Berita hari ini telah menyiarkan berita tentang kecemerlangan Madihah yang mendapat 20A di dalam SPM baru-baru ini. Beliau yang bersekolah di Maahad Muhammadi Perempuan, adalah seorang yang menjalani hidup yang susah dan menghadapi cabaran yang besar. Alhamdulillah, berkat daripada usaha gigihnya, beliau telah mendapat kejayaan yang besar, sehingga dapat meringankan beban keluarga.
Turut diberitakan juga, terdapat beberapa pihak yang berlumba-lumba untuk menaja pengajian beliau yang telah ditawarkan untuk menyambung pengajian ke luar negara, antaranya London. Begitu juga kediaman beliau yang telah dilawati oleh Menteri Besar Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lalu menghadiah kepadanya sebuah rumah, sepertimana yang telah diberitakan di dalam Harakahdaily.
Hati kecilku berbisik sendirian apabila mengetahui tentang kisah ini, semenjak beberapa hari lalu. Apa yang merisaukan saya ialah kesempatan-kesempatan yang dilakukan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab di atas kelebihan yang dimilikinya. Saya tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi sekadar melontarkan sedikit pandangan supaya sama-sama difikirkan.
Sepertimana yang telah diberitakan, Madihah telah ditawarkan untuk menyambungkan pelajaran ke London dan mendapat pinjaman penuh oleh MARA. Bahkan, beliau tidak perlu melalui A Level di Malaysia, bahkan terus sahaja ke London. Apabila mengetahui perkara ini, saya juga ingin membuat tawaran kepada Madihah.
“Saya menawarkan supaya Madihah menyambungkan pelajaran ke STAM dan mengambil bidang agama. Kemudian boleh menyambungkan pelajaran ke mana-mana institusi di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan, Yaman, Syria dan banyak lagi.”
Saya tak mampu untuk menjamin apa-apa pinjaman, biasiswa atau apa sahaja bentuk bantuan, tetapi, hanya sekadar berusaha untuk mengajak Madihah menyambungkan pelajaran di dalam bidang agama. Biarlah orang hendak kata apa. Walaupun orang lain mengatakan ini adalah tawaran yang “sampah”, maka lihatlah, siapa yang akan menjadi “sampah” itu.
Tawaran istimewa ini juga ditujukan kepada semua pihak, yang inginkan satu nilai yang kekal walaupun diri anda sudah reput dimamah tanah kubur. Walaupun saya hanya mampu menulis, dan kemungkinan tidak dibaca, tetapi, saya sudah berusaha untuk membuat tawaran akhirat kepada beliau. Sekiranya terdapat golongan yang ingin mengkritik tawaran ini, sila berbuat demikian selagi anda masih boleh berbicara.
Saya tidak mengatakan sesuatu yang buruk kepada London atau MARA yang membuat tawaran itu, tetapi saya mengatakan sesuatu yang jauh lebih baik daripada itu, untuk dipilih dan dinilai dengan penilaian hati, bukan dengan akal dan nafsu semata-mata.
“Sekiranya MARA mampu memberikan pinjaman penuh untuk menyambungkan pelajaran ke London, saya tidak mampu memberikan sesen pun untuk ke Timur Tengah. Tetapi, jangan lupa, bukanlah saya yang memberi rezeki itu, tetapi Allah SWT yang Maha Pemurah”.
Salam Perjuangan,
Dr Fikrah
artikel ini patut dihantar ke email Madihah...
ReplyDelete