Sunday, April 5, 2009

NAJIB MESTI MANSUHKAN ISA, BUKAT SETAKAT MEMBEBASKAN TAHANAN


Saya tertarik dengan “luahan” Najib di dalam Utusan semalam (4 April), bahawa beliau menyifatkan tindakan pihak pembangkang yang mempeleceh keputusannya membebaskan tahanan. Beliau berkata di dalam Utusan .. “kalau tidak bebaskan, kata kerajaan menindas tetapi apabila dibebaskan cakap kita ni nak popular..”

Daripada kenyataan beliau tersebut, walaupun kerajaan membebaskan tahanan, tetapi masih mengekalkan ISA, ia masih lagi dikira menindas. Penindasan masih tetap berlaku selagi mana ISA masih lagi wujud, sedangkan ia hanya membunuh jiwa pejuang yang menentang UMNO, bukan mengancam Negara.

Najib ingin dikatakan hero setelah membuat kenyataan tentang pembebasan tersebut, tetapi beliau masih lagi dilabelkan sebagai penjenayah sekiranya masih mengekalkan ISA. Sebelum ini di dalam artikel saya “Najib hanya mencuci najis sendiri, kenapa perlu berterima kasih”, merujuk kepada perumpamaan yang paling sesuai.

Iaitu, seseorang yang telah membuang besar di kawasan yang tidak sepatutnya, lalu mencuci najisnya sendiri. Maka, apa perlu kita berterima kasih terhadap perbuatan tersebut? Sepatutnya orang tersebut MESTI melakukan lebih dari itu, iaitu penyesalan supaya tidak diulangi perbuatan tersebut, dan meminta maaf kepada sesiapa yang terganggu dengan kelakuannya berak di merata tempat.

Ya, Najib MESTI menghapuskan ISA kalau hendak dikatakan sebagai tidak menindas. Selagi mana ISA masih wujud, Najib akan terus dilabelkan sebagai penindas. Kami mahukan ISA dimansuhkan, bukan setakat tahanan dibebaskan. Pembebasan tahanan adalah satu kemestian yang perlu dilakukan oleh Najib, bukan sebagai satu “jasa” Najib kepada tahanan!

Selain itu, kemestian yang perlu dilakukan oleh Najib ialah memansuhkan ISA, sepertimana yang telah di”arahkan oleh rakyat” selama ini. Ya, hakikat pemimpin adalah hamba.. pemimpin perlu menjalankan amanah yang diserahkan oleh rakyat kepadanya. Dan hari ini, rakyat telah mengamanahkan kepada Najib supaya memansuhkan ISA, tetapi “hamba” yang seorang ini degil, lalu cuba menunjukkan heronya pula.

Pembebasan ISA telah dikatakan oleh DSAI bahawa ia hanya tradisi PM-PM terdahulu. Iaitu, setiap kali PM-PM ini naik sebagai PM, mereka akan membuat pengumuman pembebasan tahanan ISA. Tetapi, warisan ini sudah lapuk dan masih diamalkan oleh Najib. Apa yang perlu dilakukan oleh Najib untuk mencantikkan warisan ini ialah dengan memansuhkan ISA ketika beliau baru naik menjadi PM.

Kalau benar Najib ingin menghapuskan penindasan, inilah caranya. Mampukah anda lakukan wahai Najib? Atau ia hanya retorik semata-mata?

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment