Tuesday, March 10, 2009

DEMOSTRASI PPSMI ADALAH MEMALUKAN – RAFIDAH


Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz telah membuat kenyataan di dalam akhbar Berita Harian bahawa Demostrasi Membantah PPSMI yang diadakan pada 7 Mac lalu, disifatkan sebagai memalukan. Beliau menyatakan lagi bahawa dahulunya Masyarakat Melayu dianggap beradab, tetapi hari ini, Demostrasi Membantah PPSMI menjatuhkan peradaban Melayu katanya.

"Kita malu sebagai rakyat Malaysia yang dulunya dianggap bertamadun dan beradab, hari ini silap sikit dan apabila ada isu, berarak dan berdemonstrasi berpanjangan, malu kita pada dunia luar.

"Kalau ini tabiat kita, negara akan maju dari segi fizikal saja, tetapi mentaliti dan sikap masih lagi tidak bertamadun," katanya selepas majlis ramah mesra calon yang bertanding pada Perhimpunan Agung Umno dengan perwakilan wanita Umno Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Inilah beberapa petikan daripada Berita Harian yang menghairankan banyak pihak. Daripada kenyataan Rafidah, jelas menunjukkan bahawa kedangkalannya di dalam isu ini. Persoalan yang timbul, siapakah yang memalukan masyarakat Melayu? Bukan setakat memalukan, bahkan menjahanamkan bangsa sendiri. Tidakkah masyarakat dunia terkejut apabila bahasa Melayu cuba dijahanamkan oleh bangsanya sendiri?

Persoalan kedua, siapakah yang tidak bertamadun dan tidak beradab? Adakah mereka yang menuntut kebenaran, bahkan menyelamatkan bangsa sendiri daripada dipupuskan oleh UMNO, dianggap tidak beradab? Adakah penyelamat bangsa dianggap tidak bertamadun? Kenapakah kekejaman FRU dan Polis tidak dilabelkan sebagai satu perbuatan yang tidak bertamadun?

Ketika kehadiran saya di Demostrasi Membantah PPSMI, terdapat golongan kurang upaya yang hanya berkerusi roda, kanak-kanak kecil, orang-orang tua atau golongan emas, dan ramai lagi. Mereka berkumpul untuk menunjukkan semangat mereka untuk menyelamatkan Bahasa Melayu daripada dipupuskan dari muka bumi ini.

Tetapi, malangnya, apakah balasan yang dihukumkan kepada mereka ini? Mereka disuap dengan gas-gas pemedih mata dan dimandikan dengan semburan air, dikasari dan sebagainya? Inikah penyelamat bangsa? Lebih teruk apabila mereka pula yang dihukumkan sebagai tidak bertamadun, tidak beradab dan memalukan!

Golongan-golongan lemah ini berhimpun menyatakan hasrat mereka untuk membetulkan kesilapan kerajaan dalam melaksanakan PPSMI, tetapi mereka dikasari sedangkan keganasan apakah yang dilakukan oleh golongan lemah ini? Ketika demo tersebut, saya terlihat seorang tua tidak mampu untuk berdiri kerana lemah setelah disuap dengan gas pemedih mata.

Beberapa orang Unit Amal segera mendapatkannya dan memapah ke kawasan yang selamat. Kemudian sebuah kenderaan membawanya keluar jauh dari tempat tersebut. Di manakah keadilan dan hemah polis? Masih lagi Rafidah boleh menyifatkan mereka ini sebagai tidak bertamadun. Mereka berdemo sudahlah tidak mendapat sesen pun, bahkan mengeluarkan duit pula untuk bersama-sama membetulkan kesilapan kerajaan.

Lebih teruk lagi apabila mereka pula yang dihujani dengan semburan air, dikasari dan dijamu dengan gas pemedih mata, tanpa belas kasihan. Adakah rakyat Malaysia sudah dianggap binatang oleh kerajaan? Adakah mereka tidak sedar bahawa “kami” juga rakyat Malaysia yang berhak menentukan halatuju negara kami.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment