Tuesday, March 17, 2009

TEORI KEJATUHAN UMNO


Beberapa berita hari ini telah menyiarkan bahawa UMNO sudah berada di satu tahap yang agak kritikal. Beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai isu dalaman UMNO semakin membarah dan hari ini, beberapa orang kuat UMNO sudah dilabelkan sebagai bersalah. Khir Toyo terselamat daripada kemelut ini, dan dia bersyukur dengan siasatan Lembaga Disiplin UMNO.

Malang bagi Khairy dan Ali Rustam terpaksa berhadapan dengan tuduhan-tuduhan ini. Selain itu, isu Norza pun masih belum selesai lagi. Semua ini menampakkan bahawa UMNO berada dalam keadaan kritikal, dan dijangka akan jatuh tidak lama lagi. Kejatuhan UMNO ini, masih belum saya jumpa di mana-mana artikel, tetapi mungkin terdapat di sana penganalisis politik yang sudah pun menjumpai teori tersebut.

Saya bukanlah orang yang hebat di dalam menganalisis politik, tetapi, jangkaan ini hampir menampakkan peratus ianya menjadi realiti. Teori kejatuhan UMNO dilihat daripada beberapa faktor, antaranya melanggar etika dan perlembagaan sesuka hati, politik wang yang semakin jelas, dan masalah perebutan kuasa di dalam UMNO sendiri. Dari sudut jangkaan saya, pilihanraya lalu telah menampakkan kejatuhan UMNO dengan kehilangan 5 buah negeri. Bagaimana pula pilihanraya akan datang?

Manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan “akal” yang mampu menilai baik dan buruk. Walaupun tidak diajar, seseorang itu sudah mengetahui bahawa merampas hak orang lain itu adalah satu kelakuan yang buruk. Tetapi UMNO gagal memahami fakta ini, mereka terlupa bahawa rakyat Malaysia mempunyai akal dan perasaan. Bila-bila masa sahaja mereka boleh menumbangkan kerajaan begitu sahaja.

Sejarah telah melakarkan bahawa kuasa rakyat jauh lebih besar daripada pemimpin. Ini kerana rakyat-rakyat ini telah dikurniakan akal untuk menolak kejahatan. Sepatutnya UMNO perlu meraikan akal ini, dengan mempengaruhi atau “membodek” hati rakyat. Tetapi mereka mereka gagal berbuat demikian sehingga menyebabkan rakyat sudah tidak dapat terima kejahatan tersebut.

Biasa kita dengar, orang berkata “kalau nak buat jahat pun, cover-cover la sikit”. Tetapi, anda jangan lupa, walaupun anda dapat menipu rakyat sekalipun, anda tetap dikatakan penipu. Walaupun tiada siapa yang mengetahui bahawa anda menipu orang lain, tetapi anda tetap digelar penipu. Ini kerana walaupun rakyat tidak melihat penipuan tersebut, tetapi lidah yang mereka gunakan untuk menipu itu adalah saksi terhadap perbuatan mereka.

Salam Perjuangan,
Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment