Blog SIASAH telah melaporkan bahawa Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan kepada Yang Dipertuan Agong supaya tidak menerima Najib sebagai Perdana Menteri. Beliau mengatakan bahawa sekiranya Najib naik sebagai Perdana Menteri akan memecahbelahkan rakyat, dan hakikatnya begitu.
Kalau sebelum ini, Akta Hasutan sudah di”kena”kan kepada beberapa tokoh yang menampakkan satu akta yang disalahgunakan oleh pihak tertentu. Sekiranya mana-mana unsur hasutan membenci pimpinan, sudah pasti dikenakan tindakan di bawah akta tersebut. Walaupun pemimpin tersebut melakukan kejahatan dan kezaliman sekalipun, tetap orang yang membenci tersebut dikenakan tindakan.
Tidak bolehkan seseorang itu merasa benci dengan kezaliman? Adakah dengan luahan kebencian kepada orang lain sudah dianggap sebagai hasutan? Apabila ditanya kepada pihak penguasa, mereka akan menjawab, kami melaksanakan Akta Hasutan berdasarkan prosedur-prosedur tertentu yang lebih telus dan bersih, sedangkan ini hanyalah omongan kosong.
Sekiranya kekejaman ini berterusan, pemerintahan Perdana Menteri akan datang akan menghadapi kemelut politik yang jauh lebih teruk berbanding hari ini. Sekiranya Pak Lah sudah digelar kuat tidur, Perdana Menteri akan datang, akan dituduh kuat mengigau. Sekiranya Pak Lah sudah dituduh tidak pandai mentadbir, Perdana Menteri akan datang, akan dituduh pandai menipu.
Inilah roda kehidupan yang sentiasa berputar. Sekiranya Najib hari ini mampu tersenyum dengan kejayaan beberapa perancangannya, dia akan menangis satu hari nanti. Setiap yang sedang menghadapi kegagalan hari ini, akan menikmati kejayaan satu hari nanti. Semua ini adalah roda kehidupan yang tidak dapat dihentikan dengan tangan manusia.
Maka, sekiranya hari ini rakyat Malaysia ditekan dengan Akta Hasutan, atau pelbagai lagi akta-akta yang mempunyai kepentingan, maka satu hari nanti Akta Hasutan tersebut, akan menghukum kembali kelakuan mereka hari ini. Hari ini, membenci kezaliman, pasti akan dihukum, tetapi satu hari nanti sesiapa yang membenci kebaikan pasti akan dihukum.
Maka, hari ini mereka boleh tertawa dengan segala kesenangan melalui kezaliman yang telah dilakukan, tetapi satu hari nanti mereka akan menyesal. Setiap manusia pasti akan tua, atau meninggal dunia ketika muda, adakah mereka tidak sedar, sekiranya mereka sudah tua, memori kezaliman yang mereka lakukan ketika muda dahulu tidak dapat dipadam.
Begitu juga setelah mereka mati, mayat mereka akan menjadi bahan kutukan manusia sehingga hari ini. Lihatlah apa yang terjadi kepada Firaun, sehingga hari ini kita mengenali kejahatannya. Apakah sejarah ini akan berulang di Malaysia?
Salam Perjuangan,
Dr Fikrah
No comments:
Post a Comment