Thursday, March 26, 2009

ADENGAN MEMALUKAN OLEH WANITA UMNO!

Gambar : Mag
Ulasan : Dr Fikrah

Saya terkejut apabila membuka ruangan forum di dalam Tranungkite, dan merasakan gambar ini perlu didedahkan. Saya tidak berniat mengaibkan sesiapa, tetapi mengajak kepada pengundi-pengundi UMNO terutamanya kaum wanita, supaya meninggalkan Wanita UMNO. Langsung tidak diajar dengan abab dan tatasusila. Saya memang kesal dengan kejadian seperti ini. Mampukah golongan ini memperjuangkan hak perempuan? Mampukah mereka mendidik perempuan di Malaysia ini dengan Islam sepertimana yang didakwa sebelum ini? Wahai perempuan yang terlupa, ingatlah peringatku ini.
.

Betapa seronoknya penyokong Shahrizat, sehingga terlupa sifat kewanitaan mereka!

WAHAI MANUSIA YANG PELUPA, INGATLAH KEPADA ALLAH


Manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan sifat lupa. Kadangkala, “lupa” bukanlah satu perkara yang buruk, bahkan ia mendatangkan kebaikan kepada seseorang. Seseorang yang melupakan sejarah hitam di dalam hidupnya, menjadikannya lebih cerah di masa hadapan. Lupa kejahatan orang lain menjadikan seseorang itu akan berbuat baik kepada semua orang.

Tetapi, tidak dinafikan juga, kadangkala lupa itu membawa keburukan juga. Seperti lupa terhadap nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT banyaknya tidak terkira, dan luasnya tidak terukur. Tetapi, manusia itu tetap lupa nikmat sebesar ini. Itulah manusia. Sekiranya nikmat Allah yang besar ini pun mudah dilupai, apatah lagi urusan dunia yang kecil ini.

Tetapi malangnya, manusia lebih utamakan urusan dunia itu daripada mensyukuri nikmat Allah ini. Itulah yang dinamakan manusia yang pelupa. Luasnya dunia ini, nikmat Allah mengatasinya, namun, itulah yang dikejar sehingga melupai segalanya. Memang benarlah, apabila seseorang tersebut sudah gilakan sesuatu, dia akan melupakan segalanya.

Di dalam al Quran, sudah banyak peringatan yang telah Allah berikan kepada manusia pelupa ini. Peringatan demi peringatan sudah cukup untuk mengembalikan manusia kepada mengingati Allah. Tetapi malangnya, manusia terlupa untuk menghayati peringatan tersebut. al Quran yang juga peringatan daripada Allah hanya dijadikan hiasan sedangkan ia bukanlah berfungsi sebagai hiasan.

Kehidupan dunia yang menjadi kegilaan manusia menyebabkan mereka melupai segalanya. Termasuk Tuhan mereka yang telah menciptakan mereka dari tiada. Sekiranya seseorang itu mengenang kenangan manis dan tidak pernah melupainya, sepatutnya nikmat Allah lebih patut dikenang, dan sepatutnya tidak dilupai.

Nikmat Allah SWT berada di sekeliling kita. Hidung, mata, telinga, tangan dan kaki semuanya kurniaan Allah yang wajib kita syukuri. Begitu juga persekitaran yang menjadikan anda mampu bernafas dan hidup. Namun, manusia lupa segala-galanya walaupun segalanya sudah terpapar di hadapan mata sendiri.

Mereka terlupa tangan mereka yang mereka gunakan itu kurniaan Allah. Mereka juga lupa mata yang mereka gunakan setiap saat itu adalah kurniaan Allah. Apatah lagi jantung yang sentiasa berdegup, semuanya nikmat dari Allah SWT yang dilupai oleh manusia, apatah lagi mensyukurinya.

Semua ini menunjukkan bahawa manusia itu pelupa, dan perlu diberi peringatan. Dan Allah SWT sendiri memberi peringatan kepada manusia supaya tidak lupa. Begitu juga RasulNya yang melakukan perkara yang sama, dan perjuangan untuk mengingatkan manusia kepada Allah ini diteruskan sehingga hari ini. Namun, manusia masih lagi lupa!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

JANJI MANIS PIMPINAN UMNO YANG MASAM


Semalam telah menyaksikan beberapa orang yang menang dan terdapat juga mereka yang tersungkur. Sudah pasti mereka yang menang akan melahirkan rasa “syukur” tidak terhingga, manakala orang yang kalah melahirkan rasa “kecewa” atau “tidak berpuas hati”. Macam-macam kenyataan telah dikeluarkan oleh mereka yang bertanding, termasuk janji-janji manis yang ditaburkan oleh mereka yang menang. Apabila kalah, mereka akan menabur fitnah-fitnah yang berterusan akan menjahanamkan UMNO sendiri.

Shahrizat yang memenangi Ketua Wanita UMNO, telah berjanji akan memberi kekuatan kepada parti melalui suntikan semangat Wanita UMNO. Kata-katanya terlalu umum sehinggakan “suntikan” tersebut tidak difahami dengan jelas. Sama seperti sebelum-sebelum ini, hanya mengulang teks yang sama tanpa sebarang perubahan. Wanita UMNO tetap juga lemah.

Beliau juga berjanji akan bekerja keras bersama 1.3 juta ahli Wanita UMNO, menyegarkan semula semangat mereka dan sebagainya yang tidak lebih daripada merapu. Beliau menyifatkan bahawa perwakilan yang memilihnya telah membuat keputusan yang baik, kerana berpakat untuk memilihnya. Apabila sudah menang, itulah kata-katanya.

Apa cerita pula Khairi yang memenangi Ketua Pemuda. Juga pandai menaburkan janji manis yang hanya omongan kosong sahaja. Beliau begitu berbangga kerana berjaya mengenepikan Mukhriz dan Khir Toyo. Saya yakin, keputusan ini pasti tidak “diredhai” oleh beberapa pihak termasuk Najib yang telah menyelamatkan Toyo daripada kes politik wang, dan Mahathir yang menjadi ayah kepada Mukhriz.

Khairi telah menjanjikan perpaduan terutamanya di dalam pemuda UMNO sendiri. Namun, hakikatnya ia juga ungkapan yang sama yang dituturkan oleh orang-orang sebelumnya. Namun, perpaduan di dalam UMNO hanya dilihat seperti anjing dan kucing. Sempena pemergian Hisham daripada pemuda dengan membawa bersama kerisnya, sudah pasti Khairi akan turut mengubah gimik tersebut.

Kalau Hisham dilihat ketinggalan dengan keris tersebut, mungkin Khairi yang lebih semangat meggantikan beliau dengan menggunakan senjata yang lebih baru untuk memecahkan bangsa. Hisham yang sudah banyak menyusahkan orang itu, digantikan oleh Khairi yang mungkin lebih parah daripada itu, walaupun hari ini beliau menjanjikan perpaduan.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Janji-janji manis ini akan dilihat hasilnya tidak lama lagi. Begitu juga Najib, yang hanya berapi-rapi pada mulut ketika bercakap, tetapi haprak. Semua pimpinan yang menang ini akan diukur sendiri oleh rakyat, dan saya yakin pemerintahan Najib ini lebih teruk berbanding Pak Lah. Ini kerana, belum jadi PM lagi sudah timbulkan banyak masalah!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Wednesday, March 25, 2009

ADAKAH KERIS LAMBANG PERPADUAN ANTARA BANGSA?


Malaysiakini telah mendedahkan kenyataan Hishamuddin, bahawa perarakan dan mencium keris itu adalah lambang perpaduan. Perutku tergelak sepuas-puasnya dengan kenyataan pelik itu. Keris adalah lambang perpaduan? Sejauh manakah kebenarannya? Kenapakah keris yang dipilih, tidak pistol atau pedang samurai? Kenapa pula al Quran tidak dijadikan sebagai lambang perpaduan?

Keris adalah senjata untuk bertempur, dan ia tidak digunakan untuk memotong sayuran ketika memasak atau digunakan untuk menebas lalang di halaman ruman. Keris digunakan untuk bertarung dengan pihak lawan, sama seperti pistol yang digunakan hari ini. Tetapi, apa yang peliknya, hari ini Hisham mengatakan bahawa “keris” adalah lambang perpaduan. Pelik bukan?

Sepatutnya keris digunakan sebagai lambang kekuatan, ketuanan dan sebagainya. Tetapi, malangnya ia digunakan sebagai lambang perpaduan, dan ia adalah satu bentuk penipuan yang nyata! Malaysiakini menceritakan….

“Menurut Hishammuddin lagi, tidak ada niat di sebalik apa yang dilakukan, selain untuk melihat keris sebagai simbol yang boleh menyatupadukan dan simbol untuk merapatkan pelbagai kaum”

Menyatupadukan pelbagai kaum? Sejauh manakah kebenarannya? Orang cina dan india tidak pernah menggunakan keris sebagai senjata. Dan langsung tidak dilihat keris itu simbol perpaduan antara kaum. Buat malu kaum saja!... Pada saya ia adalah lambang fanatik bangsa. Tambahan pula Malaysia yang berbilang bangsa, tetapi Hisham menggunakannya untuk menyatukan bangsa dan kaum!

Sama sahaja sekiranya Hisham membuat perarakan mencium pistol atau senapang patah! Ia juga senjata sama seperti keris. Adakah pistol itu merupakan lambang perpaduan? Tetapi Hisham mengiyakannya! Kebiasaannya, orang gila saja yang mengaggap demikian. Namun, saya tidak sampai hati untuk menuduh Hisham sebagai gila, tetapi, mungkin dia tersilap. Dia sendiri telah mengaku bahawa selepas ini perarakan seperti itu tidak akan diulangi lagi.

Tahniah saya ucapkan. Semoga kata-kata itu menjadi kenyataan. Cuma, saya ada satu cadangan kepada beliau, untuk menampakkan simbol kesatuan, iaitu dengan al Quran. Al Quran adalah lambang perpaduan semua manusia, bahkan semua makhluk di dunia ini. Bukankah elok sekiranya perarakan tersebut diakhiri dengan mencium al Quran, atau dimulakan dengan bacaan al Quran?

Saya harap, cadangan saya ini diterima oleh beliau untuk masa akan datang. Bahkan saya juga berharap semua ahli UMNO sendiri mengamalkan sedemikian sebagai tanda keagungan Islam. Walaubagaimanapun pelaksanaan dan kefahaman al Quran itu lebih penting, berbanding segala-galanya.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

PANDUAN JIKA ANDA DITAHAN POLIS

'Buku merah' Majlis Peguam - panduan berguna bagi seseorang yang tidak biasa ditahan polis atau buta undang-undang sewaktu berdepan dengan pihak berwajib itu.

Edisi bahasa Inggeris risalah kecil panduan asas itu kini boleh diperolehi di laman web rasmi badan profesional itu, www.malaysianbar.org.my

Risalah dua halaman 'Polis dan Hak Asas Anda' disediakan oleh satu jawatankuasa kecil Majlis Peguam yang dikenali Tindakan Anti Penyalahgunaan Kuasa Polis (Tangkap).

Dalam buku kecil itu terdapat panduan:

> Seseorang berhak meminta kad pengenalan polis ketika ditahan. Jika anggota polis itu menunjukkan kad merah, anda boleh mengabaikan arahannya kerana dia sedang digantung tugas.

> Anda juga berhak menelefon ahli keluarga, rakan atau peguam untuk menyampaikan maklumat mengenai penahanan seperti, masa, tempat dan sebab ditahan dan lokasi tahanan,

> Anda mungkin ditahan selama 24 jam di balai polis atau dalam penjara untuk membantu siasatan.

Buku panduan itu menjelaskan juga cara-cara memberikan keterangan kepada polis bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah, selain prosedur tahanan reman dan tatacara pemeriksaan badan.

Ia juga memuatkan nombor telefon pejabat-pejabat Pusat Bantuan Guaman (LAC) badan profesional itu di seluruh Semenanjung.

Kira-kira 100,000 salinan 'buku merah' telah dicetak untuk edaran kali pertama bulan lepas.

Edisi bahasa Melayu buku merah akan diedarkan, termasuk di laman web, apabila ia siap disediakan.

- Malaysiakini

UMNO MEMANG SUDAH GILA


Lim Kit Siang hari ini telah dihalau keluar dari dewan kerana mengatakan “UMNO GILA”. Beliau tidak mahu menarik kata-katanya walaupun sudah beberapa kali diminta untuk berbuat demikian. Sebelum kita menuduh mana-mana pihak sebagai bersalah, mari kita ikur dengan akal. Sejauh manakah kebenaran atau kesalahan kata-kata Lim Kit Siang tersebut.

Lim dihalau kerana menyifatkan UMNO sebagai gila. Tetapi, sebelum ini, UMNO pernah mencarut di dalam dewan. Speaker ketika itu mengalami masalah pekak telinga pula. Nazri Aziz antara orang yang kuat mencarut di dalam dewan, tidak pernah digantung kerana speaker dewan mengalami pekak telinga.

Tetapi, hari ini, apabila Lim mengatakan UMNO Gila, dan hakikatnya UMNO memang sudah gila, terus dihalau keluar. Walaupun Lim berkata benar, tetapi dia pula yang dihalau keluar. Sama seperti apa yang terjadi pada Gobind. Bagaimanakah kita boleh menyifatkan UMNO sebagai gila?

Gila bermakna tidak waras ataupun tidak berakal. UMNO adalah satu pertubuhan, yang tidak mempunyai otak. Oleh itu, tiada akal pada UMNO. Lim tidak mengatakan gila kepada seseorang sepertimana yang telah dibuat oleh Mahathir. Lim mengatakan UMNO dan bukan mengatakan “orang UMNO”.

Semua mengakui bahawa, makhluk Allah yang dikurniakan akal ini ialah jin dan manusia sahaja. UMNO bukanlah jin, dan bukan juga manusia. Ia adalah sebuah pertubuhan. Oleh itu, memang logiklah sekiranya dikatakan UMNO itu gila.

Di dalam situasi yang lain pula, UMNO boleh dikatakan gila kerana melanggar peraturan yang dibuat oleh mereka sendiri. Sekiranya anda berada di kawasan perumahan, kemudian anda terlihat seorang polis menyamun seorang perempuan. Sudah pasti anda akan mengatakannya, “mungkin polis gila kut” atau “penyamun yang beruniform polis”.

Hari ini, mereka mengaku bahawa mereka adalah polis, dan bukannya penyamun yang berpakaian polis. Oleh itu jelas kita sepatutnya mengatakan mereka adalah polis yang gila. Begitu juga UMNO, tidak mungkin kita mengatakan bahawa semua orang yang mengamalkan politik wang di dalam UMNO itu hanyalah dalang-dalang misteri yang berlakon sebagai UMNO.

Oleh itu, layaklah mereka yang melanggar peraturan yang dibuatnya sendiri sebagai seorang yang gila. Namun, memang benar apa yang pernah saya tulis sebelum ini “Mahathir dan Zaid, siapakah yang tidak waras?” yang menceritakan perihal “gila”. Hari ini, kita boleh menyatakan UMNO sebagai gila, kerana terdapat ciri-ciri gila tersebut.

Contoh yang lain, UMNO menggunakan polis untuk menghalang rakyat daripada menyampaikan suara mereka dengan cara aman. Tetapi, apabila UMNO sendiri membuat perhimpunan yang mengancam keselamatan dan menimbulkan huru-hara, boleh pula polis mengeluarkan permit. Ini semua kerja UMNO, bukan setakat gila bahkan layak digelar bangang. Tetapi, apabila orang menegur tindakan gila dan tindakan bangang mereka, mereka pula menghalau orang tersebut.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

HISHAMUDDIN KONONNYA SEORANG PENDEKAR


Hari ini, Hishamuddin telah mengubah wataknya daripada seorang yang “pemalu” kepada seorang pendekar yang garang. Gayanya itu sememangnya mencederakan perut-perut orang yang mendengarnya. Semua pendengar tercedera perut kerana tidak tahan gelak, melihat gayanya itu. Kata-kata tersebut diiringi dengan keris dan menciumnya. Kononnya dia seorang pendekar Melayu. Pendekar Melayu haprak yang menjahanamkan Bahasa Melayu ada la.

Dalam ucapannya itu, beliau menempelak projek peralihan kerajaan persekutuan "16 September" yang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya "petualang yang cuba mengajar anak ketam berjalan betul". "Ada petualang yang secara sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia."Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran ketentuan Ilahi menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak, bersifat sombong. "Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul," katanya.Tambahnya, "petualang" tersebut seorang yang "gilakan kuasa, sanggup bersekongkol dengan musuh, menghina tanah air sendiri di serata dunia, mempersenda institusi raja, manusia berbagai-bagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi dan lain di depan, lain di belakang.""Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jual negeri," katanya. "Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh Si Petualang ini."

Inilah beberapa kata-katanya yang sempat diciplak daripada Malaysiakini. Melucukan bukan. Sebelum saya mengulas kata-katanya, Malaysiakini juga menunjukkan gambar beliau menyarung keris, kononnya seorang pendekar. Tapi, pegang keris pun tak betul!!

Hisham mendakwa bahawa Anuar Ibrahim cuba mengajar anak ketam berjalan betul, sedangkan beliau lupa, PPSMI itulah contoh Hisham sendiri yang mengajar anak ketam belajar betul!! Memang memalukan. Kata-katanya terpalit ke mukanya sendiri. Seolah-olah mengambil najis kucing lalu ditempek ke muka sendiri sambil berkata, tahi kucing adalah najis yang perlu dihindari!

Beliau juga mengatakan bahawa Allah SWT telah menjadikan impian 16 september tersebut menjadi terbalik, iaitu kejatuhan Negeri Perak ke tangan BN. Inilah satu keaiban yang dituturkan oleh seorang yang merasakan dirinya seorang pendekar. Pendekar pun belajar agama, tetapi Hisham mungkin tersilap faham. Perbuatan Zambry merampas Perak adalah secara haram, mana mungkin perbuatan itu diredhai oleh Allah! Haprak punya Hisham.

Selain itu, Anuar juga dikatakan sebagai seorang yan gila kuasa, bersekongkol dengan musuh untuk menghina tanah air. Adakah Hisham lupa, beliau sendiri yang menghina Bahasa Malaysia sendiri! Mempersenda institusi Raja? Siapakah yang melakukan demikian kalau bukan UMNO sendiri. Memang kata-kata itu terpalit ke mukanya semula.

“cakap bohong lama-lama jual negeri”… Adakah Hisham tidak sedar, dia telah pun menjual Bangsa Melayu kepada mat saleh? Sudahlah cakap pun putar belit, bukan setakat menipu, jual bangsa pula. UMNO menentang politik kotor? Siapakah yang mengamalkan politik kotor, dan ia telah pun dibuktikan oleh Lembaga Disiplin sendiri. Haprak punya Hisham.

Nasihatku kepada Hisham, kononnya seorang pendekar yang memperjuangkan Melayu. Hindarkanlah diri anda daripada menuturkan kata-kata yang mengutuk diri sendiri. Sekiranya anda tidak mahu mengutuk diri sendiri, lebih baik diam. Apabila anda berkata, sudah nampaklah keaiban itu. Selain itu, Najib perlu mempelajari tatasusila dan adab sebagai seorang pendekar. Sedap mulut memanggil orang sebagai petualang sedangkan diri sendiri yang menjahanamkan anak Melayu.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

NAJIB DIKEJAR HANTU ALTANTUYA


Gambar diciplak daripada sangpemantau.blogspot.com
Akhbar dari Indonesia yang menceritakan tentang kes Altantuya
.
Seluruh dunia hari ini memerhatikan gelagat Najib yang dikatakan akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mereka tertanya-tanya, kenapakah orang yang terlibat di dalam kes Altantuya boleh naik sebagai Perdana Menteri? Sudah banyak berita di seluruh dunia yang memberitakan tentang hal tersebut. Dan segalanya bukanlah rancangan PR, kerana PR hanya di Malaysia sahaja.

PR langsung tidak mempunyai pengaruh untuk mengeluarkan berita tersebut di Liberation, akhbar Indonesia dan beberapa lagi akhbar dunia. Sekiranya Najib menuduh pembangkang yang menjadi dalang di sebalik memburukkan namanya, ia adalah satu tuduhan yang langsung tidak logik. Sebelum ini Najib menjangkakan beliau mampu untuk menyekat berita-berita seperti ini dengan menggantung Gobind, dan sebagainya.

Tetapi, apa yang telah didedahkan oleh dunia hari ini, sangat memberi cabaran kepada beliau untuk menghadapinya. Saya masih teringat lagi kata-kata Gobind sebelum digantung. Beliau cuba mengemukakan soalan tersebut supaya Najib dapat berjaga-jaga untuk membersihkan namanya selepas ini. Tetapi, malangnya, Gobind pula yang digantung, dan akibatnya segala kata-kata Gobind itu menjadi kenyataan.

Kes Altantuya ini, sangat memberi kesan yang mendalam kepada Najib di dalam melaksanakan kariernya, lebih-lebi lagi apabila beliau bakal menjadi Perdana Menteri. Sudah pasti seluruh dunia akan terkejut dengan kenaikan tersebut. Walaupun Najib sendiri telah mendakwa bahawa UMNO dalam proses pembersihan, tetapi bagaimana pula namanya yang terpampang di dada-dada akhbar dunia?

Saya yakin, Najib merasa tidak tenang dengan Kes Altantuya tersebut. Saya tidak menuduh beliau adalah dalang disebalik kes ini, tetapi, apa yang penting ialah, beliau mesti membersihkan namanya sebelum menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, beliau akan terus dicemuh oleh dunia, dan nama Malaysia sendiri akan menjadi buruk!

Oleh itu, terdapat sebuah artikel yang bertajuk “Pak Lah dianggap hero sekiranya dapat menghalang Najib daripada menjadi PM”. Sebelum ini juga Zaid sudah meminta supaya Yang Dipertuan Agong tidak bersetuju dengan kenaikan Najib sebagai Perdana Menteri. Ini kerana, bukanlah untuk memfitnah Najib, tetapi untuk menjaga nama baik Negara Malaysia sendiri.

Kalaulah terdapat orang-orang UMNO yang menyuruh kita supaya tidak menyebarkan fitnah, tetapi kamu semua jangan lupa, sepatutnya kamu pergi memberitahu hal ini kepada akhbar-akhbar dunia tersebut. Kedudukan Najib sangat goyah ketika ini, dan memungkinkan beliau bukanlah Perdana Menteri akan datang.

Namun, segalanya adalah perancangan Allah. Dialah yang berhak menentukan segalanya. Cumanya, untuk Najib, anda haruslah membersihkan nama anda, sekiranya tidak mampu saya meminta anda supaya berundur dan menarik diri daripada menjadi Perdana Menteri. Ini semua adalah kebaikan kita bersama. Sekiranya anda terus menginginkan jawatan itu, seluruh rakyat Malaysia akan terpalit tuduhan tersebut, dan nama anda semakin teruk di mata dunia.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Tuesday, March 24, 2009

BLOG, HARAKAH, SUARA KEADILAN, PLAK POKOK DAN SMS – TENTERA ALLAH YANG MENGHANTUI UMNO


Di dalam memori kejatuhan UMNO hari ini, terlintas di fikiran saya untuk memikirkan tentang tentera Allah yang menyerang UMNO, walaupun ia bukan dari kalangan manusia sendiri. Sekiranya kita memerhati kepada sejarah serangan Abrahah terhadap Kota Mekah, Allah SWT telah menunjukkan kuasanya dengan menghantar burung-burung untuk menjahanamkan mereka. Walaupun Abrahah memiliki jentera tentera yang kuat.

Namrud, seorang pemimpin yang zalim dibunuh oleh seekor nyamuk yang masuk ke dalam telinganya, walaupun beliau mempunyai tentera yang ramai dan harta yang kaya. Karun, seorang kaya yang menjadi sumber kewangan Firaun, dimatikan oleh Allah SWT dengan ditelan oleh bumi yang merupakan makhluk Allah.

Tentera Jalut yang mempunyai sejarah kekuatan yang hebat, telah dikalahkan oleh Islam yang diketuai oleh Talut. Bilangan orang Islam yang sedikit telah menjadikan mereka berkeyakinan untuk mengalahkan Islam, tetapi Allah SWT telah menghantar tentera yang tidak dapat dilihat oleh mereka, sehinggakan mereka kalah seteruk-teruknya, walaupun mereka adalah tentera yang hebat ketika itu.

Firaun yang mendakwa dirinya tuhan, dimatikan oleh Allah dengan ditelan oleh tentera Allah, iaitu laut. Walaupun dia cuba menunjukkan ketuhanannya, namun, dia tetap mati dengan diserang oleh tentera Allah. Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, orang Islam mampu menghadapi tentera kafir di beberapa siri peperangan, kerana mendapat bantuan daripada tentera Allah SWT.

Ketika perang Badar, yang menyaksikan kekuatan orang Islam hanya 313 orang bertempur dengan orang kafir yang seramai 1050 orang lengkap bersenjata. Namun, orang kafir tetap tersungkur kerana tentera Allah SWT bukan hanya manusia yang sedikit itu.

Ketika perang Ahzab, tentera kafir yang telah bergabung dengan beberapa kekuatan besar, dan mampu mengepung orang Islam di kawasan madinah. Lalu Allah SWT menghantar tenteraNya yang berupa angin ribut untuk menjahanamkan semuanya sekali, walaupun pada mulanya mereka menyangka, mereka adalah yang terkuat.

Inilah hakikat sejarah yang telah diceritakan di dalam al Quran, Hadis, dan sejarawan Islam sendiri. Selain itu, pengkaji eropah juga turut mengakui kesahihan cerita ini di dalam jurnal-jurnal mereka. Sejarah yang telah diceritakan ini sepatutnya dijadikan pengajaran bagi UMNO hari ini. Mereka menyangka kekuatan polis yang mereka miliki mampu menyekat PR yang cuba menegakkan kebenaran.

Mereka juga menyangka bahawa media yang mereka kuasai mampu untuk melenyapkan kebenaran yang nyata. Mereka mampu untuk menyekat Harakah dan Suara Keadilan, tetapi mereka tidak mampu menyekat kebenaran yang bukan hanya pada dua makhluk itu sahaja. Mereka cuba menjahanamkan Plak Pokok supaya memori demokrasi itu tidak tersingkap, tetapi hakikat itu terus melekat di memori setiap insan.

Mereka juga menangkap dan menahan bloggers dan cuba membuat akta khusus untuk blog, namun, kebenaran itu tetap terserlah. Walaupun mereka menangkap semua bloggers, dan menghapuskan penggunaan internet di Malaysia sekalipun, Allah itu Maha Berkuasa. Tentera Allah SWT mampu menjahanamkan UMNO dalam sekelip mata, tetapi mereka masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertaubat.

Wahai UMNO, sedarlah sebelum terlambat, tentera Allah itu banyaknya tak terkira. Lidah yang ada pada mulut anda juga merupakan tentera Allah, dan bila-bila masa sahaja lidah itu akan menyerang anda. Hanya menanti arahan daripada Allah untuk menjahanamkan anda. Duit yang anda miliki juga adalah tentera Allah, dan ia menanti untuk menyerang dan menjahanamkan anda. Bertaubatlah sebelum terlambat.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

DILEMA DI ANTARA MB HARAM DAN PERHIMPUNAN HARAM


Persengketaan media hari ini banyak membicarakan tentang MB Haram. BN telah melabelkan Nizar sebagai MB Haram, manakalah PR pula melabelkan Zambry sebagai MB Haram. Selain itu terdapat juga yang berkata “tidak tahu”, “malas ambil tahu” dan “suka hati awaklah”. Tetapi, ramai yang masih belum jelas, siapakah MB Haram sebenarnya berdasarkan ukuran ilmu kita. Sekiranya kita mengatakan Zambry sebagai MB Haram, sudah pasti Nizar itu MB sebenar, dan begitulah sebaliknya.

Setakat ini saya masih belum mendengar seseorang yang mengatakan, kedua-duanya MB Haram, atau kedua-duanya MB sebenar. Oleh itu, bagaimanakah kaedah menggunakan akal untuk menentukan siapakah MB sebenar?

Zambry telah “mengambil” jawatan Menteri Besar daripada Nizar, dengan menggunakan cara halal atau haram? Ya, sudah terbukti dia menggunakan cara haram untuk mendapatkan jawatan MB, oleh itu, beliau boleh disifatkan sebagai MB Haram. Manakala Nizar menjadi MB dengan cara halal dan cara sebenar, maka beliau adalah MB yang sebenar.

Oleh itu, dengan mudah kita boleh mengenali bahawa Zambry adalah MB Haram. Di dalam situasi yang lain pula, terdapat penggunaan perkataan “Perhimpunan Haram”. Perhimpunan haram dikatakan perhimpunan yang tidak mendapat permit untuk melaksanakannya. Permit tersebut dikeluarkan oleh pihak polis.

Sekarang kita bandingkan, di antara MB Haram yang naik tanpa keizinan rakyat, dan melalui cara “rampasan”, paksaan dan sebagainya. Manakalah perhimpunan haram tidak mendapat keizinan pihak polis. Sedangkan perhimpunan haram tidak merosakkan harta benda, apatah lagi mencederakan orang lain.

Tetapi, pihak polis telah mencederakan mereka, menyuap mereka dengan gas pemedih mata dan menyembur mereka dengan air. Tetapi Zambry? Mendapat pengiktirafan Najib pula! Memang memalukan. Bukankah semua ini diperhatikan oleh dunia? Dan sudah pasti orang yang menyaksikan semua adengan ini, mempunyai akal untuk mengukur “keadilan” yang cuba dicantas.

Oleh itu, pihak polis telah melakukan satu kesilapan besar di dalam karier mereka. Mereka menggunakan motif “menjaga keamanan” sedangkan mereka mencemarkan keamanan tersebut. Kesilapan ini perlu diperbetulkan supaya mereka dikenali sebagai “polis” bukan perampas hak manusia lain.

Wahai pihak polis, tugas sebagai pihak polis bukanlah menjadi anjing suruhan. Tetapi melaksanakan kebenaran dan keadilan yang sebenar-benarnya. Nilai keadilan ini telah dicampakkan oleh Allah di dalam hati manusia, tetapi ramai yang mahukan kezaliman berbanding keadilan. Akhirnya mereka dibalas kerana perbuatan mereka sendiri.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

WAHAI GADIS MUDA, ENGKAU SEMAKIN TUA


Kehidupan manusia sentiasa bergerak ke hadapan, tanpa melihat ke belakang dan masa itu tidak boleh berundur. Sekiranya kalam itu sudah tertutur, tidak mampu untuk ditarik balik. Sekiranya perbuatan itu sudah terlanjur, juga tidak mampu untuk ditarik balik. Wahai gadis muda, engkau semakin hari semakin tua. Engkau tidak mampu menahan masa daripada terus bergerak sepertimana engkau tidak dapat menahan bumi ini daripada beputar.

Engkau juga tidak mampu menahan matahari daripada terbit atau tenggelam. Semua inilah yang menggerakkan masa itu. Kehidupan muda hanya sementara, dan kecantikan semasa muda itu akan hilang dengan cepat. Sekiranya engkau merasakan umur 22 tahun itu ialah paling cantik, ia akan hilang apabila engkau berumur 23 tahun. Tempoh kecantikan itu hanyalah setahun.

Adakah engkau merasakan kecantikan itu berterusan? Wajah muda itu tidak selamanya begitu. Engkau tidak dapat menahan umur itu daripada meningkat. Engkau tetap akan tua, atau mati ketika masih muda. Apakah bekalan engkau ketika itu? Wajah muda engkau? Segalanya langsung tidak berguna. Muka itu tetap dimakan ulat, dan badan itu tetap dimamah tanah.

Sekiranya engkau diberikan umur oleh Allah supaya dipanjangkan lagi, muka muda itu pasti akan hilang dan digantikan dengan muka tua. Sekiranya engkau berusaha mengekalkannya, engkau hanya muda pada cermin, sedangkan tubuh engkau tetap mengakui bahawa engkau adalah orang tua yang terasa muda.

Walaupun begitu, petua untuk mengekalkan muda itu tetap ada. Walaupun umur itu semakin tua, iman itu tidak pernah tua. Bahkan ia semakin tebal dan matang. Iman itu tidak akan berkurangan disebabkan kurangnya umur, tetapi ia kurang disebabkan kurangnya amalan. Kalau engkau hanya gilakan kecantikan dengan mengenakan pelbagai lotion, ia akan hilang dengan mudah. Tetapi sekiranya kecantikan itu kurniaan Allah dan ia dihiasi oleh iman di dalam diri, ia akan kekal selamanya.

Carilah kecantikan yang sebenar. Ia tidak ada pada lotion yang bertimbun, tetapi ia milik Allah Yang Maha Cantik, dan Allah sukakan benda yang cantik dengan Iman. Tetapi, engkau jangan lupa wahai gadis muda, walaupun hari ini engkau merasa engkaulah orang paling cantik pada pandangan manusia yang buta, Allah mampu menghilangkannya dengan cepat.

Seorang gadis cantik pada mata manusia, apabila mengalami kemalangan dan mengubah mukanya. Seorang gadis cantik pada mata manusia, apabila terkena penyakit kulit, terus mengubah mukanya. Tetapi, sekiranya ia mempunyai iman, dia masih cantik dan terus cantik pada pandangan Allah, dan Allah berkuasa untuk mencantikkan rupanya kembali!

Oleh itu, sekiranya engkau tidak mahu mencantikkan diri dengan iman, engkau akan hodoh disebabkan dosa. Kecantikan pada pandangan manusia yang buta itu akan hilang sekelip mata, dan Iman di dalam hati itu bukanlah diukur dengan mata manusia yang buta itu, dan inilah kecantikan sebenar.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah