kita katakan bahawa jual beli, pemberian, ganjaran dan selain daripadanya yang termasuk dalam adat yang diperlukan oleh manusia di dalam kehidupan mereka, seperti keperluan terhadap makanan, minuman dan pakaian.

Maka, syariat menggariskan adat-adat ini dengan melaksanakannya secara beradab, dan mengharamkan beberapa perkara daripadanya yang boleh mengundang kerosakan. Bahkan mewajibkan apa yang sepatutnya dilakukan, dan membenci apa yang tidak sepatutnya. Juga mengharuskan mana-mana yang dikatakan sebagai keperluan, yang mengesahkan bahawa ia adalah bahagian daripada adat-adat, ukurannya dan ciri-cirinya.

Oleh itu, manusia dibenarkan berjual beli dan berniaga sepertimana yang mereka kehendaki, selagi mana ia tidak diharamkan oleh syariat. Ia juga seperti dibenarkan makan dan minum sepertimana yang mereka kehendaki, walaupun sebahagian daripada perbuatan tersebut diharuskan, atau pun makruh. Dan apa yang tidak diletakkan batasannya oleh syariat, maka ia kekal dengan hukum asalnya.

Disebut di dalam hadis shahih tentang hukum asal tersebut, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah :

Kami mengasingkan diri, dan al Quran turun. Maka, sekiranya ia diharamkan, sudah pasti al Quran mengharamkannya

Maka dalil ini menyebut tentang apa yang tidak disebut oleh al Quran, adalah tidak diharamkan dan tidak dilarang. Bahkan mereka dibenarkan melakukannya sehinggalah turunnya dalil yang menegah dan mengharamkannya. Inilah bukti kehebatan ilmu para sahabat RA. Hasilnya, terbentuklah keadah ini, iaitu “asal hukum sesuatu perkara adalah harus”. Ia bertujuan melarang ibadah yang tidak disyariatkan, dan membenarkan adat melainkan apa yang diharamkan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Thursday, June 4, 2009

HARAM ITU HANYA SEDIKIT, TETAPI MANUSIA MASIH SUKA YANG SEDIKIT ITU (Siri 2)

Nabi SAW pernah bersabda :

Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajipan, janganlah engkau mengabaikannya. Allah SWT juga telah meletakkan batasanNya, janganlah engkau melampaui batasan tersebut. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, janganlah engkau mengambilnya. Manakala sesuatu yang tidak disebut sebagai haram, maka ia adalah rahmat bagimu, bukanlah disebabkan Allah terlupa. Maka, janganlah engkau mencari-carinya. (ad Darqutni)

Saya juga suka untuk mengingatkan di sini bahawa hukum asal yang dikatakan sebagai harus itu, tidaklah terhad kepada benda dan objek, bahkan ia merangkumi perbuatan dan tindakan yang bukan dikatakan sebagai ibadah. Ia dinamakan sebagai “adat istiadat” atau “komunikasi”. Hukum asal bagi kedua-duanya tidaklah haram, dan tidak terikat dengan mana-mana, melainkan beberapa perkara yang diharamkan oleh Allah SWT sahaja. Laksanakanlah ia.

Allah SWT berfirman

Allah SWT telah menerangkan kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu (Surah al An’am : 119)

Hukum ini tidak termasuk ibadah kerana ia adalah melibatkan agama. Sesuatu ibadah tidak boleh dilaksanakan sembarangan melainkan berdasarkan dalil. Disebut di dalam hadis shahih :

Sesiapa yang membuat sesuatu yang baru, yang bukan daripada ajaran agama, maka ia tidak diterima (Muttafaq Alaih)

Inilah yang dikatakan sebagai hakikat agama yang merangkumi dua perkara, iaitu tidak mensyirikkan Allah, dan tidak beribadah sebarangan melainkan apa yang telah disyariatkan. Sesiapa yang melakukan ibadah yang “baru”, maka ia dianggap sesat, dan tidak diterima. Ini kerana Allah SWT sahajalah empunya kebenaran untuk menggariskan bentuk ibadah untuk makhluk menghampirinya dengan ibadah tersebut.

Manakala adat istiadat dan komunikasi sesama makhluk, tidaklah digariskan bentuknya oleh Allah SWT. Bahkan manusia sendiri yang melakukannya dengan sifat kemanusiaan. Dan Allah SWT mendatangkan panduang-panduan untuk melaksanakannya secara elok, baik dan sesuai melainkan beberapa perkara yang boleh mengundang kerosakan dan keburukan.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata :

Tindakan dan kata-kata manusia terdapat dua bahagian : ibadat yang mencantikkan agama mereka, dan adat istiadat yang diperlukan untuk dunia mereka. Maka, dengan mengkaji sumber undang-undang Islam, kita akan menemui bahawa ibadat yang diwajibkan oleh Allah, atau yang disukainya, dikatakan sebagai tiada, melainkan apa yang disebut oleh syariat.

Manakala adat pula ialah apa yang dilakukan oleh manusia untuk dunia mereka dan menjadi keperluan mereka. Hukum asal pada perkara tersebut ialah tidak haram. Maka, tiadalah perbuatan adat yang diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Ini kerana suruhan dan larangan adalah syariat Allah SWT, dan ibadat hendaklah berdasarkan suruhan melaksanakannya. Maka, apa yang tidak disuruh untuk melaksanakannya, bagaimanakah kita boleh mengatakannya haram?


Salam Perjuangan

Dr Fikrah

HARAM ITU HANYA SEDIKIT, TETAPI MANUSIA MASIH SUKA YANG SEDIKIT ITU (Siri 1)

Asas utama dan pertama yang telah diletakkan oleh Islam ialah sesuatu yang dicipta oleh Allah SWT adalah halal dan diharuskan. Tiada yang dikatakan haram melainkan apa yang telah disebut dengan jelas di dalam dalil-dalil daripada Allah SWT dan hadis Nabi SAW. Sekiranya sesuatu dalil tersebut tidak shahih (hadis dha’if), ataupun tidak jelas tentang pengharaman sesuatu perkara, maka ia kekal hukumnya sebagai harus.

Ulama’ Islam telah menggunakan dalil bahawa asal hukum sesuatu itu adalah harus, berdasarkan dalil daripada al Quran :

Dialah yang mencipta untuk kamu, apa yang ada di dunia ini keseluruhannya (Surah al Baqarah : 29)

Dan Dialah yang menundukkan bagi kamu apa yang ada di langit dan bumi kesemuanya (Surah al Jathiyah : 13)

Tidakkah kamu lihat bahawa Allah SWT telah menundukkan bagi kamu, apa yang terdapat di langit dan bumi, dan Dia mencurahkan nikmatnya dari segi luaran dan dalaman (Surah Luqman : 20)

Allah SWT tidak mungkin akan mencipta semua makhluknya, dan menjadikan kesemuanya berkhidmat untuk manusia, kemudian Allah mengharamkan manusia menggunakannya. Bagaimanakah Allah SWT dikatakan mencipta kesemuanya untuk manusia, menundukkannya, dan memberi manusia dengan nikmat tersebut?

Hakikatnya, Allah SWT hanya mengharamkan sebahagian kecil sahaja daripada kesemua makhluk yang diciptanya kerana sebab-sebab tertentu dan hikmah yang akan dijelaskan selepas ini.

Di sini, dapatlah kita fahami bahawa perkara yang diharamkan itu adalah aspek yang kecil di dalam undang-undang Islam, bahkan aspek halal begitu luas seluas-luasnya. Ini kerana, dalil yang menyebut tentang haramnya sesuatu perkara tersebut adalah begitu sedikit, manakala sesuatu yang tiada dalil yang mengatakannya sebagai halal atau haram, maka ia kekal hukumnya sebagai harus (dibenarkan), dan ia dimaafkan.

Di dalam hadis ada menyebut

Apa yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam al Quran adalah dianggap halal, dan apa yang diharamkannya maka ia dianggap haram. Dan apa yang tidak disebut, maka ia dimaafkan, maka mintalah kemaafan kepada Allah SWT. Allah SWT tidak akan melupai sesuatu pun. Lalu Baginda SAW membacakan ayat al Quran Tuhanmu tidak sekali kali akan terlupa (Surah Maryam : 64) (al Hakim di dalam Mustadrak)

Salman al Farisi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang adakah halal mentega, keju dan burung pangolin? Lalu Baginda SAW menjawab : “Perkara yang halal ialah apa yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam al Quran, dan perkara yang haram pula, juga sesuatu yang terdapat di dalam al Quran. Apa yang tidak disebut di dalam al Quran, maka ia dimaafkan”.

Di dalam hadis ini, Nabi SAW tidak mahu menjawab soalan tersebut, bahkan Nabi SAW mengemukakan kaedah supaya memberi kefahaman kepadanya dalam mengenali halal dan haram. Cukuplah sekadar mereka mengetahui perkara yang haram, dan selain daripadanya adalah halal.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Wednesday, June 3, 2009

ZAMBRY HANYA “MB” PADA NAMA

Teringat saya, pengalaman di sekolah-sekolah rendah dahulu. Apabila kita bertemu dengan “pengawas”, kita akan rasa takut kerana dibimbangi nama dicatit. Sambil berjalan dengan berpakaian pengawas, terselit di bajunya nametag yang tertulis “pengawas”. Tetapi, kadangkala, pengawas mengalami masalah pakaian. Lalu mereka terpaksa memakai baju putih, sama seperti pelajar-pelajar lain.
.

Apabila pengawas sudah berbaju putih, bahkan nametag tertulis pengawas sudah tidak dipakai, maka orang hanya buat sambil lewa apabial bertemu dengannya. Seolah-olah kuasa pengawas itu hanya pada baju dan nametag semata-mata. Hakikat ini terjadi pada Zambry. Beliau sudah pun disahkan sebagai MB, tetapi jawatannya itu hanya pada nama.

Lihatlah peristiwa yang berlaku baru-baru ini, beliau dihalau seperti budak-budak biasa. Sekiranya di dalam SUK, beliau boleh mengeluarkan arahan dengan sesuka hati. Tetapi, apabila beliau bertandang ke rumah orang, tuan rumah begitu mudah menghalaunya. Ini kerana beliau hanya tertulis “MB”, tetapi hakikatnya dia bukan MB.

Kalau dalam filem-filem, banyak ditayangkan bahawa kekuasaan seseorang raja itu pada mahkotanya. Oleh itu, orang ramai bertungkus lumus merebut mahkota tersebut. Sesiapa yang berjaya mendapatkan mahkota tersebut, beliau akan menjadi raja. Pelik bukan? Bahkan bertambah pelik, kenapakah orang ramai melihat mahkota itu sebagai tuhan?

Apabila seseorang memakainya, dia adalah raja. Tetapi apabila ditanggalkan, dia tidak dipanggil sebagai raja. Oleh itu, raja yang sebenar bukanlah orang, tetapi sebentuk mahkota. Memang cerita yang tidak masuk akal. Ini kerana ia sudah dibuktikan hari ini. Apabila Zambry berjaya memakai nama “MB”, adakah beliau sememangnya MB?

Tidak! Beliau hanyalah MB pada nama. Contohnya, kereta Camry. Saya memiliki sebuah kereta buruk tahun 1980 an yang sudah lekuk dan berkarat. Saya pergi berjumpa dengan syarikat Toyota, dan membayar sejumlah wang kepadanya, bahkan memaksanya untuk mengiktiraf bahawa kereta saya tersebut adalah Toyota Camry New Version!

Maka, setelah berjaya memaksa pengarah syarikat Toyota untuk mengiktiraf sedemikian, maka saya sudahpun berjaya memiliki sebuah Camry yang tidak dimiliki oleh sesiapa. Bahkan, saya menghebohkan satu dunia bahawa saya pemilik tunggal Camry New Version! Hakikatnya Camry saya ini hanyalah pada nama sahaja, bukan hakikatnya.

Samalah macam Zambry, beliau adalah MB pada nama, tetapi hakikatnya beliau adalah orang biasa. Dan saya nasihatkan kepada semua orang, supaya tidak tertipu dengan nama MB yang dilekatkan pada dirinya. Hanya membuang masa sahaja orang yang mengikut perintah dan arahannya. Cuba bayangkan ketika Zambry diguling oleh semua orang, dimanakah MBnya ketika itu?

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

ONE MALAYSIA : NILAI YANG HANYA LAKU SELAMA DUA BULAN

Sepertimana yang telah kita ketahui, istilah One Malaysia yang diperjuangkan oleh Najib, hakikatnya hanya laku selama dua bulan sahaja. Langsung tiada guna. Cepat sahaja harganya jatuh. Kalau kita perhatikan, beberapa jenama barangan, kadangkala harga cepat sahaja jatuh. Contohnya handphone 33sekupang. Kalau dahulu, kita membelinya dengan RM 400, tetapi hari ini, kita boleh mendapatkannya dengan harga kurang RM 100.

Cuma, barangan jenama One Malaysia keluaran Najib ini, lebih teruk. Selama dua bulan sahaja, harga sudah merudum, bahkan sudah tidak laku. Orang ramai sudah menganggap ia adalah istilah yang sudah basi. Sama macam surat khabar. Kalau semalam kita beli dengan harga RM 2, hari ini kita sudah gunakan ia sebagai pelapik periuk nasik.

Demikian juga Islam Hadhari yang dipelopori oleh Pak Lah sebelum ini. Mereka mendakwa peringkat penerangan sahaja sudah memakan masa dua tahun, tetapi tidak sampai setahun, orang sudah memaki-maki tentangnya, bukan sahaja menerima penerangan. Begitu jugalah One Malaysia kali ini. Dalam masa dua bulan, ia sudah dilabelkan sebagai lapuk.

Di manakah lapuknya One Malaysia? One Malaysia dikatakan lapuk kerana beberapa sebab, dan sebab yang pertama dan utama, ia sendiri tidak dipraktikkan oleh Najib. Bahkan beliau sudah mual untuk memperkatakan tentangnya. Buat habis air liur sahaja. Sebaliknya orang bukan Melayu sudah semakin bertambah memberi sokongan kepada PR. Memanglah membazirkan karannya!

Selain daripada itu, nama Najib yang sudah tidak bersih, menyebabkan ramai orang sudah tidak mempercayai perjuangan Najib. Beliau hanya dilihat sebagai seorang yang gila kuasa, atau cuba menjadikan diri sebagai anak angkat Mahadet semata-mata. Apabila seorang yang suka menipu, dan kerap menipu, sudah mula berkata benar. Maka, kata-kata tersebut sudah pasti tidak dipandang.

Bahkan, sudahlah sebelum ini kerjanya menipu, One Malaysia pun adalah salah satu alatnya menipu rakyat, sudah pasti tiada siapa yang akan mendengarnya. Bahkan semakin menambahkan kebencian kepadanya. Benarlah apa yang selalu dikatakan, orang tipu selalu rugi. Correct.. correct.. correct…

Faktor yang ketiga yang menyebabkan One Malaysia mengalami keruntuhan harga, ialah strategi Najib di dalam menarik sokongan bukan Melayu. Najib hanya mengharapkan kepada MIC dan MCA untuk menarik bangsa-bangsa mereka, tetapi hakikatnya UMNO, MIC, dan MCA, kesemuanya ditolak oleh rakyat.

Apakah tanggapan bukan Melayu terhadap Najib? Langsung talak bule pakai… Bahkan MIC dan MCA pun semakin berbulu dengan perangai UMNO hari ini. Gilakan kuasa punya pasal, masing-masing bergaduh. Saya yakin, orang India MIC lebih menyukai dan mencintai Samy Vellu berbanding Najib!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Tuesday, June 2, 2009

PERJUANGAN BUKANLAH HANYA MENDIRIKAN SOLAT SEMATA-MATA KEMUDIAN TIDUR


Segelintir manusia yang tersilap di dalam memahami erti perjuangan, kadangkala tersimpang daripada perjuangan yang sebenar. Mereka adalah orang yang sangat rugi. Ini kerana mereka mengatakan bahawa Islam itu ibadat, solat, zakat puasa dan sebagainya. Namun, dalam masa yang sama, mereka membiarkan Islam itu dirobek oleh musuh-musuh Allah. Adakah mereka tidak merasa sensitif dengan agenda merosakkan Islam ini?

Antara yang banyak terjadi, sepertimana artikel sebelum ini yang bertajuk "Yakin dengan Allah tidak bererti kita tidak perlu berjuang". Namun hari ini, mereka yang bersolat, berpuasa dan sebagainya kemudian tidur, tanpa mempedulikan nasib orang Islam yang lain. Mereka ini juga tidak layak bergelar pejuang. Bahkan merekalah yang banyak berdalih memberi alasan untuk tidak berjuang.

Sangat rugi. Mereka mempunyai kefahaman, dan ilmu. Mereka tahu bahawa itu salah dan ini salah, tetapi disebabkan kemalasan mereka, mereka lebih suka berdiam diri. Mereka lebih suka duduk di rumah sambil menonton TV. Apabila mereka melihat gejala kerosakan akhlak, mereka menyalahkan PAS, "Inilah PAS, asyik berpolitik sahaja, umat sendiri dibiarkannya!"

Mereka berkata demikian dalam keadaan mereka sedang bergoyang kaki, sambil memakan kuaci di hadapan TV. Sedangkan pejuang-pejuang di sana hampir separuh mati menyelamatkan Islam, sebaliknya inilah hadiah yang diberi sebagai ucapan pembunuh semangat. Bahkan, mereka juga lebih seronok bergaya dengan gaya seorang yang hebat dalam ilmu.

Mereka mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang berilmu, faham dan banyak lagi, tetapi mereka membiarkan umat Islam ditindas. Mereka menyalahkan PAS lagi, kenapakah PAS tidak utamakan masjid sebagai institusi utama? Mengapakah PAS membiarkan orang-orang yang rosak akhlaknya? Mengapa dan mengapa...

Lebih parah lagi apabila mereka menyangka bahawa Islam itu hanyalah solat, zakat, puasa dan haji. Alhamdulillah, mereka mendirikan solat. Mereka juga berqiamullail. Tetapi, mereka sendiri yang membiarkan Islam itu dirobek. Perjuangan meninggikan Islam mereka labelkan sebagai politik kotor. Bahkan ia bercanggah dengan syariat, kata mereka dengan penuh bergaya sebagai seorang yang alim.

Mereka berkata perlahan "PAS tidak sepatutnya begitu... dulu memang betul PAS berjuang, tetapi hari ini sudah tersimpang..." Inilah gaya seorang yang hanya duduk dihadapan TV sambil memerhatikan masyarakat setempat rosak. Mereka hanya pandai bercakap. Apabila sudah puas mengutuk PAS, mereka masuk bilik dan tidur. Inilah zikir harian mereka. Hentikanlah tabiat ini.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

PERCANGGAHAN ANTARA ISLAM DAN POLITIK KOTOR

Islam itu adalah agama yang lengkap. Setiap perkara dan perbuatan terdapat panduan yang digariskan oleh Islam. Cuma kita sahaja yang tidak tahu. Tetapi, apabila tidak tahu, dikatakannya Islam itu kurang, tidak lengkap dan sebagainya. Dalam masa yang sama, Islam mengajar kita berpolitik dengan cara yang sebenar. Memang benar, politik terbahagi kepada politik bersih, dan politik kotor.

Islam menentang sebarang bentuk politik kotor. Tetapi apa yang terjadi hari ini, beberapa golongan melabelkan PAS sebagai politik kotor. Tetapi mereka sendiri tidak berpolitik walaupun politik bersih. Bahkan mereka mengatakan politik itu adalah sesat. Pandainya mulut mereka mengeluarkan fatwa. Kalau tidak tahu, jangan katakan tiada.

Antara politik kotor yang jelas ditentang oleh Islam ialah, "zalim". Entah, saya tidak tahu sekiranya masih ada beberapa kerat manusia yang masih katakan UMNO itu tidak zalim. Sekiranya ada sesiapa yang mahukan bukti, maka saya persilakan kepadanya mengikuti perkembangan semasa. Kalau tidak tahu, jangan katakan tiada!

Sebaliknya, PAS juga yang disalahkan sebagai pengamal politik kotor. Antara yang dilabelkan kepada PAS sebagai "kotor" ialah mengutuk orang, mengaibkan orang, menghina sesama Islam, memfitnah dan sebagainya. Entah, dia sendiri pun tidak tahu tentang penghinaan UMNO terhadap Islam. Mereka juga hanya memejamkan mata sahaja apabila melihat UMNO memfitnah Islam.

Entah, fakta apa lagi yang boleh membuka mata mereka supaya dapat melihat kezaliman mereka terhadap Islam. Anda pula, hanya tahu mendakwa PAS sebagai "kotor". Sedangkan mereka memijak-mijak Islam anda hanya membutakan mata. Anda mengatakan PAS itu kotorkan perjuangan, sedangkan anda itu tidak tahu. Orang jahil hanya tahu meruntuhkan binaan, tetapi untuk membinanya, haram tak tahu.

Inilah salah satu anai-anai yang cuba meruntuhkan keutuhan PAS. Sambil berlagak sebagai seorang yang tahu dan memahami perjuangan sebenar, mereka juga bertindak sebagai anai-anai. Anai-anai tahu membina busutnya, tetapi busutnya itu dibina pada tempat yang tidak kena, dan berpotensi menghancurkan binaan yang besar yang lebih cantik daripada busutnya.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Monday, June 1, 2009

“YAKIN DENGAN ALLAH” TIDAK BERERTI KITA TIDAK PERLU BERJUANG

Berjuanglah dengan keyakinan. Janganlah jadi seperti mereka yang hanya yakin tetapi tidak berjuang. Bahkan mereka mengatakan bahawa, “sudah yakin, apa perlunya berjuang?”. Ini bukanlah andaian semata-mata, tetapi ia adalah realiti yang terdapat di dalam benak beberapa golongan manusia. Artikel ini akan menjelaskan satu persatu tentang pemikiran songsang ini.

Golongan ini beranggapan bahawa mereka begitu yakin bahawa Islam pasti akan menang. Maka, tidak perlulah kita bersusah payah berjuang pada hari ini, kerana kemenangan itu satu yang pasti. Mereka menggunakan contoh yang tersilap, dengan mengatakan bahawa, seseorang yang sudah dijamin oleh cikgu, lulus dalam peperiksaan, maka, apa perlunya mengulangkaji pelajaran?

Untuk menolak pandangan mereka ini, marilah kita lihat Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW sudah pun dijamin syurga, bahkan Baginda SAW sudah pun menyebut beberapa sahabatnya yang dijamin syurga. Maka, apa perlunya Baginda SAW bersusah payah menyebarkan Islam, bersusah payah berhijrah, bersusah payah menahan ejekan dan sebagainya? Adakah Baginda SAW tidak yakin dengan Allah SWT yang menjamin syurga baginya?

Begitu juga kita melihat kesungguhan Baginda SAW dalam menyebarkan Islam. Walaupun terpaksa mengharungi beberapa peperangan. Bukankah doa Baginda SAW mustajab? Kenapakah tidak berdoa sahaja supaya orang kafir dimusnahkan oleh Allah sebelum berperang lagi? Bahkan Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Baginda SAW, “Kenapa perlu bersusah payah untuk beribadah sedangkan engkau telah dijamin syurga?”.

Nabi SAW menjawab “Salahkah sekiranya aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur?”. Inilah jawapan ringkas oleh Nabi SAW yang sepatutnya disedari oleh kita. Bahkan kita melihat, perjuangan Baginda SAW yang melalui jutaan rintangan. Sedangkan Baginda SAW sendiri memberitahu bahawa Islam pasti akan menang satu hari nanti. Maka apa perlunya Baginda SAW berjuang sekiranya Islam pasti akan tertegak?

Maka, jawapan bagi mereka yang terdapat kesilapan dalam memahami ini, ialah dengan menyatakan bahawa “yakin dengan Allah, tidak bererti kita tidak perlu berjuang”. Bahkan, disebabkan kita yakin dengan Allah lah, kita wajib berjuang. Ya, perjuangan Islam itu adalah wajib.

Sekiranya Baginda SAW yang sudah dijamin syurga dan dijamin kemenangan juga berjuang dan bersusah payah menegakkan Islam, adakah kita hanya boleh mendapatkannya hanya dengan yakin semata-mata? Adakah kemuliaan kita lebih hebat berbanding Nabi SAW? Nabi SAW pun pergi berperang, adakah kita hanya perlu “yakin dengan Allah”, tetapi membiarkan Islam itu dihancurkan?

Mereka juga mengatakan bahawa, Islam itu kepunyaan Allah, dan Allah akan memeliharanya. Maka, saya bertanya balik, “Kamu itu adalah hamba Allah, adakah kita membiarkan agama Allah itu dihancurkan?”. Adakah Nabi SAW tidak mendapat keyakinan sehebat anda? Adakah keyakinan anda lebih hebat daripada keyakinan Nabi SAW sehinggakan anda hanya perlu yakin dan menunggu kemenangan itu sampai?

Hakikatnya yang sebenarnya ialah “berjuang dengan yakin”, bukanlah yakin menang, tetapi tidak berjuang. Orang yang tidak mengulangkaji pelajaran kerana sudah yakin bahawa cikgu akan memberi kelulusan seratus kepadanya, akan menjadi seorang yang bodoh dan malas. Bahkan dia mengatakan bahawa aku tidak perlu mengulangkaji pelajaran kerana cikgu sudah menjamin memberi kelulusan seratus kepada aku. Inilah kalam orang yang bodoh dan malas.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

UMNO GUNA ISTILAH “POTONG” UNTUK TAKUTKAN BUKAN ISLAM

Harakahdaily semalam ini menceritakan bahawa antara slogan yang diburuk-burukkan oleh UMNO ialah “Siapa masuk PAS, kena potong”. Masing-masing sudah memahami erti potong ini. Namun, antara kejayaan UMNO selama ini ialah dengan bermodalkan slogan tersebut untuk menjatuhkan PAS, memburuk-burukkan Islam sendiri.

Sepertimana yang kita ketahui, “potong” yang dimaksudkan tersebut ialah bersunat. UMNO memburuk-burukkan Islam di hadapan mata bukan Islam, kerana PAS selama ini memperjuangkan Islam. Maka, di antara cara untuk menampakkan Islam itu keji, mereka berusaha menampilkan pelbagai slogan-slogan, dan antara slogan itu ialah “potong”.

Namun, hakikatnya potong itu adalah untuk Islam. Bahkan ia sudah dibuktikan kebaikannya. Sekiranya mereka memburukkan istilah potong, tidakkah mereka sedar bahawa mereka (UMNO) sendiri sudah dipotong (disunat)? Bahkan mereka menyuruh anak-anak mereka bersunat. Tetapi, ia cuba digambarkan satu suasana yang ngeri kepada orang bukan Islam.

Walaubagaimanapun, hikmah bersunat sangat besar, yang perlu diketahui oleh orang bukan Islam. Islam itu adalah agama yang menekankan kebersihan, dan salah satu bentuk kebersihan luaran ialah dengan bersunat. Bersunat melambangkan kebersihan yang cukup terperinci oleh Islam. Tetapi, ia digambarkan sebagai cerita seram, oleh UMNO terhadap orang bukan Islam.

Kalau sebelum ini, kerap juga dimomokkan dengan istilah “hudud”. Mereka menggambarkan hudud itu sebagai hukuman kejam yang dijatuhkan kepada setiap manusia. Sedangkan ia hanya untuk orang Islam sahaja. Mereka menjemput dan mempersilakan beberapa ulama mereka untuk mengeluarkan dalil kekejaman hudud.

Antara yang disebut, ialah seperti hukum memotong tangan bagi pencuri. Saya teringat lagi Masyitah mengatakan di satu perhimpunan, bahawa orang yang mencuri ini tidak sepatutnya dipotong tangan, bahkan kita sepatutnya memberikan mereka peluang bekerja. Inilah kebodohan Masyitah yang menyamar sebagai ulama.

Hakikatnya, orang yang sudah ada duit pun turut mencuri. Bahkan Islam bukan terus menghukum potong tangan kepada mereka yang mencuri, bahkan mereka yang mencuri tersebut dilihat pada kadar yang barang yang dicuri, dan orang yang mencuri. Sesedap mulut sahaja Masyitah berkata demikian.

Hari ini, mereka momokkan pula dengan istilah “potong”. Kebodohan mereka terserlah apabila seorang bukan Islam bertanya kepada mereka “Wahai menteri-menteri Melayu, bukankah kamu juga telah dipotong?, dan kamu juga menyuruh anak kamu memotong?”. Masyitah boleh mengatakan seperti tadi kerana hartanya tidak pernah dicuri.

Saya yakin, sekiranya beliau pernah mengalami kecurian, sudah pasti beliau akan mengeluarkan fatwa supaya orang yang mencuri ini dibunuh sahaja. Bukankah ini adalah satu hakikat yang begitu bodoh?

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Sunday, May 31, 2009

KE HADAPAN MUFTI YANG AKU SAYANGI….


Pernah saya tuliskan sebuah artikel khas untuk muftiku yang disayangi sebelum ini sebagai tanda memberi nasihat. Walaupun saya ini bukanlah orang yang lebih hebat daripada anda, tetapi saya yakin nasihat itu berguna untuk anda. Walaupun anda tidak membuka blog ini sekalipun, sekurang-kurangnya saya telah berusaha memberi nasihat, daripada diam membatu sahaja.

Sepertimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, saya mengakui ilmunya, tetapi kurang bersetuju dengan tindakannya. Kadangkala, tindak tanduk seseorang itu dipengaruhi beberapa unsur, seperti marah, taksub, keinginan dan sebagainya. Saya tidaklah menduduh beliau mempunyai ketiga-tiga unsur ini, sebaliknya saya cuma mengatakan bahawa tindak tanduk seseorang itu kadangkala dipengaruhi unsur-unsur luar.

Kadangkala, tindakan Zambry membuat rayuan tempoh hari, “mungkin” disebabkan unsur keinginan untuk mendapatkan kuasa. Ini kerana, sekiranya beliau sudah tidak berminat (tidak ingin) untuk menjadi MB, masakan beliau masih membuat rayuan. Sekiranya anda mengatakan Nizar juga begitu, itu adalah tanggapan yang tersilap, kerana tindakan Nizar untuk mendapatkan kuasa, kerana itu adalah haknya yang sah sebelum ini. Ia adalah keinginan untuk menegakkan kebenaran. Bukankah bagus sekiranya begini.

Begitu juga kepada mufti yang aku sayangi ini. Beberapa tindakan beliau yang pelik sejak kebelakangan ini mungkin didorong oleh beberapa unsur. “Mungkin” beliau mempunyai unsur “tidak suka” kepada Ustaz Ahmad Awang, atau mungkin “regik” dengan kaum Cina, atau sebagainya, yang saya sendiri tidak mengetahui. Cuma, saya yakin beliau didorong oleh sesuatu.

Tentang fatwa berkenaan mogok lapar tempoh hari, apa yang saya nampak beliau begitu tergesa-gesa dalam menghukum PAS melakukan mogok lapar, sedangkan hakikatnya adalah puasa sunat. Maka, tindakan beliau yang tergesa-gesa ini mengundang pelbagai spesifikasi buruk orang terhadapnya. Maka, saya harap beliau tidak lagi tergesa-gesa lagi sepertimana yang terjadi.

Sepertimana yang saya sebut, saya tidak menafikan ilmunya, dan saya menghormati ilmunya, tetapi kadangkala kita rasa “berbulu” dengan beberapa tindakannya. Mungkin kita boleh katakan, beliau mempunyai maslahah tertentu untuk berkata demikian, namun, maslahah bertujuan menolak mafsadah, bukannya maslahah bertujuan mengundang mafsadah yang lebih banyak dan lebih teruk.

Saya yakin, sekiranya beliau mengkaji dengan teliti terlebih dahulu, masakan beliau boleh menghukumkan mogok lapar kepada mereka yang berpuasa sunat. Zambry juga menyuruh orang-orangnya berpuasa sunat, tetapi tiada siapa yang menuduhnya melakukan mogok lapar. Tidak mengapalah, perkara yang sudah berlalu, tetapi hakikatnya ia perlu dijadikan pengajaran supaya tidak diulangi tindakan tersebut.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

PEDULIKAN KEMUNCUP-KEMUNCUP PERJUANGAN (Siri 2)


Sebelum ini telah menyebut tentang jenis kemuncup yang telah menghinggapi badan Baginda SAW. Langsung tidak dipedulikannya. Kemuncup seterusnya adalah permintaan oleh Bapa Saudaranya sendiri. Apabila Baginda SAW diminta untuk berhenti daripada menyebarkan Islam, Baginda SAW membalas dengan lembut, bahawa beliau tidak akan berhenti daripada melakukan kerja-kerja Islam, walaupun matahari diletak di tangan kanannya, dan bulan di tangan kirinya.

Begitu juga kita hari ini. Kadangkala, disebabkan “keluarga”, kita malas berjuang. Kita meninggalkan perjuangan disebabkan permintaan keluarga, khususnya isteri sendiri. Adakah kita akan meninggalkan perjuangan ini? Inilah satu

Katakanlah wahai Muhammad : “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri (atau suami-suami), keluarga-keluarga, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan kamu yang dikhuatiri merosot dan kediaman-kediaman kamu, (semua ini) lebih kamu cintai daripada Allah SWT, RasulNya, dan berjihad untuk AgamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan azab seksanya… (Surah at Taubah : 24)

Selain itu, Baginda SAW juga dihinggapi kemuncup jenis ancaman. Ia mengancam nyawa Baginda SAW sendiri. Iaitu ketika orang-orang kafir Quraisy, sebangsa dengan Baginda SAW bersepakat untuk membunuh Baginda SAW. Sehinggakan beliau selamat dengan berhijrah ke Madinah. Bahkan di pertengahan hijrah tersebut, beliau masih lagi diburu oleh mereka. Namun, Baginda SAW tidak pernah merasa lemah dengan ancaman ini.

Perjuangan masih diteruskan walaupun kemuncup ini hinggap padanya. Begitu juga kita, ancaman yang menghinggapi tubuh kita tidak perlu dijadikan sebab kita berhenti daripada berjuang. Sekiranya kita berhenti, kita akan terkandas daripada jalan perjuangan ini. Pedulikan kemuncup ini. Ia hanya membuang masa, sedangkan perjuangan perlu diteruskan.

Selain itu, banyak lagi kemuncup-kemuncup yang hinggap ketika kita sedang menyelusuri jalan perjuangan ini. Pedulikan ia. Sekiranya kita berhenti untuk mencabutnya satu persatu, di hadapan nanti kita akan terkena juga. Dan kita akan berulang kali berhenti untuk mencabut kemuncup-kemuncup ini. Abaikan ia.

Sekiranya kita tidak mempedulikannya dia akan melekat, tetapi sekiranya kita mengambil peduli, ia tetap akan lekat juga. Sama sahaja. Cuma, sekiranya kita mengambil peduli, kita akan membuang banyak masa, membazir banyak tenaga dan mengabaikan tumpuan kita yang sebenarnya. Sedangkan masa itu terlalu sempit bagi pejuang, tenaga itu begitu banyak diperlukan untuk berjuang, dan tumpuan kita telah perlu kepada perjuangan, bukan pada kemuncup.

Kemuncup yang melekat, tidak akan memberi mudharat, tetapi sekiranya kita mengambil peduli tentangnya, keselamatan kita akan tergadai. Sedikit kecuaian seorang tentera boleh membawa padah kepada satu kumpulan, tetapi sekiranya terabai disebabkan kemuncup, maka perjuangan akan menerima padah…

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

PEDULIKAN KEMUNCUP-KEMUNCUP PERJUANGAN

Istilah “kemuncup” ini telah diciplak oleh saya daripada dua Tok Guru. Pernah saya terlihat sebuah buku karangan Tok Guru Nik Aziz tentang kemuncup ini. Begitu juga Tok Guru Haji Hadi yang pernah menyebut tentang realiti kemuncup ini. Hakikatnya artikel ini khas saya tulis untuk pejuang-pejuang PAS, dan umumnya Pakatan Rakyat. Kepada yang bukan tergolong dalam golongan ini, saya syorkan tidak perlu baca.

Yang dimaksudkan dengan kemuncup-kemuncup perjuangan ini ialah sampingan-sampingan yang mengganggu perjuangan. Ibarat seorang yang sedang berjalan untuk ke medan pertempuran, mereka tidak akan terpengaruh dengan kewujudan kemuncup-kemuncup yang melekat pada pakaiannya. Ini kerana, sekiranya mereka sibuk dengan kemuncup ini, perjuangan mereka akan terkandas.

Begitu juga kita hari ini. Kadangkala kemuncup ini terlalu besar, tajam dan menggatalkan. Namun, sedikit pun tidak dapat memberi luka kepada kita. Pedulikan ia. Sekiranya kita sibuk melayan kemuncup-kemuncup ini, kita akan terkandas daripada perjuangan seperti seorang askar yang ditawan disebabkan sibuk mencabut kemuncup di seluarnya. Maka, pedulikan kemuncup-kemuncup ini.

Kadangkala kita merasa rimas dengan kewujudannya, tetapi hakikatnya tiada erti “rimas” dalam perjuangan. Rimas yang sebenar ialah benci kepada kejahatan dan kezaliman. Mungkin boleh dijelaskan tentang beberapa jenis kemuncup ini, antaranya ialah penghinaan, kritikan dan tuduhan orang terhadap kita. Pedulikan ia.

Kadangkala ia berbentuk ancaman, seperti ancaman disekat sumber kewangan, ancaman keselamatan dan sebagainya. Pedulikan ia. Nabi SAW sudah berpesan :
.

Dan hendaklah engkau tahu, bahawa sekiranya manusia bersatu untuk memberi manfaat kepada kamu, tidak mungkin mereka dapat memberi manfaat tersebut, melainkan ia telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu. Sekiranya mereka bersatu untuk mengancam kamu, tidak dapat mereka mengancam kamu melainkan ia telah ditetapkan oleh Allah… (Riwayat at Tirmizi, Imam Ahmad dan lain-lain)

Kadangkala, jenis kemuncup ini berbentuk godaan, seperti rasuah dengan berates ribu ringgit, diberi rumah dan sebagainya. Pedulikan ia kerana ia akan menyebabkan anda terkandas di atas jalan perjuangan. Lihatlah kemuncup-kemuncup yang melekat pada pakaian Baginda SAW, sedikit habuk pun tidak memberi kesan terhadap perjuangannya.

Baginda SAW pada permulaannya dihinggapi kemuncup yang menggoda. Baginda SAW telah ditawarkan pangkat yang tinggin, gaji yang lumayan, kediaman yang besar dan perempuan yang cantik. Namun, kemuncup ini langsung tidak dipedulikannya, bahkan ia terus menerus menghinggapi badan Baginda SAW.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah