Monday, April 6, 2009

6 April - BERSATU GESA MAHASISWA TURUN MENGUNDI 7 APRIL

Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) dan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) masing-masing menggesa seluruh mahasiswa Malaysia turun mengundi 7 April ini dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Bercakap kepada media pagi semalam, Presiden BERSATU Hafez Sabri menggesa seluruh mahasiswa Perak terutamanya yang berada di luar Perak untuk meluangkan masa demi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan warga Perak amnya dalam sistem demokrasi negara ini.

“Kita sebagai anak muda Perak mesti tunai tanggungjawab untuk pilih pemimpin baru. Saya seru kepada semua anak muda di Bukit Gantang terutamanya yang berada di perantauan untuk sama-sama turun mengundi pada selasa ini (7 April),” tegas beliau semasa bertemu golongan muda negeri itu semalam dalam satu majlis.

Dalam pertemuan yang lain, presiden PERSADA, Mohd Faisal Mustafa mengingatkan kepada semua pengundi supaya memilih pemimpin yang adil dan tidak bersifat perkauman.

“Kita mahasiswa sebagai pelapis kepada generasi muda Malaysia yang baru, dalam (suasana)politik baru tidak boleh melihat pemilihan pemimpin dari sudut kaum. Malaysia yang baru mesti dipimpin oleh pemimpin yang tepat tanpa tengok (melihat) pada kaum mana dia datang.

Yang penting ialah kepimpinan yang telus, jiwa rakyat,” ujar beliau sambil menggesa seluruh mahasiswa Kedah untuk turun mengundi di pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau.

Terdahulu, NGO Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menghantar 300 mahasiswa dari pelbagai universiti di Lembah Klang ke Kuala Sepetang, satu daripada tiga DUN bawah Bukit Gantang minggu lepas.

Sambil menegaskan bahawa pertubuhan mahasiswa tersebut tidak condong kepada mana-mana parti politik, mereka pergi mengedarkan risalah isu politik itu di kawasan-kawasan perkampungan di DUN itu yang mempunyai hampir 20,000 pengundi, 32 peratus daripadanya Cina.-mahasiswakini

No comments:

Post a Comment