Sunday, May 3, 2009

MAHASISWA PERAK DESAK TARIK BALIK KEPUTUSAN KABINET

Oleh : BERSATU PERAK

Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATUPERAK) mendesak kabinet menarik balik keputusannya yang menyatakan bahawa status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.

Dalam satu kenyataaan hari, Exco Penerangannya, Ahmad Shahir Abdul Aziz berkata, BERSATU PERAK mengkritik sekeras-kerasnya keputusan kabinet itu.

Kabinet membuat keputusan itu pada 23 April lalu sebagai langkah untuk menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang dilaporkan baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Ahmad Syahir berkata, keputusan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga dianggap tidak tepat kerana ia dibuat dengan cara tergesa-gesa tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti mufti.

“Memandangkan isu ini amat berkait rapat dengan persoalan perundangan Islam, seharusnya pihak kabinet membuat penelitian dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan mereka yang pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan.

“Justeru, BERSATU PERAK berpandangan tindakan kabinet yang membuat ketetapan tersebut tanpa sebarang rujukan kepada tokoh ulamak adalah sesuatu yang amat mengecewakan,” tegas Muhammad Faisal.

BERSATU PERAK juga,katanya, melihat tindakan kabinet itu amat bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa antara pihak mahkamah dan eksekutif.

‘Campuri bidang kehakiman’

“Ini kerana tindakan tersebut secara jelas telah menggambarkan usaha dari pihak eksekutif untuk campur tangan dalam perkara yang melibatkan bidang kuasa kehakiman, sedangkan pihak kehakiman sepatutnya bebas dalam mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh apa yang diputuskan kerajaan.

“Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.

“Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga.

“Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,” kata Ahmad Syahir.

Oleh itu, katanya, BERSATU PERAK mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kabinet yang “membuat keputusan secara tidak berhemah dan tergopoh-gapah memandangkan kes itu masih dibicara melalui proses mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Perak”.

Sehubungan itu, katanya, BERSATU PERAK turut mendesak kabinet menarik balik keputuan yang telah ditetapkan demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan keutuhan kuasa pihak mahkamah.

No comments:

Post a Comment