Friday, June 12, 2009

MASING-MASING BEREBUT UNTUK MENYELAMATKAN PAS

Krisis kerajaan campuran masih lagi belum selesai, bahkan semakin menimbulkan jutaan pandangan dan hujah. Mungkin dari satu sudut, ia dilihat sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku, tetapi hakikatnya, ia juga perlu terjadi. Ya, percanggahan pandangan dalam masalah kerajaan campuran, perlu juga terjadi. Ini kerana masing-masing berebut dan bercanggah semata-mata untuk menyelamatkan PAS.

Ia jelas berbeza dengan UMNO dalam perhimpunan agungnya sebelum ini. Pimpinan UMNO hanya dilihat merebut jawatan untuk mendapatkan kepentingan masing-masing. Bahkan, menjaga periuk nasi sendiri. Tetapi ia jelas berbeza dengan PAS. Percanggahan pandangan di dalam PAS, membawa kepada keterbukaan, dan semakin ramai rakyat berpusu-pusu mengkaji tentang hakikat ini.

Percanggahan pandangan juga berpunca kerana sayangnya mereka terhadap PAS. Bukanlah kerana kepentingan sendiri. Contoh sepertimana yang terjadi di dalam sebuah keluarga, yang mempunyai 2 anak lelaki, dan seorang adik perempuan yang bongsu. Masing-masing berebut-rebut untuk dokong adik perempuan bongsu tersebut yang masih kecil. Si Abang berkata bahawa dia lebih berhak untuk mendokong adik perempuan tersebut.

Begitu juga si Angah, yang mengatakan bahawa dia lebih berhak. Mungkin si Angah berhujah bahawa abangnya tidak pandai mengokong adik perempuan mereka, atau abangnya agak kasar. Manakala si Abang pula, mengemukakan hujah bahawa Angahnya masih kecil untuk mendokong, dan belum ada pengalaman mendokong seorang adik perempuan.

Masing-masing mengemukakan hujah, untuk berebut mendokong adik perempuan mereka. Kedua-dua abangnya bergaduh untuk memberi kasih sayang kepada seorang adik perempuan mereka. Maka, apabila si Ibu datang melihat gelagat mereka, si Ibu hanya tersenyum melihat gelagat dua anak lelakinya. Bahkan, ibunya tidak menghalang mereka berdua untuk mendokong adik perempuan mereka.

Kedua-dua puak sayangkan PAS. Terpaksa bertikam lidah untuk menyelamat dan meninggikan PAS. Masing-masing mengemukakan hujah untuk menunjukkan bahawa mereka lebih berhak dan lebih sayangkan PAS. Disebabkan sayangnya mereka terhadap PAS inilah, yang membuatkan mereka terpaksa bertikam lidah. Kedua-duanya sayangkan PAS.

Jelas berbeza dengan UMNO. Umpama dua orang adik beradik yang berebut mendapatkan coklat. Siapa yang menang pergaduhan, akan berjaya menikmati coklat yang tak seberapa. Tetapi biasanya si Abang akan menang. Maka, Najib dan orang-orangnyalah yang biasanya menang untuk mendapatkan coklat.

Mereka hanya menang untuk mendapatkan coklat, walaupun terpaksa bertikam lidah, dan bergaduh. Bahkan terpaksa memperuntukkan wang yang besar untuk merasuah dan sebagainya. Semata-mata untuk mendapatkan coklat tersebut! Bukan kerana sayangkan UMNO! Kerana mereka sendiri tahu, UMNO itu hanyalah besi buruk yang boleh memberi coklat kepada mereka.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment