Thursday, March 19, 2009

TOK GURU NIK AZIZ SENGAJA BERBUAT BEGITU


Akhbar semalam telah menyiarkan isu tentang “kerajaan perpaduan” yang mendapat pandangan yang banyak di dalam membahaskan isu tersebut. Akhbar semalam telah menceritakan bahawa Tok Guru Nik Abdul Aziz sekalu Mursyidul Am PAS menyatakan pendiriannya tidak mahu penggabungan dengan BN berlaku, yang menyebabkan timbul perbezaan pandangan dengan Presiden PAS sendiri.

Hakikatnya, ramai yang tertanya-tanya, kenapakah terdapat perbezaan pandangan yang ketara di antara dua orang tokoh besar itu? Dan ramai juga yang menjadikannya isu untuk menunjukkan keretakan dalaman PAS. Bahkan ramai lagi di kalangan ahli PAS sendiri yang masih tidak memahami perbezaan ini, lalu membuat andaian yang tidak tepat. Persoalannya, kenapakah terjadi perbezaan tersebut, sedangkan mereka berdua berada di dalam satu lorong yang lurus?

Sebenarnya, pada hati saya sudah lama berbisik, itulah strategi Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Bukanlah dia mahu memecahbelahkan ahli PAS, tetapi terselindung satu hikmah yang amat besar daripada perbezaan pandangannya itu. Setelah mengetahuinya, saya tertawa kecil, memang kedua-dua tokoh ini adalah dari kalangan orang yang alim, dan bijak dalam pemerintahan.

Hakikatnya, Tok Guru Haji Abdul Hadi, tidak pernah merasa tertekan, atau merasa benci dengan tindakan sahabatnya Tok Guru Nik Aziz, sebaliknya, tidak mengkritik dan tidak menolak pandangan tersebut. Apa yang perlu difahami daripada tindakan ini ialah kita, selaku ahli PAS seharusnya tidak pula mengkritik mana-mana pucuk pimpinan mereka. Sekiranya Tok Guru Haji Abdul Hadi boleh tenang dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz, kenapakah kita pula yang sibuk-sibuk membuat andaian yang tersilap?

Seolah-olah Tok Guru Haji Abdul Hadi mengajar ahli PAS supaya menghormati pandangan orang lain walaupun berbeza. Manakala Tok Guru Nik Aziz pula, sengaja mengeluarkan satu pandangan yang menolak penggabungan dengan BN, berhujahkan keputusan Muktamar PAS sebelum ini. Dan pandangan beliau ini, didengari oleh semua. Kenapakah Tok Guru Nik Aziz berbuat begitu?

Hakikatnya, apa yang ingin diajar oleh Tok Guru Nik Aziz ialah bukan begitu mudah untuk bertaubat. Perlu ada kesungguhan daripada BN sendiri. Sekiranya semua pucuk pimpinan setuju seratus peratus dengan pendapat Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang, maka BN dilihat begitu mudah untuk kembali ke pangkal jalan. Sedangkan seseorang yang ingin bertaubat, bukanlah hanya berkata-kata, tetapi perlu ada praktikal.

Hari ini, pandangan Tok Guru Nik Aziz sudah didengari oleh semua orang, ini kerana beliau berniat untuk menampakkan bahawa ahli PAS ini benci dengan BN. Pandangan beliau ini, sudah cukup mengajar BN yang selama ini telah merosakkan rakyat. Siapa lagi yang dapat mengajar BN kalau bukan dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz?

Selain itu, beliau juga berpendirian tetap dengan keputusan Muktamar PAS sebelum ini, yang menolak penggabungan tersebut. Beliau telah mengajar ahli PAS supaya berpendirian teguh di dalam masalah pokok, bukan mudah untuk diubah atau senang ditarik hidung oleh BN. Bagaimana pula dengan Tok Guru Haji Abdul Hadi? Hikmah yang digunakan oleh beliau ialah ketaatan dengan pimpinan, dan keputusan syura.

Hakikatnya, ramai ahli PAS sendiri yang tidak mematuhi kalam pimpinan mereka khususnya Presiden PAS. Kadangkala apa yang telah diputuskan melalui syura, lalu dibentangkan kepada umum, ada sahaja yang mengkritik itu dan ini. Hakikatnya, orang yang mengkritik itu bukannya tahu. Saya tertarik dengan kalam Tok Guru Nik Aziz sendiri yang mengajar kita supaya taat kepada keputusan pimpinan melalui syura, yang jarang disedari…

"Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah"

Bukankah ia menunjukkan bahawa kedua-dua tokoh ini sememangnya mempunyai fikrah yang sama? Mana mungkin Presiden PAS membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan? Oleh itu, hakikatnya mereka tidak bercanggah pandangan, tetapi membuat “gimik” supaya ia dihangatkan oleh media. Fikirlah hikmah kedua-dua tokoh ini. Elakkan daripada melabel, tetapi tidak tahu.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment