Semalam, Utusan Malaysia telah menyiarkan berita tentang siasatan SPRM terhadap Speaker Perak, Sivakumar yang dikatakan terdapat “elemen salah guna kuasa”. Kedangkalan SPRM di dalam situasi ini sangat jelas, dan kebodohan mereka semakin terserlah lagi apabila Ketua Pesuruhjayanya membuat kenyataan. Saya harap, kenyataan yang memalukan tersebut tidak diulangi buat kali kedua.
Beliau mengatakan bahawa terdapat “elemen salah guna kuasa” yang dilakukan oleh Sivakumar. Apabila ditanya, apakah elemen tersebut? Beliau berkata…
“Bila saya cakap nanti orang marah, tetapi bagi kita ada elemen salah guna kuasa, jadi SPRM menjalankan siasatan”
“Kes ini bukan melibatkan pendakwaan tetapi masih di peringkat siasatan dan jangan salah anggap. SPRM menjalankan siasatan untuk menentukan keterangan-keterangan berhubung perkara ini dapat dikumpul”
Kenapakah saya mengatakan ia adalah kenyataan yang memalukan? Ini kerana apabila ditanya tentang elemen tersebut, beliau tidak menjelaskannya, kerana bimbang dimarahi orang. Beliau menambah lagi bahawa, ia masih dalam siasatan, oleh itu, elemen tersebut tidak dapat diberitahu. Aku tergelak kerana alasan yang diberikan sangat mengaibkan mereka sendiri.
Semalam, saya terlihat seorang budak sedang memanjat pokok mangga, kemudian turun. Saya menghampirinya, lalu bertanya dengan baik, apa yang kamu lakukan di sini. Dengan tersipu-sipu seperti menyembunyikan sesuatu, budak tersebut menjawab… ”.. adaaalahh… rahsia..” Setelah puas bertanya, tetapi masih lagi menyembunyikan sesuatu, sudah pasti jawapan tersebut, seolah-olah menyembunyikan sesuatu.
Apabila SPRM ditanya, mereka seolah-olah menyembunyikan sesuatu yang misteri. Selama ini, pakar penganalisis sudah pun mengesahkan berdasarkan perlembagaan dan perundangan bahawa penggantungan Zambry adalah sah! Tetapi, apabila sampai kepada SPRM, “terdapat elemen salah guna kuasa di situ”. Saya masih bingung dengan tindakan SPRM semalam.
Selain itu, SPRM menampakkan lagi keaibannya ialah sengaja mengkura-kurakan kes-kes rasuah pimpinan UMNO yang begitu jelas dan terdapat bukit. Tetapi, apa yang mereka buat? Sekadar menerima laporan kemudian tidur! Apabila terdengar khabar angin tentang PR, mereka berkata… “segera buat siasatan!!, kita akan telus dan bersih!!” Habis, bagaimana dengan pimpinan UMNO?
Kes Ali Rustam yang begitu jelas terlibat dalam politik wang, masih lagi dianaktirikan walaupun sudah terdapat bukti yang sah, bahkan disahkan oleh Lembaga Disiplin UMNO sendiri. Tetapi, mereka masih memekakkan telinga. Itulah dia SPRM, apabila ditegur, dikatakan sebagai marah, apabila ditanya, tak mahu menjelaskan.
Saya menyeru kepada SPRM agar bertindak benar-benar telus dan jujur. Kalau mereka masih begini, mereka sendiri akan menerima tohmahan dan kutukan daripada semua orang. Malang betul. Saya tidak mahu mereka jadi lebih teruk, dan harap agar teguran ini mampu merubah prestasi mereka.
Salam Perjuangan
Dr Fikrah
No comments:
Post a Comment