Saturday, June 13, 2009

HERO-HERO YANG BERAK DI TENGAH JALAN!

Asyik-asyik Isu Kerajaan Campuran.. Takda lain kah? Payah sangatkah untuk menerima keputusan Presiden? Adakah kita tidak faham erti ketaatan? Atau kitakah yang lebih hebat, atau lebih berkuasa membuat keputusan? Pening tak sudah. Kadangkala, si ibu juga serabut apabila melihat anak-anaknya bergaduh, walaupun untuk merebut satu kebaikan. Geram juga. Pening pun ada… akhirnya semua pakat tunjuk hebat.

Hampir setiap blog, terdapat ulasan khususnya tentang kerajaan campuran. Masing-masing hendak tunjuk hero dalam isu ini. Masing-masing cuba tunjuk bahawa dia lebih layak untuk berkata dan mengulas isu ini. Saya sendiri tidak berniat dan tidak berminat untuk mengulas tentang kerajaan campuran, tetapi saya cukup suka untuk mengulas tentang ulasan-ulasan yang bertimbun-timbun itu.

Kalaulah kita pungut semua artikel dalam blog-blog itu yang mengulas tentang kerajaan campuran, sudah pasti ia akan berjaya memenuhi bakul-bakul sampah di sebuah negeri. Setiap orang boleh dan bebas mengeluarkan pandangan masing-masing, tetapi hendaklah beradab dan mengikut etika! Kalau ada yang berkata “Suka hati akulah, blog aku, aku punya pasallah..”

Maka, saya menjawab soalan ini dengan menceritakan tentang perumpamaan orang yang berak di tengah jalanraya. Apabila seorang pengguna jalanraya bertanya, “kenapa engkau berak di sini? Takda tandas ke?”. Lalu orang yang berak itu dengan selambanya menjawab “Suka hati akulah, aku punya najis.. perut aku juga…” Patutkah jawapan ini disuarakan?

Ya, setiap orang bebas bersuara, dan berhak terhadap blognya. Tetapi setiap orang tidak sama sekali berhak untuk “berak” di kolum-kolum internet. Mereka juga tidak berhak untuk “berak” di layaran internet sesuka hati! Pergilah tandas kalau hendak berak! Jangan cemarkan imej sendiri kerana beranggapan aku berhak terhadap diri aku. Sedangkan hakikatnya, ia sangat menyusahkan!

Masih ramai yang tidak faham etika ini. Memang benar mereka berhak terhadap blog mereka, tetapi mereka tidak berhak untuk melempar najis mereka sesuka hati. Sedap mulut sahaja tuduh orang itu dan ini. Pandai juga mengulas tentang kerajaan campuran, sedangkan hanya tahu buat najis sahaja. Cuba diamkan mulut anda daripada terus membusukkan PAS!

Orang yang hanya tahu berak di tengah jalan, tidak sepatutnya menganggap diri mereka sebagai hero! Adakah kerana keberaniannya berak di tengah jalan, boleh menjadikan dirinya sebagai hero? Jauh sekali! Langsung tak layak. Janganlah berangan menjadi hero kalau habuk pun tidak tahu. Hero bukanlah mereka yang berani untuk mengaibkan diri mereka.

Selain itu, saya menganggap nasihat kali ini agak lembut. Sepatutnya lebih kasar lagi. Kerana mereka berani mencaci dan memburukkan sesuatu yang baik. Apakah autoriti kita untuk melibatkan diri dalam perbezaan pandangan pimpinan? Adakah kita juga ingin menjadi hero jalanan, sedangkan kita tidak tahu langsung.

Kalau Husam mengemukakan pandangan tersebut, dia tahu dan arif. Manakala Presiden membuat keputusan juga kerana kehebatannya dalam berpolitik. Kita pula? Pandai melaga-lagakan pimpinan! Kita juga ingin berlumba-lumba supaya dikenali ramai dengan sikap buruk yang membuang najis di tengah jalan. Kononnya untuk famous!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Friday, June 12, 2009

MASING-MASING BEREBUT UNTUK MENYELAMATKAN PAS

Krisis kerajaan campuran masih lagi belum selesai, bahkan semakin menimbulkan jutaan pandangan dan hujah. Mungkin dari satu sudut, ia dilihat sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku, tetapi hakikatnya, ia juga perlu terjadi. Ya, percanggahan pandangan dalam masalah kerajaan campuran, perlu juga terjadi. Ini kerana masing-masing berebut dan bercanggah semata-mata untuk menyelamatkan PAS.

Ia jelas berbeza dengan UMNO dalam perhimpunan agungnya sebelum ini. Pimpinan UMNO hanya dilihat merebut jawatan untuk mendapatkan kepentingan masing-masing. Bahkan, menjaga periuk nasi sendiri. Tetapi ia jelas berbeza dengan PAS. Percanggahan pandangan di dalam PAS, membawa kepada keterbukaan, dan semakin ramai rakyat berpusu-pusu mengkaji tentang hakikat ini.

Percanggahan pandangan juga berpunca kerana sayangnya mereka terhadap PAS. Bukanlah kerana kepentingan sendiri. Contoh sepertimana yang terjadi di dalam sebuah keluarga, yang mempunyai 2 anak lelaki, dan seorang adik perempuan yang bongsu. Masing-masing berebut-rebut untuk dokong adik perempuan bongsu tersebut yang masih kecil. Si Abang berkata bahawa dia lebih berhak untuk mendokong adik perempuan tersebut.

Begitu juga si Angah, yang mengatakan bahawa dia lebih berhak. Mungkin si Angah berhujah bahawa abangnya tidak pandai mengokong adik perempuan mereka, atau abangnya agak kasar. Manakala si Abang pula, mengemukakan hujah bahawa Angahnya masih kecil untuk mendokong, dan belum ada pengalaman mendokong seorang adik perempuan.

Masing-masing mengemukakan hujah, untuk berebut mendokong adik perempuan mereka. Kedua-dua abangnya bergaduh untuk memberi kasih sayang kepada seorang adik perempuan mereka. Maka, apabila si Ibu datang melihat gelagat mereka, si Ibu hanya tersenyum melihat gelagat dua anak lelakinya. Bahkan, ibunya tidak menghalang mereka berdua untuk mendokong adik perempuan mereka.

Kedua-dua puak sayangkan PAS. Terpaksa bertikam lidah untuk menyelamat dan meninggikan PAS. Masing-masing mengemukakan hujah untuk menunjukkan bahawa mereka lebih berhak dan lebih sayangkan PAS. Disebabkan sayangnya mereka terhadap PAS inilah, yang membuatkan mereka terpaksa bertikam lidah. Kedua-duanya sayangkan PAS.

Jelas berbeza dengan UMNO. Umpama dua orang adik beradik yang berebut mendapatkan coklat. Siapa yang menang pergaduhan, akan berjaya menikmati coklat yang tak seberapa. Tetapi biasanya si Abang akan menang. Maka, Najib dan orang-orangnyalah yang biasanya menang untuk mendapatkan coklat.

Mereka hanya menang untuk mendapatkan coklat, walaupun terpaksa bertikam lidah, dan bergaduh. Bahkan terpaksa memperuntukkan wang yang besar untuk merasuah dan sebagainya. Semata-mata untuk mendapatkan coklat tersebut! Bukan kerana sayangkan UMNO! Kerana mereka sendiri tahu, UMNO itu hanyalah besi buruk yang boleh memberi coklat kepada mereka.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Thursday, June 11, 2009

BILAKAH KITA PERLU MENGHORMATI KEPUTUSAN?

Sejak kebelakangan ini, berlaku sedikit peristiwa yang sepatutnya menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Saya tidak berniat untuk mengspesifikkan peristiwa yang dimaksudkan, tetapi penjelasan di sini tertumpu pada penghormatan terhadap keputusan yang adil, dan menolak keputusan yang tidak adil. Kaedah yang cukup mudah untuk difahami.

Keputusan yang tidak adil seperti kes mahkamah yang telah memutuskan Zambry sebagai MB. Ini adalah keputusan yang tidak adil. Bahkan, sesiapa sahaja pun akan memandang pelik dengan keputusan mahkamah ini. Selain itu, kes Sivakumar pun adalah satu keputusan yang tidak adil, yang dijatuhkan kepadanya. Bahkan ia adalah keputusan yang menzalimi.

Manakala keputusan yang adil, seperti keputusan Muktamar PAS yang sedang berlangsung. Mungkin ramai yang berpandangan bahawa saya ini hanya menulis mengikut keinginan semata-mata, tidak secara pemahaman ilmiah. Maka, untuk memberi penjelasan kepada orang seperti ini, saya menasihatkannya supaya melihat dengan hati yang terbuka, kemudian datanglah untuk mengkritik saya.

Janganlah anda mengunci pintu hati anda, kemudian anda mengkritik orang dengan begitu semangat untuk menjatuhkan! Cuma, saya lebih cenderung untuk menjelaskan tentang keputusan Muktamar PAS yang saya saya yakin ia adalah satu keadilan. Ia juga berdasarkan beberapa perkara yang perlu diperhatikan.

Antaranya ialah, orang yang menentang keputusan. Kedua ialah orang-orang yang memutuskan keputusan. Dan yang ketiga ialah keputusan yang terhasil atau keputusan yang diputuskan. Sepertimana yang telah disebut sebelum ini, keputusan langsung tidak boleh dipertikaikan melainkan sekiranya keputusan tersebut bercanggah dengan syariat.

Sekiranya ia masih belum bercanggah, maka keputusan tersebut wajib ditaati dan dipatuhi. Bahkan, pandangan ahli atau keinginan ahli tidak menjadi kewajipan untuk diterima oleh pimpinan. Sekiranya pemimpin “terpaksa” menerima keputusan ahli, maka, akan berlakulah situasi yang sangat teruk. Cuba bayangkan, ahli PAS bukan seorang, dan setiap seorang, pasti ada pandangannya.

Maka, sekiranya pandangan ahli wajib diterima, akan menghancurkan kesatuan dan pemikiran. Hakikat ini jelas. Maka, keputusan yang telah diputuskan, sepatutnya diterima dengan baik, dan wajib ditaati selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara’. Contoh yang bercanggah dengan syara’ ialah apa yang dilakukan oleh BN sebelum ini di dalam memutuskan keputusan mahkamah terhadap kes Nizar dan Sivakumar.

Apakah bentuk pelanggaran syara’ tersebut? Bentuknya ialah, mereka telah membuat undang-undang, dan menyuruh semua rakyat mematuhi undang-undang tersebut. Tetapi mereka sendiri melanggar undang-undang yang ditulis oleh mereka tadi. Maka ini adalah satu bentuk kezaliman yang sepatutnya dicantas oleh kita.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Wednesday, June 10, 2009

SIAPAKAH YANG BERHAK PUTUSKAN KEPUTUSAN? (Siri 2)

Sebelum ini telah menyebut tentang pandangan yang dibenarkan kepada ahli untuk mengemukakannya. Namun, di sana, terdapat beberapa panduan untuk mengemukakan pandangan, sekiranya dibenarkan. Ia akan dijelaskan selepas ini. Hakikatnya Presiden mempunyai kuasa mutlak untuk menyusun dan mengatur segalanya.

Persoalan ketiga, adakah menjadi kewajipan kepada presiden untuk menerima keputusan ahli? Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Presiden berhak menerima atau tidak keputusan Syura, maka, lebih-lebih lagi keputusan ahli yang tidak termasuk dalam Syura. Ya, sepertimana yang telah diterangkan di dalam Usul Dakwah juga, pandangan ahli tidak wajib bagi Presiden untuk mendengarnya atau menerimanya.

Ahli berhak memberi pandangan, tetapi tidak berhak memutuskan. Bahkan Dr Abdul Karim Zaidan juga menyebut bahawa terdapat 3 panduan kepada ahli sekiranya pandangan mereka tidak diterima :

Pertama :

Orang yang memberi pandangan hendaklah mempunyai niat yang betul untuk memberi nasihat atau menegur pimpinan. Diharamkan bagi ahli untuk mengemukakan pandangan bertujuan menjatuhkan pimpinan, mengaibkan, memburuk-burukkan dan sebagainya, yang dikatakan sebagai tujuan yang diharamkan.

Kedua :

Orang yang mengemukakan pandangan hendaklah seorang yang pakar dan mahir tentang apa yang dikemukakan. Bahkan diharamkan juga mengingkari keputusan yang bersifat ijtihad (keputusan yang tiada dalil yang memutuskannya). Selagi mana keputusan tersebut bersifat ijtihad, maka ahli wajib mengikutnya walaupun bercanggah dengan keputusan mijoriti.

Ketiga :

Diharamkan juga kepada individu yang mengemukakan pandangan, daripada mencetuskan fitnah atau pandangan yang berbeza daripada keputusan tersebut, apabila pandangannya tidak diterima.

Kesimpulan di sini, saya tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa, bahkan saya mengucapkan tahniah kepada Husam kerana berani untuk memberi pandangan. Bahkan saya juga bersetuju dengan tindakan Presiden di dalam masalah ini. Bahkan, kita juga diharamkan menimbulkan fitnah untuk memburuk-burukkan sesiapa. Kita langsung tidak berhak di dalam persoalan ini, kerana kita bukanlah ahli di dalam bidang tersebut.

Semoga dengan artikel ringkas ini tetapi penting, dapat dimanfaatkan oleh semua. Saya tidak berniat untuk menjatuhkan sesiapa atau menaikkan sesiapa, tetapi ia adalah garis panduang yang telah disebut oleh ulama’ kita. Anda juga boleh merujuk dengan buku-buku yang lain seperti Ahkam as Sultaniah, Imam al Mawardi, Fiqh al Khilafah dan sebagainya sebagai panduan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Tuesday, June 9, 2009

FILEM “PEREMPUAN BERKALUNG SERBAN” MENYUNTIK FAHAMAN FEMINISME (Siri 2)

Menyebut tentang isu poligami. Sebab suami berpoligami tidak boleh dikatakan sebagai kesalahan isteri kurang melayani suami. Juga tidak boleh menyalahkan suami sebagai gila seks. Sebaliknya, di dalam filem tersebut menggambarkan bahawa si perempuan di hina kerana suaminya berpoligami, bahkan si suami berjanji akan berlaku adil. Inilah penghinaan mereka terhadap sunnah Nabi SAW.

Perempuan ingin berdikari juga dibenarkan dalam Islam. Menunggang kuda juga dibenarkan selagi mana tidak terdapat unsur-unsur haram yang bercanngah dengan Islam. Sekiranya perempuan tersebut berdikari untuk merosakkan dirinya sendiri, maka ia diharamkan! Begitu juga perempuan bersukan dengan cara yang diharamkan, juga diharamkan oleh Islam.

Saya tidak pernah menemui pusat pengajian pondok yang menyekat perempuan. Melainkan menjaga nilai kewanitaan dan harga diri mereka daripada terjerumus kepada haram. Sedutan daripada filem tersebut, kiyai yang sedang mengajar menyebut “haram bagi isteri menolak pelawaan suaminya, ketika suaminya berhajat…”

Lalu si heroin pun bertanya “Apakah dosa suami sekiranya si suami tersebut menolak permintaan isterinya untuk bersama?”.. Lalu Kiyai yang berlakon itu mengatakan “Isteri yang begitu adalah isteri yang gatal…” Ini bukanlah jawapan daripada seorang Kiyai. Tetapi ia adalah imaginasi pengarah filem semata-mata untuk memburukkan golongan ilmuan! Bodoh punya pengarah filem!!

Sepatutnya jawapannya begini, suami wajib memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Apatah lagi sekiranya isterinya berkeinginan! Bodoh punya pengarah filem!!. Manakala si isteri pula wajib melayan keinginan suami. Kesimpulannya kedua-duanya berhak mendapatkan keinginan masing-masing. Bodoh punya pengarah filem!! Semoga engkau diazab di dunia lagi supaya menunjukkan bahawa engkau cuba memburukkan Islam!

Bahkan saya mendoakan supaya pengarah filem ini, dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam perancangan filem ini, supaya ditunjukkan azab mereka di dunia lagi. Apabila engkau diazab, semoga engkau kembali ke jalan yang sebenar, dan berhenti daripada terus mengembangkan ajaran sesat itu! Semoga doa ini dimakbulkan.. tetapi Allah sahaja yang berhak menentukan balasan yang “terbaik” untuk kamu semua!

Wahai kaum perempuan, kebebasan yang dibawa oleh orang kafir laknatullah bertujuan merosakkan kamu. Bahkan merosakkan keperibadian seorang perempuan, maruah, dan harga diri kamu. Seorang anak juga akan rasa terkongkong bersama ibubapa mereka, sedangkan ibubapa mereka menyayangi mereka, dan tidak mahu anak mereka rosak dan tiada harga diri.

Orang kafir berusaha mencetuskan keinginan kepada anak-anak untuk lari daripada keluarga mereka. Kononnya mereka mendakwa bahawa ibubapa mereka mengongkong. Maka, pemikiran ini sepatutnya dihapuskan!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Monday, June 8, 2009

FILEM “PEREMPUAN BERKALUNG SERBAN” MENYUNTIK FAHAMAN FEMINISME

Sebuah filem yang sedang tersebar di Malaysia hari ini, “Perempuan Berkalung Serban”, yang telah diterbitkan oleh perfileman Indonesia, jelas mempunyai objektif penyesatan yang hebat. Anda boleh dapatkan sendiri filem tersebut, atau melarang anak-anak anda daripada menontonnya. Ini kerana fahaman yang dibawa daripada filem tersebut adalah feminism.

Feminisme adalah pemikiran yang memperjuangkan hak kebebasan wanita. Bahkan di dalam filem tersebut menonjolkan bahawa pusat pengajian pondok ini menyekat kebebasan wanita, mengongkong dan sebagainya. Seolah-olah wanita itu dipenjarakan oleh Islam. Secara jujur saya sebut, filem tersebut bertujuan merosakkan pemikiran manusia, dan memburuk-burukkan Islam.

Adakah Islam mengongkong, memenjarakan wanita? Orang bodoh sahaja yang berkata demikian. Memang benar, Islam mendidik wanita, supaya wanita tidak bebas melakukan kejahatan. Ini kerana Islam memelihara wanita daripada bebas melakukan kejahatan. Dalam erti kata lain, menghalang daripada wanita bebas menjerumus dalam kejahatan.

Filem tersebut menggambarkan bahawa wanita diharamkan menjadi pimpinan, tidak dibenarkan menyambung pelajaran ke pengajian tinggi, meredhai kekejaman suami dan sebagainya. Sebaliknya itu hanyalah rekaan terhadap Islam. Islam bukan seperti yang digambarkan di dalam filem tersebut.

Tentang aurat, Islam menjaga harga diri wanita daripada aurat mereka yang bernilai itu, didedahkan di hadapan khalayak ramai. Kepimpinan pula, Islam membenarkan perempuan menjadi pimpinan, tetapi yang pastinya, pimpinan tertinggi adalah lelaki. Islam tidak menyekat wanita untuk menyambungkan pelajaran, selagi mana pelajaran tersebut tidak bercanggah dengan Islam.

Filem tersebut menggambarkan juga bahawa pusat pengajian pondok mengharamkan perempuan daripada belajar menulis, membaca buku dan sebagainya. Mana mungkin Islam sedemikian rupa. Ramai sahaja penulis Islam dari kalangan perempuan. Membaca buku juga dibenarkan oleh Islam, bahkan digalakkan selagi mana buku tersebut mengandungi ilmu dan tidak tersimpang dari kebenaran.

Islam meletakkan wanita di bawah suami, menunjukkan bahawa suami bertanggungjawab terhadap isterinya. Menzalimi isteri bukanlah ajaran Islam sepertimana yang digambarkan di dalam filem tersebut. Filem tersebut menggambarkan seorang wanita yang dianiaya oleh suaminya yang memiliki sijil sarjana dalam pengajian Islam, sedangkan Islam bukan sedemikian teruknya.

Bahkan isteri dibenarkan untuk meminta cerai daripada suami sekiranya benar suaminya berlaku zalim terhadapnya. Tetapi, isteri diharamkan berlaku curang terhadap suami sekiranya suami tersebut tidak menzaliminya! Hari ini, sekawan isteri menuntut cerai terhadap suami sewenang-wenangnya, sedangkan mereka sendiri yang menzalimi diri mereka. Persoalan poligami akan diterangkan kemudian, insya Allah.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Sunday, June 7, 2009

SIAPAKAH YANG BERHAK PUTUSKAN KEPUTUSAN? (Siri 1)

Beberapa hari kebelakangan ini, saya lebih cenderung untuk menulis tentang halal dan haram yang semakin diabaikan, bahkan ditinggalkan. Namun, sempena Muktamar kali ini, saya lebih tertarik untuk memperlihatkan kaedah atau prosedur di dalam Islam, untuk menyelesaikan perkara ini. Hakikat ini telah pun dijelaskan oleh Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya, Usul Dakwah.

Beliau menyebut di dalam Bab Syura, tentang hakikat pertelagahan atau percanggahan pandangan ini. Ia terbahagi kepada beberapa persoalan, atau penjelasan :

- Siapakah yang berhak tentukan keputusan? Adakah syura atau presiden?
- Bagaimanakah ahli PAS dapat mengemukakan pandangan?
- Adakah keputusan ahli wajib diterima?

Persoalan pertama, ialah orang yang berhak membuat keputusan. Dr Abdul Karim Zaidan menerangkan bahawa di dalam meletakkan keputusan orang yang lebih berhak, maka beliau menggariskan beberapa etika. Etika tersebut ialah, Presiden berhak mengumpulkan syura, dan mendengar pandangan semua. Sekiranya Presiden memilih untuk mengikut keputusan syura, maka itu adalah haknya.

Bagaimanakah pula sekiranya keputusan Presiden bercanggah dengan Syura? Sekiranya bercanggah, Presiden berhak membuat pilihan, samada ingin mengikut keputusan Syura, atau masih berpegang dengan keputusan sendiri. Presiden mempunyai kuasa untuk mengekalkan keputusannya, walaupun bercanggah dengan syura. Inilah sepertimana yang disebut. Sekiranya saya silap, tegurlah dengan baik.

Ya, Presiden berhak membuat keputusan sendiri, walaupun ia bercanggah dengan keputusan mesyuarat sekalipun. Maka, terdapat persoalan yang bertanya. Sekiranya begitu, maka sia-sialah mesyuarat yang diadakan. Penjelasan perkara ini ialah, mesyuarat diadakan untuk membantu Presiden dalam membuat keputusan. Tetapi Presiden mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan mana-mana keputusan yang dipilih.

Bahkan, Presiden juga mempunyai hak untuk memilih keputusan yang minoriti dalam mesyuarat atau dalam muktamar. Sekiranya begitu, maka, apakah kepentingan muktamar atau mesyuarat. Sepertimana yang telah disebut, ia adalah bertujuan membantu Presiden untuk membuat keputusan, tidak lebih dari itu sehingga boleh melawan keputusan Presiden.

Persoalan kedua, bagaimanakah ahli PAS dapat mengemukakan pandangan? Ya, mana-mana ahli PAS dibenarkan memberikan pandangan. Tetapi, sekiranya diberi ruang oleh Presiden. Sekiranya tidak, maka ahli tidak dibenarkan mengemukakan pandangan melalui saluran-saluran yang dilarang.

Ahli PAS, dibenarkan memberi pandangan sekiranya dibenarkan oleh Presiden. Contohnya seperti di dalam Muktamar PAS, dan sebagainya. Sekiranya tidak, ahli sama sekali tidak dibenarkan melalui mana-mana saluran yang dilarang. Contohnya, Presiden berhak untuk melarang ahli PAS daripada mengadakan sidang media secara peribadi, untuk mengemukakan pandangan peribadi mereka sewenang-wenangnya.

Minta maaf, saya bukanlah seorang yang taksub kepada Presiden, tetapi saya cuma menyampaikan apa yang telah disebut oleh ulama’ kita di dalam karangan mereka. Ikuti sambungan akan datang.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah