Monday, May 4, 2009

KENAPA KITA PILIH ULAMA’? (Siri 2)

Selain itu, Allah SWT sangat menitik beratkan tentang taqwa. Taqwa ialah melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya. Begitu mudah untuk menjadi seorang yang bertaqwa, maka lakukanlah dari sekarang. Orang yang bertaqwa ini adalah martabat manusia yang digariskan oleh Allah sendiri. Tidak kira kamu ini orang bangsa apa, warna kulit hitam atau putih…

Allah SWT berfirman

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu ada lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbeza bangsa dan puak untuk kamu saling berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu… (Surah al Hujurat : 13)

Maka pilihan kita ialah orang yang mempunyai ilmu agama dan memiliki ciri-ciri taqwa. Ciri-ciri taqwa sepertimana yang disebutkan iaitu melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya. Maka sekiranya seorang ulama’ itu tidak meninggalkan larangannya, maka mereka adalah ulama’ yang tidak bertaqwa. Jangan lupa, Allah juga melarang kita membiarkan maksiat berleluasa, dan melarang kita membiarkan Negara kita diperintah oleh orang yang tidak sepatutnya.

Di dalam PAS hari ini, timbul persoalan, “kenapa kita perlu memilih ulama’ sebagai pemimpin?”. Jawapan yang mudah ialah mereka mempunyai kefahaman tentang Islam, dan mereka mengamalkan suruhan Islam dan mencegah larang Islam. Bukankah kita hendak menegakkan Islam di Malaysia?

Maka sekaligus saya menjawab bahawa ulama’ perlu diletakkan sebagai pemimpin. Kalaulah seorang jurutera itu memahami ilmu agama secara menyeluruh, dan undang-undang Islam secara sebenar, maka persilakanlah untuk menjadi pimpinan. Tetapi, janganlah anda hanya mengaku anda memahami agama Islam, sedangkan pemahaman tersebut masih belum cukup kuat untuk membimbing sebuah Negara.

Gejala ini semakin membarah hari ini. Apabila terdapat beberapa orang yang menggelar dirinya sebagai cendekiawan, hanya mengutip ilmu-ilmu Islam dari bacaan buku semata-mata. Maka bacaan tersebut hanya memberi pengetahuan, tetapi dia masih belum bergelar seorang yang berilmu. Ada juga yang belajar ilmu agama secara sambilan, tetapi dia masih lagi belum bergelar seorang ulama’ yang memahami ilmu agama.

Oleh itu, sekiranya anda masih berada di tahap mempelajari cebisan ilmu agama, tidak perlulah mendakwa diri sebagai seorang ulama. Apatah lagi orang yang hanya membaca buku semata-mata, sudah mendakwa diri sebagai ulama’. Semoga anda tidak tergolong di dalam golongan ini. Bertanyalah kepada orang yang benar-benar alim.

Allah SWT berfirman


Maka bertanyalah kepada orang yang memahami agama sekiranya kamu tidak tahu (Surah an Nahl : 43)

Nabi SAW bersabda
.
Tidak sepatutnya seorang yang alim itu menyembunyikan ilmunya, dan tidak patut juga orang yang jahil menyembunyikan kejahilannya (Ibnu Mardawih)

1 comment: