Saturday, June 6, 2009

SIAPAKAH YANG BERHAK MENGHALAL DAN MENGHARAMKAN? (Siri 1)

Islam telah menetapkan bahawa satu-satunya kuasa yang berhak menghalal dan mengharamkan sesuatu itu adalah kuasa Allah semata-mata. Tidak kira betapa tingginya darjat seseorang tersebut di dalam agama Allah, ataupun dari sudut pandangan manusia, ia tetap hak Allah SWT semata-mata. Ia bukanlah hak orang cendekiawan atau ahli ugama, bukan juga milik raja atau sultan, untuk mereka menentukan sesuatu itu haram selama-lamanya kepada mana-mana manusia.

Maka, sesiapa yang melakukan demikian, bermakna dia telah melampaui batasan hak Allah SWT di dalam mengatur syariat bagi semua makhluk. Bahkan, sesiapa yang mengakui bahawa mereka berhak untuk mengatur syariat, dan orang ramai mengikutinya, seolah-olah dia telah menjadikan aturan mereka tersebut sebagai tandingan bagi Allah, dan mereka yang mengikutinya turut dikatakan sebagai syirik.

Allah SWT berfirman

Adakah patut bagi mereka, mempunyai sembahan-sembahan selain daripada Allah yang menyusun syariat di dalam agama, sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah asy Syura : 21)

Al Quran mengkritik golongan ahli kitab yang telah memberikan kekuasaan untuk menghalal dan mengharamkan kepada golongan-golongan cerdik (pendeta), dan ahli-ahli ugama dari kalangan mereka. Allah SWT berfirman

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah : 31)

Seorang sahabat Nabi SAW, ‘Adiy bin Hatim telah datang berjumpa Baginda SAW (beliau adalah penganut agama Nasrani sebelum Islam). Ketika mana beliau mendengar Nabi SAW membacakan ayat 31 Surah at Taubah tersebut, beliau berkata : “Wahai Rasulullah, mereka bukanlah menyembah benda-benda (cendekiawan dan ahli ugama) tersebut” Lalu Baginda SAW menjelaskan

“Benar apa yang kamu katakan. Sesungguhnya mereka telah mengharamkan apa yang dihalalkan ke atas mereka, dan mreka juga menghalalkan apa yang diharamkan, lalu mereka mengikut sahaja syariat sesat tersebut. Maka perbuatan ini dikira penyembahan terhadap benda-benda tersebut”

Di dalam riwayat lain, bahawa Nabi SAW bersabda untuk mentafsirkan ayat 31, Surah at Taubah dengan berkata : “Sekiranya mereka tidak dikatakan menyembah benda-benda tersebut, akan tetapi apabila benda-benda tersebut menghalalkan sesuatu perkara, mereka juga turut menghalalkannya. Begitu juga apabila benda-benda tersebut mengharamkan sesuatu perkara, mereka juga turut mengharamkannya.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

1 comment:

  1. "Islam telah menetapkan bahawa satu-satunya kuasa yang berhak menghalal dan mengharamkan sesuatu itu adalah kuasa Allah semata-mata."

    Saya nak tanyalah kuasa Allah itu sekarang ditangan siapa ???

    ReplyDelete