Thursday, June 4, 2009

HARAM ITU HANYA SEDIKIT, TETAPI MANUSIA MASIH SUKA YANG SEDIKIT ITU (Siri 2)

Nabi SAW pernah bersabda :

Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajipan, janganlah engkau mengabaikannya. Allah SWT juga telah meletakkan batasanNya, janganlah engkau melampaui batasan tersebut. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, janganlah engkau mengambilnya. Manakala sesuatu yang tidak disebut sebagai haram, maka ia adalah rahmat bagimu, bukanlah disebabkan Allah terlupa. Maka, janganlah engkau mencari-carinya. (ad Darqutni)

Saya juga suka untuk mengingatkan di sini bahawa hukum asal yang dikatakan sebagai harus itu, tidaklah terhad kepada benda dan objek, bahkan ia merangkumi perbuatan dan tindakan yang bukan dikatakan sebagai ibadah. Ia dinamakan sebagai “adat istiadat” atau “komunikasi”. Hukum asal bagi kedua-duanya tidaklah haram, dan tidak terikat dengan mana-mana, melainkan beberapa perkara yang diharamkan oleh Allah SWT sahaja. Laksanakanlah ia.

Allah SWT berfirman

Allah SWT telah menerangkan kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu (Surah al An’am : 119)

Hukum ini tidak termasuk ibadah kerana ia adalah melibatkan agama. Sesuatu ibadah tidak boleh dilaksanakan sembarangan melainkan berdasarkan dalil. Disebut di dalam hadis shahih :

Sesiapa yang membuat sesuatu yang baru, yang bukan daripada ajaran agama, maka ia tidak diterima (Muttafaq Alaih)

Inilah yang dikatakan sebagai hakikat agama yang merangkumi dua perkara, iaitu tidak mensyirikkan Allah, dan tidak beribadah sebarangan melainkan apa yang telah disyariatkan. Sesiapa yang melakukan ibadah yang “baru”, maka ia dianggap sesat, dan tidak diterima. Ini kerana Allah SWT sahajalah empunya kebenaran untuk menggariskan bentuk ibadah untuk makhluk menghampirinya dengan ibadah tersebut.

Manakala adat istiadat dan komunikasi sesama makhluk, tidaklah digariskan bentuknya oleh Allah SWT. Bahkan manusia sendiri yang melakukannya dengan sifat kemanusiaan. Dan Allah SWT mendatangkan panduang-panduan untuk melaksanakannya secara elok, baik dan sesuai melainkan beberapa perkara yang boleh mengundang kerosakan dan keburukan.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata :

Tindakan dan kata-kata manusia terdapat dua bahagian : ibadat yang mencantikkan agama mereka, dan adat istiadat yang diperlukan untuk dunia mereka. Maka, dengan mengkaji sumber undang-undang Islam, kita akan menemui bahawa ibadat yang diwajibkan oleh Allah, atau yang disukainya, dikatakan sebagai tiada, melainkan apa yang disebut oleh syariat.

Manakala adat pula ialah apa yang dilakukan oleh manusia untuk dunia mereka dan menjadi keperluan mereka. Hukum asal pada perkara tersebut ialah tidak haram. Maka, tiadalah perbuatan adat yang diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Ini kerana suruhan dan larangan adalah syariat Allah SWT, dan ibadat hendaklah berdasarkan suruhan melaksanakannya. Maka, apa yang tidak disuruh untuk melaksanakannya, bagaimanakah kita boleh mengatakannya haram?


Salam Perjuangan

Dr Fikrah

No comments:

Post a Comment