Friday, April 3, 2009

AKU MALU NAJIB SEBAGAI PERDANA MENTERI


Sudah biasa didengari dan sudah pun menjadi buah mulut satu dunia, bahawa Najib telah tercemar namanya di persada dunia dengan kes Altantuya. Bertambah teruk apabila hari ini beliau ditabalkan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau yang mempunyai reputasi yang buruk ini, telah pun menjadi Perdana Menteri Malaysia. Adakah anda selaku rakyat Malaysia, tidak rasa malu dengan kenaikannya?

Bagi saya, saya rasa teramat malu kerana mendapat perdana menteri sepertinya. Saya tidaklah berniat melanggar arahan “jangan sebut Altantuya”, tetapi, saya meluahkan rasa janggal dengan kenaikannya tersebut. Masalah yang parah di sini ialah, apabila kes Perdana Menteri ini didengari seluruh dunia! Bukan hanya bualan di kedai kopi sahaja.

Satu ketika dahulu, ketika zaman Mahathir menjadi PM, saya pernah melancong ke United Kingdom, saya menaiki sebuah teksi. Pemandu teksi itu bertanya kepada saya, “kamu datang dari mana?”, Saya menjawab, saya adalah orang Malaysia. Pemandu teksi itu membalas, “Perdana Menteri awak bernama Mahathir kan?”, saya mengangguk mengiyakannya.

Pemandu teksi itu mengatakan bahawa Mahathir adalah seorang yang bagus, dikenali di seluruh dunia, dan dia mengaku bahawa dia menyukai cara pentadbiran Mahathir ketika itu. Saya hanya mendengar, tetapi, hati ini berkata sendirian, “kalaulah engkau tahu hakikat sebenar, sudah pasti engkau akan mengutuk Mahathir…”

Bagaimanapula hari ini? Saya khuatir sekiranya saya pergi melancong ke mana-mana negara, dan apabila ditanya soalan yang sama, bagaimanakah saya hendak menjawabnya? Bayangkanlah sekiranya pemandu teksi itu bertanya “Perdana Menteri awak ialah Najib bukan?, tolong jelaskan kepada saya tentang kesnya dengan Altantuya…”

Ya, saya yakin, muka ini akan tebal setebal-tebalnya. Saya juga yakin, tiada seekor habuk pun orang UMNO yang mampu menjelaskan perkara sebenar. Ini kerana apabila Gobind bertanya sendiri kepada Najib, beliau gagal menjelaskannya, lalu menyalahkan orang yang bertanya pula. Apatah lagi orang-orang UMNO? Mampukah mereka menjawabnya, sedangkan tuan punya badan sendiri tidak mampu menjawab?

Itulah realiti hari ini, saya tidak merasa bangga memiliki Perdana Menteri yang bernama Najib, kerana namanya telah tercemar. Sebelum ini, beliau sudah diperingatkan beberapa kali supaya membersihkan namanya, namun, sampai hari ini, beliau masih terkulat-kulat untuk mendiamkan manusia di seluruh dunia daripada menyebut nama Altantuya.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment