Tuesday, March 17, 2009

ADAKAH PAS BERGABUNG DENGAN UMNO KERANA MELAYU?


Gabungan Pas dengan UMNO yang pernah diwar-warkan sebelum ini dengan menggunakan istilah “perpaduan” atau “campuran”. Di sana juga Tok Guru Nik Aziz telah menolak ajakan untuk bersatu disebabkan beberapa faktor. Namun, pada pandangan saya, di dalam mempersoalkan gabungan PAS dan UMNO, mestilah didasari dengan Islam.

Sebelum ini, kita sudah mengetahui bahawa sekiranya UMNO benar-benar memperjuangkan agama, bangsa dan negara, tidak perlulah diwujudkan PAS. Tetapi, memandangkan keadaan UMNO yang agak kritikal dan cuba membunuh Agama Islam, maka PAS perlu diwujudkan untuk menolak anasir tersebut.

Alhamdulillah, hari ini PAS sudah pun bergabung dengan DAP dan Keadilan untuk membentuk Pakatan Rakyat. Dengan UMNO bila lagi? Persoalan ini dapat dirungkaikan dengan melihat kepada sebab gabungan. Sekiranya PAS bergabung dengan UMNO semata-mata untuk menyelamatkan bangsa Melayu, sudah pasti akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Hakikatnya, gabungan PAS dan UMNO perlulah didasari dengan Islam. Hari ini, DAP dan Keadilan yang terdiri daripada golongan bukan Islam, dapat menerima PAS. Ini kerana perjuangan PAS, bukanlah perjuangan bersifat taksub bangsa, tetapi dengan kemuliaan Agama Islam. Kita melihat golongan bukan Islam dapat menerima Islam dengan berlapang dada, walaupun mereka bukan beragama Islam.

Saya menyeru kepada semua ahli UMNO dari pimpinan atas, sehinggalah orang bawahan, supaya membetulkan perjuangan anda. Memperjuangkan bangsa Melayu tidaklah salah, tetapi perjuangan tersebut hendaklah didasari dengan Islam, bukan taksub. Timbul persoalan di benak pemikiran kita, kenapakah kita tidak boleh taksub bangsa sendiri?

Jawapan yang mudah ialah, hakikat sebenar, setiap manusia di dunia, berasal daripada Nabi Adam AS, yang bukan berbangsa Melayu, bukan berbangsa Cina, bukan berbangsa India dan sebagainya. Tetapi Nabi Adam AS adalah seorang Nabi Allah yang beragama Islam. Perjuangan bangsa adalah perjuangan yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Siapakah yang boleh mendabik dada bahawa dia adalah Melayu Tulen?

Oleh itu, seruan untuk UMNO ialah bergabung dengan PAS, kerana Islam. PAS sedia menerima sesiapa sahaja yang ingin bergabung dengannya. Allah menerima taubat mereka yang ingin bertaubat, dan menolak mereka yang taubat olok-olok. Namun, sekiranya UMNO benar-benar ingin bergabung dengan PAS kerana Islam, maka tidak akan terjadilah segala kekejaman, politik wang, rampasan hak dan sebagainya.

Bagaimana pula pandangan Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang tidak bersetuju penggabungan tersebut? Hakikatnya, setiap orang mempunyai pandangan peribadi, dan pandangan Tok Guru berkemungkinan hendak memberi pengajaran kepada UMNO yang pernah menendang keluar PAS setelah penggabungan dibuat.

Sejarah sudah mengukir memori yang tidak boleh dipadam. Sudah pasti, UMNO perlu diberi pengajaran supaya mereka lebih berhati-hati di dalam bermain di dunia politik. Sekiranya semua ahli PAS bersetuju dengan penggabungan, sudah pasti di sana UMNO tidak dilihat sebagai seorang yang bersalah yang kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, inilah hikmah Tok Guru di dalam berdakwah.

Namun, ketaatan kita kepada Presiden PAS, Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam membuat apa-apa keputusan. Maka, tidak wujudlah perpecahan sesama ahli PAS, walaupun masing-masing mempunyai pandangan peribadi, namun, ketaatan tersebut melebihi daripada pandangan peribadi tersebut.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment