Tuesday, March 17, 2009

ISU DALAMAN UMNO : HAPUSKAN SEBAHAGIAN, SELAMATKAN SEBAHAGIAN YANG LAIN?


Berita hari ini banyak membincangkan isu dalaman UMNO yang berada di tahap yang agak kritikal. Ramai orang-orang kuat UMNO berada dalam keadaan yang merungsingkan mereka. Kedudukan mereka terjejas, kewangan mereka entah ke mana dan sebagainya. Cuma persoalan yang ingin dilontarkan di sini, bagaimanakah Najib boleh terselamat?

Walaupun saya tidak mempunyai bukti untuk menuduh Najib, tetapi kemungkinan yang boleh difikirkan di sini ialah, siapakah yang mencaturkan semua ini? Siapakah pengarah filem ini? Sehinggakan pelakon-pelakon terpaksa dibuang kerja kerana di arah oleh seorang pengarah filem yang tidak dikenali.

Adakah Najib dalang yang mencaturkan semua ini? Siapakah yang menganggotai Lembaga Disiplin UMNO? Apakah Najib mengaturkan semua ini untuk menjaga kerusi empuknya? Segala persoalan ini boleh difikirkan bersama. Saya tidak menuduh Najib yang melakukannya, tetapi hanya sekadar melontarkan persoalan.

Saya terdetik untuk melontarkan soalan ini kerana mendapati Khir Toyo yang merupakan seorang personal reputasi buruk, boleh dikatakan selamat. Saya terfikir juga, bagaimanakah Khir Toyo masih boleh selamat walaupun semua bukti dan fakta telah didedahkan oleh Menteri Besar Selangor sebelum ini? Bagaimanakah pula Lembaga Disiplin UMNO boleh mengatakan reputasinya “bersih”?

Sudah pasti, ada seseorang yang mencaturkan segala pergerakan ini. Siapakah orang itu? Mungkin hari ini kita tidak dapat menjawabnya, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui. Malaysiakini telah memberitakan bahawa pada pukul 8.30 malam tadi, terdapat seramai 15 orang penyokong Ali Rustam berhimpun di ibu pejabat UMNO. Apakah yang mereka katakan?

“kalau nak bersih, bersihkan semua sekali"
"Kalau nak telus, semuanya kena telus,"


Sudah pasti, ahli UMNO sendiri menyedari bahawa ketelusan yang dilakukan itu bukanlah bersifat menyeluruh. Tetapi ia adalah “bersihkan sebahagian, supaya orang lain tertipu dengan sebahagian yang bersih itu” atau “hapuskan sebahagian, selamatkan sebahagian yang lain”

Maka, saya mengajak ahli UMNO supaya membersihkan diri mereka dengan bersama-sama menyertai PR dan menolak UMNO. Ini kerana dalaman UMNO sendiri tidak menjamin kebersihan dan ketelusan. Mungkin sebahagian dikenakan tindakan, dan sebahagian yang lain terselamat, dan meneruskan agenda kotor mereka.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

ADAKAH PAS BERGABUNG DENGAN UMNO KERANA MELAYU?


Gabungan Pas dengan UMNO yang pernah diwar-warkan sebelum ini dengan menggunakan istilah “perpaduan” atau “campuran”. Di sana juga Tok Guru Nik Aziz telah menolak ajakan untuk bersatu disebabkan beberapa faktor. Namun, pada pandangan saya, di dalam mempersoalkan gabungan PAS dan UMNO, mestilah didasari dengan Islam.

Sebelum ini, kita sudah mengetahui bahawa sekiranya UMNO benar-benar memperjuangkan agama, bangsa dan negara, tidak perlulah diwujudkan PAS. Tetapi, memandangkan keadaan UMNO yang agak kritikal dan cuba membunuh Agama Islam, maka PAS perlu diwujudkan untuk menolak anasir tersebut.

Alhamdulillah, hari ini PAS sudah pun bergabung dengan DAP dan Keadilan untuk membentuk Pakatan Rakyat. Dengan UMNO bila lagi? Persoalan ini dapat dirungkaikan dengan melihat kepada sebab gabungan. Sekiranya PAS bergabung dengan UMNO semata-mata untuk menyelamatkan bangsa Melayu, sudah pasti akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Hakikatnya, gabungan PAS dan UMNO perlulah didasari dengan Islam. Hari ini, DAP dan Keadilan yang terdiri daripada golongan bukan Islam, dapat menerima PAS. Ini kerana perjuangan PAS, bukanlah perjuangan bersifat taksub bangsa, tetapi dengan kemuliaan Agama Islam. Kita melihat golongan bukan Islam dapat menerima Islam dengan berlapang dada, walaupun mereka bukan beragama Islam.

Saya menyeru kepada semua ahli UMNO dari pimpinan atas, sehinggalah orang bawahan, supaya membetulkan perjuangan anda. Memperjuangkan bangsa Melayu tidaklah salah, tetapi perjuangan tersebut hendaklah didasari dengan Islam, bukan taksub. Timbul persoalan di benak pemikiran kita, kenapakah kita tidak boleh taksub bangsa sendiri?

Jawapan yang mudah ialah, hakikat sebenar, setiap manusia di dunia, berasal daripada Nabi Adam AS, yang bukan berbangsa Melayu, bukan berbangsa Cina, bukan berbangsa India dan sebagainya. Tetapi Nabi Adam AS adalah seorang Nabi Allah yang beragama Islam. Perjuangan bangsa adalah perjuangan yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Siapakah yang boleh mendabik dada bahawa dia adalah Melayu Tulen?

Oleh itu, seruan untuk UMNO ialah bergabung dengan PAS, kerana Islam. PAS sedia menerima sesiapa sahaja yang ingin bergabung dengannya. Allah menerima taubat mereka yang ingin bertaubat, dan menolak mereka yang taubat olok-olok. Namun, sekiranya UMNO benar-benar ingin bergabung dengan PAS kerana Islam, maka tidak akan terjadilah segala kekejaman, politik wang, rampasan hak dan sebagainya.

Bagaimana pula pandangan Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang tidak bersetuju penggabungan tersebut? Hakikatnya, setiap orang mempunyai pandangan peribadi, dan pandangan Tok Guru berkemungkinan hendak memberi pengajaran kepada UMNO yang pernah menendang keluar PAS setelah penggabungan dibuat.

Sejarah sudah mengukir memori yang tidak boleh dipadam. Sudah pasti, UMNO perlu diberi pengajaran supaya mereka lebih berhati-hati di dalam bermain di dunia politik. Sekiranya semua ahli PAS bersetuju dengan penggabungan, sudah pasti di sana UMNO tidak dilihat sebagai seorang yang bersalah yang kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, inilah hikmah Tok Guru di dalam berdakwah.

Namun, ketaatan kita kepada Presiden PAS, Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam membuat apa-apa keputusan. Maka, tidak wujudlah perpecahan sesama ahli PAS, walaupun masing-masing mempunyai pandangan peribadi, namun, ketaatan tersebut melebihi daripada pandangan peribadi tersebut.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

TEORI KEJATUHAN UMNO


Beberapa berita hari ini telah menyiarkan bahawa UMNO sudah berada di satu tahap yang agak kritikal. Beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai isu dalaman UMNO semakin membarah dan hari ini, beberapa orang kuat UMNO sudah dilabelkan sebagai bersalah. Khir Toyo terselamat daripada kemelut ini, dan dia bersyukur dengan siasatan Lembaga Disiplin UMNO.

Malang bagi Khairy dan Ali Rustam terpaksa berhadapan dengan tuduhan-tuduhan ini. Selain itu, isu Norza pun masih belum selesai lagi. Semua ini menampakkan bahawa UMNO berada dalam keadaan kritikal, dan dijangka akan jatuh tidak lama lagi. Kejatuhan UMNO ini, masih belum saya jumpa di mana-mana artikel, tetapi mungkin terdapat di sana penganalisis politik yang sudah pun menjumpai teori tersebut.

Saya bukanlah orang yang hebat di dalam menganalisis politik, tetapi, jangkaan ini hampir menampakkan peratus ianya menjadi realiti. Teori kejatuhan UMNO dilihat daripada beberapa faktor, antaranya melanggar etika dan perlembagaan sesuka hati, politik wang yang semakin jelas, dan masalah perebutan kuasa di dalam UMNO sendiri. Dari sudut jangkaan saya, pilihanraya lalu telah menampakkan kejatuhan UMNO dengan kehilangan 5 buah negeri. Bagaimana pula pilihanraya akan datang?

Manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan “akal” yang mampu menilai baik dan buruk. Walaupun tidak diajar, seseorang itu sudah mengetahui bahawa merampas hak orang lain itu adalah satu kelakuan yang buruk. Tetapi UMNO gagal memahami fakta ini, mereka terlupa bahawa rakyat Malaysia mempunyai akal dan perasaan. Bila-bila masa sahaja mereka boleh menumbangkan kerajaan begitu sahaja.

Sejarah telah melakarkan bahawa kuasa rakyat jauh lebih besar daripada pemimpin. Ini kerana rakyat-rakyat ini telah dikurniakan akal untuk menolak kejahatan. Sepatutnya UMNO perlu meraikan akal ini, dengan mempengaruhi atau “membodek” hati rakyat. Tetapi mereka mereka gagal berbuat demikian sehingga menyebabkan rakyat sudah tidak dapat terima kejahatan tersebut.

Biasa kita dengar, orang berkata “kalau nak buat jahat pun, cover-cover la sikit”. Tetapi, anda jangan lupa, walaupun anda dapat menipu rakyat sekalipun, anda tetap dikatakan penipu. Walaupun tiada siapa yang mengetahui bahawa anda menipu orang lain, tetapi anda tetap digelar penipu. Ini kerana walaupun rakyat tidak melihat penipuan tersebut, tetapi lidah yang mereka gunakan untuk menipu itu adalah saksi terhadap perbuatan mereka.

Salam Perjuangan,
Dr Fikrah

GOBIND DIGANTUNG : PAKATAN RAKYAT DIBULI DI PARLIMEN?


Kes buli bukan hanya terdapat di sekolah-sekolah, bahkan di parlimen pun turun terdapat unsur-unsur buli membuli. Isu penggantungan Gobind telah menyaksikan satu situasi pembulian yang tidak bermoral. Sekiranya anda mendapati terdapat sesuatu kes buli di sekolah, anda akan mengatakan bahawa ia adalah perangai remaja. Tetapi timbul masalah sekiranya kes buli di sekolah tersebut mendapat sokongan guru!

Sudah pasti ramai tertanya-tanya, kenapakah guru-guru menyokong pembulian di sekolah? Ini kerana mereka tidak sepatutnya menyebelahi pihak pembuli. Begitu jugalah apa yang terjadi di dalam Parlimen kebelakangan ini. Apa yang dilihat, sekiranya di Negeri Perak, exco-exco dilarang dari memasuki dewan. Juga satu bentuk pembulian yang disokong oleh kerajaan pusat.

Di parlimen sekarang ini, bising tentang isu penggantungan Gobind kerana telah menuduh TPM terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Lalu, beliau digantung selama setahun tanpa diberikan sebarang elaun atau kemudahan sebagai ahli parlimen. Tetapi, apa yang dirasakan sebagai satu pembulian, ialah perangai UMNO itu sendiri.

Sidang Parlimen dan Dun, telah dirakam oleh banyak pihak, dan mendapati bahawa UMNO lebih teruk daripada itu. Kalau sebelum ini, UMNO pernah mencarut di dalam parlimen, menuduh bukan-bukan terhadap pembangkang dan sebagainya. Adakah speaker hanya memekakkan telinga? Tidak pula dihalau orang-orang yang kaki mencarut ini?

Di dalam artikel ini, saya ingin memberi peringatan kepada kaki-kaki buli ini, supaya tidak membangkitkan kemarahan rakyat. Adakah mereka tidak tahu, rakyat boleh berfikir untuk menilai sejauh mana kepimpinan kerajaan mereka. UMNO selama ini pun masih kekal dek kerana pengundi hantu, dan perkara ini telah diketahui umum.

Saya juga ingin mengingatkan kepada ahli UMNO, sekiranya anda merasa dewasa dan boleh membuli seorang kanak-kanak, anda jangan lupa, apabila kanak-kanak itu dewasa, dan anda sudah tua, kanak-kanak itu mampu untuk membunuh si tua itu, tetapi tidak sanggup. Sekiranya PR menang kelak, di manakah muka anda? Pembulian yang dilakukan akan tetap kekal dalam memori sejarah.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Monday, March 16, 2009

PLAK SUDAH HANCUR, POKOKNYA MASIH HIDUP


Tengahari hari ini, saya menjenguk ke tempat Pokok Demokrasi yang terletak berhampiran dengan Pejabat SUK. Saya sempat mengambil beberapa gambar bekas tinggalan plak tersebut. Ketika saya berada di sana, saya tidak keseorangan, bahkan terdapat beberapa pengunjung yang terdiri daripada beberapa lapisan bangsa, umur dan pangkat. Masing-masing melihat kesan tersebut, tanpa berkata sepatah. Seolah-olah sedang memahami bahasa pokok itu.

Ya, rupa-rupanya pokok itu masih hidup! Pokok yang menjadi saksi terhadap kezaliman UMNO itu masih hidup. Setiap tumbuhan adalah makhluk Allah SWT, yang telah disuruh oleh Allah SWT dengan bertasbih kepadanya. Manusia gagal memahami bahasa itu, melainkan mereka yang melihat kebesaran dan keagungan Penciptanya.

Kesan peninggalan plak tersebut, membuatkan hatiku tersentak, dan baru saja menyedari bahawa pokok itu masih hidup, dan masih lagi menjadi saksi sehingga hari ini. Makhluk yang dicipta oleh Allah SWT ini, tidak diizinkan olehNya untuk ditebang lagi. Walaupun plak itu telah ditakdirkan oleh Allah SWT, musnah pada 15 Mac, namun, nyawa Pokok Demokrasi masih lagi berterusan sehinggalah Allah SWT yang mencabut nyawanya.

Adakah selepas artikel ini ditulis, ia akan ditebang oleh Majlis Bandaraya Ipoh? Itu semua telah disusun oleh Allah SWT. Namun, walaupun pokok tersebut ditebang sekalipun, masih banyak lagi makhluk Allah SWT yang menjadi saksi! Lihatlah tanah yang mereka bersidang di atasnya pula. Lihatlah langit yang mereka bersidang di bawahnya pula.

Apakah keadilan Allah itu hanya disaksikan dengan plak semata-mata? Perhatikanlah, rumput yang berada berhampiran kawasan tersebut juga menjadi saksi kezaliman UMNO. Bahkan, tangan dan kaki mereka yang menjahanamkannya, turut menjadi saksi. Bukan setakat itu, lidah yang mereka gunakan untuk mengeluarkan arahan, otak yang mereka gunakan untuk merancang kejahatan, dan semua anggota ini, menjadi saksi terhadap kezaliman UMNO.

Selagi tubuh mereka masih hidup, ia masih lagi terus menjadi saksi terhadap semua kezaliman, kekejaman, penindasan dan rampasan hak yang telah mereka lakukan. Bukan setakat tubuh badan, bahkan cermin mata yang digunakan, pakaian yang dipakai dan sebagainya, turut menjadi saksi. Semua makhluk Allah SWT ini menjadi saksi terhadap kekejaman UMNO dan keadilan yang cuba dibentuk oleh PR.

Semua hakikat ini, tidak perlu diungkap dengan lidah sekiranya telinga itu yang tidak mahu mendengar. Tetapi, ia boleh difahami dengan bahasa alam yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia. Hanya orang yang beriman dan berfikir sahaja yang menyedarinya.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah
.



ISU RUMAH MADIHAH : BETULKAN AKIDAH ANDA!


Rumah Madihah yang usang dan dha’if telah dijadikan isu oleh beberapa pihak yang tidak sepatutnya. Golongan ini mendakwa bahawa pemerintahan Tok Guru Nik Aziz selama ini tidak membuahkan hasil, masih tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di negeri sendiri. Mereka menambah lagi, Tok Guru Nik Aziz sibuk menyalahkan negeri lain, tetapi negeri sendiri pun tidak terjenguk.

Tuduhan yang dilemparkan ini cukup menyentuh hati saya, kerana tanggapan ini berkait dengan masalah akidah yang tidak dapat difahami dengan betul. Masalah ini bukanlah satu perkara yang kecil, tetapi ia sememangnya tidak difahami dan boleh menjadi isu yang lebih besar. Masalah akidah bukanlah satu masalah yang kecil.

Perkara pertama yang ingin dikatakan di sini ialah, siapakah yang memberi rezeki? Adakah UMNO? Adakah PAS? Adakah Najib dengan RM 60 Billionnya? Semuanya tidak. Tiada siapa yang mampu memberi rezeki kepada sesiapa pun melainkan Allah SWT sendiri! Lihatlah hari ini, walaupun UMNO menerajui kerajaan Malaysia sekalipun, tidak mungkin boleh meng”kaya”kan Malaysia melainkan dengan izin Allah SWT.

Begitu juga dengan PR, bukanlah pemberi rezeki. Sekiranya PR yang menang di dalam pilihanraya akan datang sekalipun, belum pasti Malaysia boleh menjadi negara kaya melainkan dengan izin Allah SWT, sebagai Tuhan Yang Memberi Rezeki. Tetapi, apa yang dilihat berdasarkan bukti hari ini, UMNO lebih menyebabkan Malaysia merudum, dengan kes rasuahnya, dan sebagainya. PR berjuang bukanlah untuk memberi kekayaan, tetapi, mengajak kepada Islam yang sebenar! Yang tiada sebarang unsur pecah amanah, rasuah dan sebagainya.

Manusia hanya berusaha, tetapi Allah yang memberikan rezeki itu, bukanlah manusia lain. Lihatlah apa yang terjadi kepada orang yang dikatakan kaya, adakah benar mereka itu kaya? Sedangkan hati dan kasih sayang mereka miskin. Keluarga Madihah seorang yang miskin, tetapi memiliki kekayaan jiwa. Di manakah anak-anak orang kaya dengan keputusan SPM mereka? Bukankah rezeki yang diberikan kepada Madihah itu juga adalah daripada Allah SWT?

Begitu juga keadaan rumah Madihah hari ini. Bukankah Menteri Besar telah menghadiah kepada keluarga beliau sebuah rumah? Adakah Tok Guru Nik Aziz pemberi rezeki? Tidak, yang memberi rezeki tersebut adalah Allah SWT melalui perantaraan Tok Guru. Oleh itu, sepatutnya tidak timbullah masalah kedha’ifan rumah Madihah, disebabkan pemerintahan Tok Guru.

Usaha adalah satu elemen penting yang sangat disukai oleh Allah SWT. Namun, walaupun kita berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan rezeki, sekiranya tidak diizinkan oleh Allah SWT, tetap tiada rezeki itu. Kita hanya mampu berusaha untuk mendapat kemenangan di Malaysia, tetapi Allah SWT sahaja yang memberikan kemenangan itu.

Oleh itu, kemenangan UMNO di Malaysia adalah rezeki yang WAJIB disyukuri. Bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, adalah dengan mentadbir Malaysia dengan keadilan yang dikehendaki olehNya, bukan dengan men”songlap” duit rakyat. Tetapi, kebanyakan UMNO yang dilihat hari ini, seperti tidak bersyukur dengan kekuasaan yang diberikan. Contohnya menggunakan FRU, untuk menyekat jalan-jalan Allah.

Kenapakah PR berusaha menumbangkan UMNO? Kerana mereka telah melakukan kezaliman, bukanlah PR berusaha untuk menjadi “pemberi rezeki”. Hakikatnya, persoalan yang perlu kita jawab ialah “usaha atau tidak”. Persoalan tentang hasilnya adalan urusan Allah SWT. Sekiranya diberikan rezeki itu, maka WAJIB bagi seseorang hamba itu bersyukur. Sekiranya tidak mendapat rezeki, teruskan usaha, dan rezeki itu tetap ada di tangan Allah.

Kalau dahulu, Firaun mendakwa bahawa dialah yang menghidupkan seseorang dan dia juga mematikan seseorang. Dia menunjukkan bukti kekuasaannya itu di hadapan Nabi Musa AS dengan mendatangkan dua orang tawanan, lalu salah seorangnya dibunuh, dan seorang lagi dibiarkan hidup. Dia pun berkata, “aku telah mematikan orang ini, dan aku menghidupkan seorang lagi”.

Hakikatnya, hari ini, masih terdapat generasi Firaun yang mendakwa bahawa akulah yang menyebabkan kemajuan Malaysia, akulah yang itu, akulah yang ini. Sekiranya seorang ketua mengatakan bahawa “sekiranya aku tak bagi gaji bulanan kamu ini, sudah pasti kamu akan mati kebuluran”. Betulkah ketua itu mampu menyebabkan kebuluran seseorang? Tidak sama sekali.

Kemiskinan yang dialami oleh Madihah, bukanlah persoalannya, dan bukanlah disebabkan pemerintahan PAS. Tetapi, itu semua adalah kerja Allah. Di negeri-negeri pemerintahan UMNO masih banyak lagi rumah yang lebih dha’if dari itu, dan mereka langsung tidak mendapat perhatian. Sememangnya Allah itu pemberi rezeki.

Sekiranya ada di kalangan UMNO yang mengatakan bahawa, “bukankah Allah itu pemberi rezeki, sudah pasti hasil rasuah ini juga rezeki Allah, bukanlah rezeki rakyat yang tidak mendapat wang itu?” Sememangnya Allah itu pemberi rezeki, tetapi, Allah SWT mengHARAMkan rasuah, riba dan merampas harta orang!

Sememangnya kemiskinan di negeri-negeri UMNO juga adalah kerana izin Allah SWT, tetapi itu bukan persoalannya. Persoalan yang sebenar ialah UMNO merampas hak orang lain, dan merampas hak orang lain adalah HARAM. Oleh itu, fikirlah bersama. Fahamilah erti akidah yang sebenar.

“Berhati-hatilah ketika memberi KOMEN terhadap artikel ini, supaya tidak terjatuh ke luar daripada pegangan”

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

TAWARAN KE TIMUR TENGAH, UNTUK MADIHAH


Berita hari ini telah menyiarkan berita tentang kecemerlangan Madihah yang mendapat 20A di dalam SPM baru-baru ini. Beliau yang bersekolah di Maahad Muhammadi Perempuan, adalah seorang yang menjalani hidup yang susah dan menghadapi cabaran yang besar. Alhamdulillah, berkat daripada usaha gigihnya, beliau telah mendapat kejayaan yang besar, sehingga dapat meringankan beban keluarga.

Turut diberitakan juga, terdapat beberapa pihak yang berlumba-lumba untuk menaja pengajian beliau yang telah ditawarkan untuk menyambung pengajian ke luar negara, antaranya London. Begitu juga kediaman beliau yang telah dilawati oleh Menteri Besar Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lalu menghadiah kepadanya sebuah rumah, sepertimana yang telah diberitakan di dalam Harakahdaily.

Hati kecilku berbisik sendirian apabila mengetahui tentang kisah ini, semenjak beberapa hari lalu. Apa yang merisaukan saya ialah kesempatan-kesempatan yang dilakukan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab di atas kelebihan yang dimilikinya. Saya tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi sekadar melontarkan sedikit pandangan supaya sama-sama difikirkan.

Sepertimana yang telah diberitakan, Madihah telah ditawarkan untuk menyambungkan pelajaran ke London dan mendapat pinjaman penuh oleh MARA. Bahkan, beliau tidak perlu melalui A Level di Malaysia, bahkan terus sahaja ke London. Apabila mengetahui perkara ini, saya juga ingin membuat tawaran kepada Madihah.

“Saya menawarkan supaya Madihah menyambungkan pelajaran ke STAM dan mengambil bidang agama. Kemudian boleh menyambungkan pelajaran ke mana-mana institusi di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan, Yaman, Syria dan banyak lagi.”

Saya tak mampu untuk menjamin apa-apa pinjaman, biasiswa atau apa sahaja bentuk bantuan, tetapi, hanya sekadar berusaha untuk mengajak Madihah menyambungkan pelajaran di dalam bidang agama. Biarlah orang hendak kata apa. Walaupun orang lain mengatakan ini adalah tawaran yang “sampah”, maka lihatlah, siapa yang akan menjadi “sampah” itu.

Tawaran istimewa ini juga ditujukan kepada semua pihak, yang inginkan satu nilai yang kekal walaupun diri anda sudah reput dimamah tanah kubur. Walaupun saya hanya mampu menulis, dan kemungkinan tidak dibaca, tetapi, saya sudah berusaha untuk membuat tawaran akhirat kepada beliau. Sekiranya terdapat golongan yang ingin mengkritik tawaran ini, sila berbuat demikian selagi anda masih boleh berbicara.

Saya tidak mengatakan sesuatu yang buruk kepada London atau MARA yang membuat tawaran itu, tetapi saya mengatakan sesuatu yang jauh lebih baik daripada itu, untuk dipilih dan dinilai dengan penilaian hati, bukan dengan akal dan nafsu semata-mata.

“Sekiranya MARA mampu memberikan pinjaman penuh untuk menyambungkan pelajaran ke London, saya tidak mampu memberikan sesen pun untuk ke Timur Tengah. Tetapi, jangan lupa, bukanlah saya yang memberi rezeki itu, tetapi Allah SWT yang Maha Pemurah”.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

Sunday, March 15, 2009

HARTA EXCO-EXCO SELANGOR

.
Selangor hari ini (13 Mac) mengumumkan pemilikan aset menteri besar dan barisan exconya dalam tempoh setahun sejak Mac 2008 di laman web rasmi kerajaan negeri. Laman web itu - www.selangor.gov.my - memuatkan maklumat aset selepas jam 6 petang ini.

Exco pelaburan dan perdagangan Teresa Kok mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM32,830.67, sementara jumlah tanggungannya RM2,246.92 sebulan.
.
Exco hal-ehwal agama Dr Hassan Ali pula RM17,722.08 (pendapatan) dan RM12,781 (tanggungan).
.
Exco pelancongan Elizabeth Wong, yang sedang bercuti susulan isu foto bogel, mendapat RM17,722.08 dan membayar hutang kad kredit RM2,000 sebulan.
.
Exco perumahan Iskandar Abdul Samad RM17,722.08 (pendapatan) dan RM2,527 (tanggungan).
.
Rodziah Ismail, exco kebajikan, RM18,122.08 (pendapatan) dan RM3,830.25 (tanggungan).
.
Ronnie Liu Tian Khiew, exco kerajaan tempatan, RM20,722.08 (pendapatan) dan RM4,657 (tanggungan).
.
Exco pertanian Yaakob Sapari mendapat RM17,722.08 dan menanggung RM1,598.99.

Exco kesihatan Dr Xavier Jayakumar RM17,722.08 (pendapatan) dan RM2,270 (tanggungan).

Exco pendidikan Dr Halimah Ali mendapat RM17,722.08 dan menanggung RM7,238.50.

Semua maklumat pendapatan barisan exco ini tidak termasuk perolehan pasangan masing-masing.

Maklumat aset menteri besar sendiri bagaimanapun setakat 8.45 malam ini belum dimuatkan di laman web tersebut.

Perisytiharan itu dititahkan dalam ucapan Sultan Selangor sewaktu baginda merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal minggu ini.

- Sila Klik di sini -

HIKMAH DI SEBALIK PEMUSNAHAN PLAK POKOK


Hari ini, 15 Mac 2009 mencatatkan sebuah memori yang menyaksikan pemusnahan Plak Pokok secara keseluruhan. Menteri Besar Haram, Zambry telah mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya memusnahkannya dengan menggunakan jentolak. Sehingga habis tidak meninggalkan kesan kewujudan plak tersebut. Begitu juga beberapa anak pokok demokrasi yang ditanam di kawasan berhampiran.

Sekiranya sebelum ini, ramai yang tertanya-tanya, siapakah yang memecahkan sebahagian plak tersebut, pada pencerobohan kali kedua? Ada yang cuba membela UMNO dengan mengatakan bahawa berkemungkinan juga PR yang melakukannya. Hakikatnya hujah ini adalah hujah yang digunakan oleh pelajar sekolah rendah.

Kenapakah saya berkata begitu? Cuba anda fikir sebagai seorang yang sudah matang, mana mungkin PR yang berhempas pulas untuk mengadakan sidang di dalam dewan, akhirnya terpaksa mengadakannya di bawah pokok. Detik bersejarah ini telah mereka lakarkan dengan menanam anak pokok demokrasi dan mendirikan sebuah plak. Mana mungkin seseorang menghancurkan sesuatu yang pernah melakar memorinya.

Hari ini, jelas kelihatan bahawa perbuatan terkutuk ini telah dilakukan oleh Zambry sendiri. Persoalan yang timbul di sini ialah, kenapakah ia dimusnahkan? Kenapa ia tidak dipulihkan, bahkan dipagarkan supaya kenangan tersebut berkekalan? Inilah satu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang tiada autoriti dalam memberi arahan.

Hati kecil ini tergelak lagi apabila mengetahui bahawa ia dilakukan kerana pembinaan tugu tersebut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974. Persoalan yang timbul, kenapakah MBI menghancurkan tugu peringatan yang dibina oleh Menteri Besar sendiri? Sepatutnya merekalah yang turut bekerjasama dengan memasang pagar, dan sebagainya.

Di dalam persoalan yang lain, bukankah Zambry telah melanggar perlembagaan sewenang-wenangnya, sehingga dia bergelar Menteri Besar Haram. Adakah pelanggaran perlembagaan ini hanya dipejamkan mata? Tetapi apabila Menteri Besar Sah, membuat satu perkara yang begitu kecil ini, terus dikatakan sebagai tindakan haram.

Di manakah erti sebuah “perlembagaan”. Inilah perlembagaan yang dibuat oleh tangan manusia, yang boleh dilanggar sesuka hati. Inilah erti sebuah kezaliman, penganiyaan dan kekejaman yang tidak layak dilakukan oleh seorang bangsa terhadap bangsanya yang lain. Tidak lain dan tidak bukan, mereka hanya inginkan kepentingan mereka terpelihara, walaupun terpaksa menjahanamkan orang lain.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

GAMBAR KONTROVERSI

oleh : Dr Fikrah
gambar : Perakdaily
.
Kebetulan pada pagi ini saya terbuka blog Perakdaily dan menemui sebuah gambar yang mengelirukan saya. Saya yakin gambar ini memberi satu makna yang mendalam dan berpotensi besar menjadi kontroversi. Saya juga yakin, bahawa gambar ini tidak diedit dengan menggunakan Adobe Photoshop atau apa sahaja software. Hanya perlu menangkap gambar dari tempat asal. Perhatikan dengan hati yang terbuka, kemudian berilah komen anda sebanyak mungkin.
.

Adakah UMNO akan terkubur? Maksud tersirat daripada gambar ini sangat mendalam.
.

JAUHI DARIPADA MEMBERI SOKONGAN KEPADA KEZALIMAN


Kezaliman yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia hari ini begitu banyak sehinggakan mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa perbuatan itulah yang dibenci oleh Allah SWT. Begitu juga mereka yang menyokong kepada kezaliman sepertimana yang banyak berlaku hari ini.

Allah SWT berfirman
.

.
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman, yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah .. (Surah Hud :113)

Cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman adalah salah satu penyebab diri kita disambar oleh api neraka. Disebabkan tangan kita yang mengundi, maka kezaliman itu akan berterusan bermaharajalela. Maka mereka yang mengundi tersebut akan menyebabkan mereka disambar oleh neraka.

Hakikat ini jarang disedari oleh kebanyakan manusia akibat kekayaan yang dihidangkan kepada mereka menjadikan mereka lupa bahawa Allah sangat membenci kelakukan mereka. Allah SWT membenci dan mengancam golongan-golongan yang suka kepada kezaliman, atau memberi sokongan kepada mereka yang melakukan kezaliman.

Hari ini, mata kita sendiri menyaksikan kezaliman yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, maka adakah kita hanya memejamkan mata? Adakah masing-masing membiarkan kezaliman itu berterusan? Atau kitakah yang menyebabkan kezaliman itu berlaku? Maka elakkanlah daripada memberi sokongan kepada mereka yang zalim ini.

Kemudian Allah SWT menjelaskan lagi bahawa Allah sahajalah yang mampu menyelamatkan mereka dari seksaan yang amat pedih di neraka kelak. Oleh itu, sekiranya di dunia lagi kita telah melakukan sesuatu yang dibenci oleh Allah SWT, bagaimanakah kita hendak meraih simpati supaya diselamatkan? Sedangkan Allah SWT adalah satu-satunya Penolong yang ada.

Di manakah ketua anda yang dapat memberi kesenangan sementara di dunia? Mereka sudah lama menjadi bahan bakar api neraka, langsung tidak dapat memberi sebarang bantuan kepada anda ketika di mahkamah Allah SWT. Apakah manusia kira mereka yang mengundi itu bukan dari kalangan orang yang zalim? Ingatlah Allah SWT mengharamkan daripada memberi sokongan kepada orang yang zalim, apatah lagi mereka yang melakukan kezaliman.

Oleh itu, elakkanlah diri anda dari api neraka dengan tidak memberi sokongan kepada UMNO. Sekiranya anda tetap mengundi UMNO, anda akan menyebabkan kezaliman itu berterusan, penindasan dan rampasan hak. Adakah anda sangka anda tidak bersalah disebabkan undian anda?

Salam Perjuangan

Dr Fikrah