Friday, March 20, 2009

MEMANG BENAR UMNO PENYEBAR FITNAH


Gambar : Ummi Ani/Perak Express
Oleh : Dr Fikrah

Saya terkejut kerana terbuka Perak Express yang menyiarkan pendedahan yang dibuat oleh Ummi Ani tentang fitnah yang disebarkan oleh UMNO untuk memburuk-burukkan pakatan rakyat. Memang kelakuan seperti anjing ini bukanlah dibuat oleh Pakatan Rakyat. Bahkan dibuat oleh tangan-tangan UMNO sendiri. Mereka sengaja membentuk imej kotor terhadap Pakatan Rakyat. Anda sendiri boleh melihat dan menimbangnya, tidak mungkin ia hasil tangan Pakatan Rakyat.
.




KENAPA NAJIB JEMPUT MAHATHIR KE PERHIMPUNAN UMNO?


Gelagat UMNO hari ini semakin pelik, kerana berita hari ini menyiarkan bahawa Dr Mahathir dijemput untuk turut hadir ke Perhimpunan Agung UMNO akan datang. Mungkin mereka menjemput kerana sebagai tanda hormat, atau ada strategi yang dirancang? Sudah pasti ada strategi kerana mana mungkin UMNO menjemput dengan “saja-saja” atau “suka-suka”.

Namun, strategi ini sudah pasti dapat dihidu oleh semua, walaupun ramai yang menganggap ia adalah sebagai satu tanda hormat kepada Bekas Ahli UMNO itu. Adakah mereka hanya mencari nahas kerana Dr Mahathir mempunyai pengaruh yang kuat di dalam membuat kenyataan memukul UMNO di media? Atau mereka cuba menarik Mahathir memahami ketelusan yang dicanang oleh Najib?

Mungkin juga mereka juga menarik semula Dr Mahathir supaya melupakan Pak Lah dan kembali bersama UMNO bersama Najib? Segalanya masih belum terbukti lagi. Kita tunggu dan lihat. Namun, pada pandangan saya, kehadiran Dr Mahathir akan membawa implikasi yang besar terhadap perhimpunan tersebut.

Najib mungkin boleh berterus terang di hadapan khalayak ramai di perhimpunan tersebut, dengan mengangkat-ngangkat Dr Mahathir. Mungkin Najib akan membawa masuk semula Dr Mahathir ke dalam UMNO dengan membodeknya ketika perhimpunan ini. Bukankah kita sudah mengenali taktik Najib yang cukup menjaga periuk nasinya sahaja.

Kalau sebelum ini, dia berkata, kita akan telus dan bersih. Walaupun itu hanyalah omongan kosong. Beliau cuba membodek rakyat, khususnya ahli UMNO sendiri supaya dapat menerima beliau. Strategi ini sudah pun dihidu oleh ramai orang. Beliau cuba membentuk politik yang bijak, tidak macam Pak Lah yang akan jatuh tidak lama lagi.

Najib juga banyak mengambil pengajaran daripada kemerosotan kepimpinan Pak Lah, lalu tidak mahu mengulanginya. Bukankah Pak Lah dikatakan tidak professional di dalam pentadbiran kerana “memelihara” pengamal-pengamal politik wang? Lalu, Najib berusaha sedaya upaya membersihkan kekotoran itu, walaupun hakikatnya dia menyembunyikan kekotoran lain. Itulah politik kotor namanya.

Bijak bukan? Tetapi apabila kes Altantuya disebut di dalam parlimen, terus menggelabah seolah-olah dialah dalangnya. Sedangkan, cukup dengan kes Altantuya ini, sudah mampu untuk menjatuhkan kredebilitinya. Begitu juga dengan pengiktirafan beliau terhadap Kerajaan Haram Zambry di Perak. Sudah cukup menjatuhkan seteruk-teruknya kredebilitinya itu.

Sekiranya Najib sedang ketawa sekarang ini, dia akan bersedih satu hari nanti. Ketawa itu tidak selamanya. Sama seperti orang yang tidak lena tidur, akhirnya akan tidur nyenyak juga. Orang yang sihat juga tidak selamanya sihat. Oleh itu berjaga-jagalah Najib, kami menunggu saat kesedihan anda itu. Ketawalah sementara kamu boleh ketawa, kamu akan sedih kelak.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Thursday, March 19, 2009

“NIAT JAHAT” MINTA AGONG SEKAT NAJIB – MUHYIDIN


Hari ini, Muhyidin telah mengeluarkan satu kenyataan yang menampakkan lagi keinginannya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Datuk Zaid, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyarankan kepada Agong supaya melantik Perdana Menteri dari anggota parlimen yang dapat diterima rakyat.

Mendengar kenyataan Datuk Zaid ini, Muhyidin merasa satu peluang untuk menonjolkan dirinya sebagai orang kuat Najib. Lalu beliau lantang membela Najib supaya peluangnya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO lebih terbuka. Tetapi, walaupun Ali Rustam sudah dijatuhkan, masih lagi wujud individu yang turut “mengganggu” peluang Muhyidin tersebut. Dia ialah Muhd Taib.

Oleh itu, Muhyidin perlu berusaha dengan keras supaya beliau dipandang oleh Najib, lalu dapat meletakkan dirinya sebagai Timbalan Presiden UMNO. Bagaimana pula dengan Muhd Taib? Kedudukan beliau agak bahaya sama seperti Ali Rustam. Ali Rustam dijatuhkan kerana beliau dikatakan orang kuat Pak Lah, sama seperti Muhd Taib.

Jadi, kemungkinan yang timbul di sini ialah, mungkin Muhd Taib juga akan dijatuhkan dengan mengcreate konspirasi. Walaubagaimanapun, ini hanyalah kemungkinan, dan saya tidak pula menuduh sebegitu. Oleh itu, Muhyidin hari ini, sangat berhati-hati menjaga reputasinya supaya dapat merebut jawatan tersebut dengan hanya goyang kaki.

Hakikatnya, Muhyidin sudah pun mendedahkan keaibannya dengan membuat kenyataan seperti ini. Sudah pasti orang UMNO sendiri bertambah marah dengan kenyataan yang dibuat, seolah-olah Muhyidin gila untuk merebut jawatan tersebut. Sepatutnya beliau perlu berada di kawasan “tengah” supaya beliau mendapat sokongan daripada kedua-dua belah pihak. Iaitu penyokong Pak Lah, dan peyokong Najib.

Tetapi disebabkan kegilaannya untuk merebut jawatan tersebut, beliau telah melakukan satu tindakan yang akan menjejaskan kedudukannya sendiri. Persoalan yang ingin saya lontarkan kepada Muhyidin, adakah Najib sudah comfirm akan menjadi Perdana Menteri? Kenyataan yang dibuat oleh beliau ini akan menjatuhkan kedudukannya sendiri.

Ini kerana sekiranya Najib hari ini sudah ditolak oleh rakyat, maka serpihan bau busuk tersebut akan melekat pada tubuh Muhyidin. Orang turut melabelkan Muhyidin dengan bermacam-macam, kerana beliau kelihaan taksub dengan kedudukan Najib. Inilah bahaya yang akan dihadapi oleh Muhyidin. Bahaya ini akan menjatuhkannya satu hari nanti.

Nasihat saya kepada Muhyidin supaya kembali ke posisi “tengah”, iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak. Rezeki dan jawatan itu bukanlah berada di tangan Najib, kerana di tangannya tiada apa-apa. Segalanya berada di tangan Allah yang menentukan dan mencaturkan segalanya.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

ALI RUSTAM : SUDAH JATUH BARU NAK TEGADAH


Dr Mahathir menyarankan kepada Lembaga Disiplin UMNO supaya tidak melayan rayuan yang dikemukakan oleh Ali Rustam. Beliau sebelum ini telah dilarang bertanding kerana didapati bersalah di dalam politik wang. Selain itu, Ali Rustam turut diancam dengan penyerahan aduan kepada SPRM oleh Ketua Angkatan Muda PKR atas tuduhan rasuah. Selain itu, beliau telah ditempelak oleh Ustaz Abdul Ghani, Pesuruhjaya PAS Melaka, dengan mengatakan kepada beliau…

"Mulutnya terlalu celupar tak beri orang Melaka melawat Kelantan, hentam Tuan Guru Nik Aziz tetapi akhirnya segala tindakannya itu kembali kepadanya semula”

Dalam masa beberapa hari, Allah SWT hendak menunjukkan kekuasaannya kepada rakyat Malaysia, khususnya Ali Rustam sendiri. Tidak sampai seminggu, beliau sudah menghadapi jutaan tekanan yang datang dari pelbagai pihak. Inilah apa yang dikatakan sebagai “kekuasaan itu milik Allah semata-mata”. Segala kejahatannya akan ditimpakan kembali kepada diri mereka sendiri.

Apalagi? Masih hendak mencabar kuasa Allah? Saya, Dr Fikrah, turut menempelak kepada beliau yang dahulunya banyak menyusahkan orang, akhirnya dalam masa sekelip mata, reputasinya merudum dengan teruk. Masih tidak sedar lagi siapakah Pemilik kuasa yang sebenar? Kes Ali Rustam ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pimpinan UMNO, janganlah anda rasa selesa dengan kedudukan yang ada. Sangat mudah bagi Allah SWT untuk menjatuhkan orang-orang yang sombong.

Kalam Ustaz Abdul Ghani itu penuh makna, yang mampu menyentak semua orang. Tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lihatlah kebesaran Allah SWT yang mengembalikan “hentaman” kepada seorang alim, kepada diri mereka semula. Sekiranya mereka sanggup menghentam seorang Tok Guru, tunggulah balasannya daripada Allah, mereka akan dihentam pula.

Sekiranya seorang Tok Guru telah dihentam, lalu Allah mengembalikan hentaman tersebut kepada diri mereka sendiri, bagaimana pula sebuah kesatuan yang besar yang menuntut keadilan? Mereka telah memfitnah PR dan menyekat daripada keadilan terbentuk, maka tunggulah, Allah akan mengembalikan segala bentuk kejahatan itu kepada diri mereka sendiri! Jangan fikir hidup di dunia ini tiada siapa yang Berkuasa terhadapnya.

Wahai UMNO! Berhati-hatilah dengan PR, sekiranya hari ini anda merasa senang mengutuk orang, belum tentu hari esok, kamu akan ditimpakan kembali kejahatan itu kepada diri kamu sendiri. Ambillah iktibar wahai yang berakal. Kes Ali Rustam ini sepatutnya menjadi pengajaran bagi dirimu, dan pengajaran kepada semua ahli UMNO. Sedarlah sebelum terlambat.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

ALI RUSTAM DILARANG BERTANDING, MUHYIDIN PULA MENGGELABAH


Di dalam akhbar Utusan semalam telah menyiarkan bahawa terdapat golongan yang memfitnah Muhyidin dengan mengatakan bahawa dia adalah dalang disebalik kes Ali Rustam. Beliau telah dituduh melakukan konspirasi untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, lalu beliau menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Orang melihat tindakan tersebut dilakukan oleh Muhyidin memandangkan Ali dan Muhyidinlah yang bakal bertanding jawatan itu.

Tetapi, apa yang dapat dipetik daripada berita ini ialah ketakutan Muhyidin disebabkan jatuhnya kedudukan Ali. Sememangnya abiliti Muhyidin sebagai dalang di dalam kes ini sangat tinggi, tetapi saya tidak pula menuduhnya melakukan begitu. Namun, saya yakin, hati kecil Muhyidin berbisik kegembiraan kerana saingannya sudah jatuh. Apa lagi, peluangnya untuk merebut jawatan tersebut sangat besar.

Bagaimana Muhyidin? Takut difitnah? Sememangnya fitnah berpotensi besar di dalam meruntuhkan sesebuah kesatuan. Lihatlah ketika zaman Khalifah Saidina Ali KAW, umat Islam berperang sesama Islam disebabkan fitnah yang dilakukan. Begitu juga hari ini, sebelum ini PR menjadi bahan fitnah sehingga menyebabkan salah tanggapan dari beberapa pihak. Lihatlah apa yang dilakukan oleh TV3, selalu sahaja melaga-lagakan orang dan menimbulkan fitnah yang besar untuk menghancurkan PR sendiri.

Bagaimana pula dengan fitnah yang dikenakan terhadap Elizabeth Wong yang menjadi bahan sebaran gambar bogel? Bagaimana pula fitnah yang dijatuhkan kepada Dato Seri Nizar yang telah memberi tanah kepada Bangsa Cina? Bagaimana pula fitnah yang dikenakan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dengan kes liwatnya? Bukankah ini semua perancangan jahat UMNO sendiri?!!

Hari ini, apabila Muhyidin difitnah, tahu pula gelabah. Sedangkan fitnah yang disebarkan oleh UMNO selama ini sudah banyak menjahanamkan orang lain. Lihatlah apa yang terjadi kepada Najib, apabila dituduh terlibat dengan kes Altantuya, segera menyelamatkan diri dengan meminta Gobind digantung, sedangkan kejahatan mereka selama ini sengaja dipejamkan mata.

Lihatlah betapa besarnya kuasa Allah SWT. Allah SWT telah mengembalikan fitnah tersebut kepada UMNO. Mereka yang merencanakn fitnah, akan dikembalikan kepada diri mereka sendiri. Mereka yang telah melakukan kezaliman, akan dikembalikan kezaliman tersebut di atas muka mereka sendiri. Sekiranya masih lagi mengingkari kuasa Allah, tunggulah sehingga kamu dihina oleh dunia dan seluruh makhluknya!

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

TOK GURU NIK AZIZ SENGAJA BERBUAT BEGITU


Akhbar semalam telah menyiarkan isu tentang “kerajaan perpaduan” yang mendapat pandangan yang banyak di dalam membahaskan isu tersebut. Akhbar semalam telah menceritakan bahawa Tok Guru Nik Abdul Aziz sekalu Mursyidul Am PAS menyatakan pendiriannya tidak mahu penggabungan dengan BN berlaku, yang menyebabkan timbul perbezaan pandangan dengan Presiden PAS sendiri.

Hakikatnya, ramai yang tertanya-tanya, kenapakah terdapat perbezaan pandangan yang ketara di antara dua orang tokoh besar itu? Dan ramai juga yang menjadikannya isu untuk menunjukkan keretakan dalaman PAS. Bahkan ramai lagi di kalangan ahli PAS sendiri yang masih tidak memahami perbezaan ini, lalu membuat andaian yang tidak tepat. Persoalannya, kenapakah terjadi perbezaan tersebut, sedangkan mereka berdua berada di dalam satu lorong yang lurus?

Sebenarnya, pada hati saya sudah lama berbisik, itulah strategi Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Bukanlah dia mahu memecahbelahkan ahli PAS, tetapi terselindung satu hikmah yang amat besar daripada perbezaan pandangannya itu. Setelah mengetahuinya, saya tertawa kecil, memang kedua-dua tokoh ini adalah dari kalangan orang yang alim, dan bijak dalam pemerintahan.

Hakikatnya, Tok Guru Haji Abdul Hadi, tidak pernah merasa tertekan, atau merasa benci dengan tindakan sahabatnya Tok Guru Nik Aziz, sebaliknya, tidak mengkritik dan tidak menolak pandangan tersebut. Apa yang perlu difahami daripada tindakan ini ialah kita, selaku ahli PAS seharusnya tidak pula mengkritik mana-mana pucuk pimpinan mereka. Sekiranya Tok Guru Haji Abdul Hadi boleh tenang dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz, kenapakah kita pula yang sibuk-sibuk membuat andaian yang tersilap?

Seolah-olah Tok Guru Haji Abdul Hadi mengajar ahli PAS supaya menghormati pandangan orang lain walaupun berbeza. Manakala Tok Guru Nik Aziz pula, sengaja mengeluarkan satu pandangan yang menolak penggabungan dengan BN, berhujahkan keputusan Muktamar PAS sebelum ini. Dan pandangan beliau ini, didengari oleh semua. Kenapakah Tok Guru Nik Aziz berbuat begitu?

Hakikatnya, apa yang ingin diajar oleh Tok Guru Nik Aziz ialah bukan begitu mudah untuk bertaubat. Perlu ada kesungguhan daripada BN sendiri. Sekiranya semua pucuk pimpinan setuju seratus peratus dengan pendapat Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang, maka BN dilihat begitu mudah untuk kembali ke pangkal jalan. Sedangkan seseorang yang ingin bertaubat, bukanlah hanya berkata-kata, tetapi perlu ada praktikal.

Hari ini, pandangan Tok Guru Nik Aziz sudah didengari oleh semua orang, ini kerana beliau berniat untuk menampakkan bahawa ahli PAS ini benci dengan BN. Pandangan beliau ini, sudah cukup mengajar BN yang selama ini telah merosakkan rakyat. Siapa lagi yang dapat mengajar BN kalau bukan dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz?

Selain itu, beliau juga berpendirian tetap dengan keputusan Muktamar PAS sebelum ini, yang menolak penggabungan tersebut. Beliau telah mengajar ahli PAS supaya berpendirian teguh di dalam masalah pokok, bukan mudah untuk diubah atau senang ditarik hidung oleh BN. Bagaimana pula dengan Tok Guru Haji Abdul Hadi? Hikmah yang digunakan oleh beliau ialah ketaatan dengan pimpinan, dan keputusan syura.

Hakikatnya, ramai ahli PAS sendiri yang tidak mematuhi kalam pimpinan mereka khususnya Presiden PAS. Kadangkala apa yang telah diputuskan melalui syura, lalu dibentangkan kepada umum, ada sahaja yang mengkritik itu dan ini. Hakikatnya, orang yang mengkritik itu bukannya tahu. Saya tertarik dengan kalam Tok Guru Nik Aziz sendiri yang mengajar kita supaya taat kepada keputusan pimpinan melalui syura, yang jarang disedari…

"Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah"

Bukankah ia menunjukkan bahawa kedua-dua tokoh ini sememangnya mempunyai fikrah yang sama? Mana mungkin Presiden PAS membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan? Oleh itu, hakikatnya mereka tidak bercanggah pandangan, tetapi membuat “gimik” supaya ia dihangatkan oleh media. Fikirlah hikmah kedua-dua tokoh ini. Elakkan daripada melabel, tetapi tidak tahu.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Wednesday, March 18, 2009

ADAKAH DATUK ZAID IBRAHIM AKAN DIDAKWA DI BAWAH AKTA HASUTAN?


Blog SIASAH telah melaporkan bahawa Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan kepada Yang Dipertuan Agong supaya tidak menerima Najib sebagai Perdana Menteri. Beliau mengatakan bahawa sekiranya Najib naik sebagai Perdana Menteri akan memecahbelahkan rakyat, dan hakikatnya begitu.

Kalau sebelum ini, Akta Hasutan sudah di”kena”kan kepada beberapa tokoh yang menampakkan satu akta yang disalahgunakan oleh pihak tertentu. Sekiranya mana-mana unsur hasutan membenci pimpinan, sudah pasti dikenakan tindakan di bawah akta tersebut. Walaupun pemimpin tersebut melakukan kejahatan dan kezaliman sekalipun, tetap orang yang membenci tersebut dikenakan tindakan.

Tidak bolehkan seseorang itu merasa benci dengan kezaliman? Adakah dengan luahan kebencian kepada orang lain sudah dianggap sebagai hasutan? Apabila ditanya kepada pihak penguasa, mereka akan menjawab, kami melaksanakan Akta Hasutan berdasarkan prosedur-prosedur tertentu yang lebih telus dan bersih, sedangkan ini hanyalah omongan kosong.

Sekiranya kekejaman ini berterusan, pemerintahan Perdana Menteri akan datang akan menghadapi kemelut politik yang jauh lebih teruk berbanding hari ini. Sekiranya Pak Lah sudah digelar kuat tidur, Perdana Menteri akan datang, akan dituduh kuat mengigau. Sekiranya Pak Lah sudah dituduh tidak pandai mentadbir, Perdana Menteri akan datang, akan dituduh pandai menipu.

Inilah roda kehidupan yang sentiasa berputar. Sekiranya Najib hari ini mampu tersenyum dengan kejayaan beberapa perancangannya, dia akan menangis satu hari nanti. Setiap yang sedang menghadapi kegagalan hari ini, akan menikmati kejayaan satu hari nanti. Semua ini adalah roda kehidupan yang tidak dapat dihentikan dengan tangan manusia.

Maka, sekiranya hari ini rakyat Malaysia ditekan dengan Akta Hasutan, atau pelbagai lagi akta-akta yang mempunyai kepentingan, maka satu hari nanti Akta Hasutan tersebut, akan menghukum kembali kelakuan mereka hari ini. Hari ini, membenci kezaliman, pasti akan dihukum, tetapi satu hari nanti sesiapa yang membenci kebaikan pasti akan dihukum.

Maka, hari ini mereka boleh tertawa dengan segala kesenangan melalui kezaliman yang telah dilakukan, tetapi satu hari nanti mereka akan menyesal. Setiap manusia pasti akan tua, atau meninggal dunia ketika muda, adakah mereka tidak sedar, sekiranya mereka sudah tua, memori kezaliman yang mereka lakukan ketika muda dahulu tidak dapat dipadam.

Begitu juga setelah mereka mati, mayat mereka akan menjadi bahan kutukan manusia sehingga hari ini. Lihatlah apa yang terjadi kepada Firaun, sehingga hari ini kita mengenali kejahatannya. Apakah sejarah ini akan berulang di Malaysia?

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

BANGUNAN UMNO DIJAMPI DAN AKAN DIBOM?


Hari ini, Malaysiakini memberitakan bahawa pihak polis menemui dua kertas putih yang mengandungi tulisan jawi dan satu kayu kecil yang dibalut dengan kertas putih. Kes ini masih belum dapat memastikan siapakah dalang yang melakukan perkara tersebut. Adakah Pak Lah gunakan jampi? Atau beliau cuba dipergunakan? Adakah Pak Lah kerap tidur sebelum ini disebabkan jampi ini?

Persoalan ini tidak dapat dijawab oleh mana-mana pihak walaupun pihak polis sendiri. Telah dilaporkan juga bahawa terdapat skuad pemusnah bom yang berkawal di situ, iaitu di bilik Pak Lah. Tetapi, dalang yang meletakkan jampi tersebut tidak diketahui oleh sesiapapun walaupun terdapat skuad pemusnah bom yang sedang berkawal di situ.

Apakah bangunan UMNO akan dibom? Atau ketika ini, ahli UMNO sedang dijampi? Atau.. atau.. dan atau… Tiada sebarang jawapan. Fail misteri ini, sepatutnya dikaji dengan teliti dan betul oleh pihak polis dengan segera memandangkan Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi. Adakah Pak Lah mati dibom? Atau dijampi? Atau apa sahaja andaian yang boleh dibuat.

Segala keputusan dan jawapan ini sudah berada di dalam pengetahuan Allah SWT. Dia Yang Maha Mengetahui, walaupun sehelai daun di Amazon gugur ke bumi. Siapakah dalang yang melakukan jampi ini? Siapakah yang merancang untuk mengebom Bangunan UMNO? Adakah mereka begitu mudah membuat perancangan jahat mereka?

Hakikatnya, mereka tidak sedar, makhluk di sekeliling mereka mendengar, dan melihat, bahkan menjadi saksi terhadap semua perancangan jahat tersebut. Adakah sekiranya Bangunan UMNO benar-benar meletup, adakah Pakatan Rakyat akan dituduh melakukan angkara tersebut? Tetapi, kita tidak perlu risau, semua makhluk akan menjadi saksi terhadap segala perancangan tersebut.

Sekiranya benar, Bangunan UMNO meletup dan Pak Lah telah dijampi, maka kita perlu sedar bahawa tiada seekor makhluk pun yang dapat memberi mudharat, atau memberi keuntungan, melainkan dengan izin Allah SWT sahaja. Sekiranya benar terdapat jampi-jampi di Bangunan UMNO hasil daripada perancangan jahat, maka sekiranya Allah tidak mengizinkan ianya memberi kesan, maka ia langsung tidak memberi kesan.

Begitu juga dengan bom. Sekiranya Allah tidak mengizinkan ia meletup, ia tidak akan meletup walaupun sudah diledakkan. Hakikat ini sudah pun terjadi, alat-alat jampi tersebut ditemui oleh pihak polis, menunjukkan bahawa Allah tidak mengizinkan ia memberi kesan dan mudharat. Maka, apakah kuasa manusia untuk dibandingkan dengan Allah SWT Yang Maha Kuasa? Siapakah manusia untuk dibandingkan dengan Allah SWT?

Anda juga jangan lupa, manusia-manusia merancang, tetapi Allah SWT mempunyai perancangannya, dan masa beredar berdasarkan perancangan Allah SWT, bukan berdasarkan perancangan yang diatur oleh manusia. Berwaspadalah supaya kita tidak lupa dengan Kuasa Allah SWT Yang Maha Besar. Bahkan segala tindakan tersebut disaksikan oleh semua benda walaupun kayu yang digunakan untuk menjampi tersebut.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

GAMBAR : SERANGAN FOSFORUS DI GAZA
























ANTARA 2 SPEAKER : MENJATUHKAN KREDEBILITI NAJIB DALAM PENTADBIRAN

Beberapa hari sebelum ini, telah berlaku satu keadaan yang sangat menampakkan kelemahan Najib di dalam pentadbiran. Sangat memalukan, bahkan menjatuhkan reputasi beliau sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. Segala susun atur ini telah ditunjukkan oleh Allah SWT dengan jelas di hadapan mata kita.

Isu pertama berkait rapat dengan Speaker Perak, Sivakumar yang telah melaksanakan prosedur yang betul dengan menggantung Zambry. Tetapi, beliau bernasib baik kerana elaunnya tidak pula dibekukan. Tetapi, berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Speaker Pandikar Amin, yang menggantungkan Gobind, bahkan elaunnya turut dibekukan. Hasil daripada peristiwa pelik ini, rakyat merasakan ia merupakan satu perbuatan yang tidak adil, bahkan menganiaya.

Kelakuan Zambry yang merampas secara haram kerajaan Perak, sepatutnya dihukumkan dengan dibuang negeri! Tetapi berbeza pula dengan Gobind yang mempersoalkan kredibiliti Najib untuk menjawab kes Altantuya. Sudah pasti persoalan ini perlu dijawab dengan professional, bukannya melatah dan panik! Bagaimanakah Najib mampu meneruskan agendanya untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya isu ini tidak dapat dijawab? Sekiranya benar dia tidak kena mengena, jawablah dengan tenang, bukannya dengan mempengaruhi Speaker menggantung Gobind.

Kembali kepada isu di Perak, sekiranya Najib mengiktiraf kerajaan haram Zambry, bermakna reputasi Najib sudah tercemar! Bahkan akan dilontar dengan tomato busuk dengan kelakuan pengiktirafan tersebut. Oleh itu, sekiranya Najib inginkan ketelusan, maka dia sepatutnya mengiktiraf Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak. Najib berkata di dalam Utusan semalam, untuk menjawab isu Ali Rustam,..

“Pada prinsipnya saya berpendapat bahawa sebagai sebuah kerajaan kita mesti memupuk kepercayaan rakyat dan bersikap telus agar rakyat yakin pada kita”

Hakikatnya, dengan kes penggantungan Gobind, dan kelakuan Zambry di Perak sudah pun menjatuhkan reputasi Najib. Adakah benar sepertimana yang telah saya tulis di dalam artikel sebelum ini, Najib cuba menghapuskan sebahagian, dan menyelamatkan sebahagian yang lain? Adakah Najib ingin menjaga periuk nasi sendiri walaupun terpaksa mengorbankan orang lain? Segalanya terjawab di dalam minda anda.

Saya mengajak kepada semua yang membaca artikel ini supaya memahami situasi ini dengan mata hati. Lihatlah, sekiranya Allah SWT hendak menunjukkan kebenaran, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Apabila Sivakumar telah didakwa bermacam-macam, Allah menunjukkan pula situasi yang sama terhadap Speaker Pandikar Amin. Apabila UMNO merampas Perak, dan Zambry digantung, Allah menunjukkan pula situasi Gobind digantung.

Zambry sememangnya patut digantung, bahkan dibuang negeri, tetapi Gobind yang ingin mendapatkan penjelasan, terus digantung. Segalanya adalah perancangan Allah SWT, untuk menampakkan kepada manusia bahawa penganiyaan yang dilakukan oleh UMNO sepatutnya dibenteras. Kedua-dua situasi ini sama sahaja, cuma keadilan dan ketelusan yang diwar-warkan oleh Najib itu, hanyalah omongan kosong, yang akan menjatuhkan lagi kedudukan UMNO di mata masyarakat.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

BERAPAKAH NILAI KESEDIHAN ANDA?


Manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan perasaan sedih, pilu dan sebagainya yang menjadi rutin kehidupan seorang hamba. Tiada manusia yang sentiasa gembira sepanjang hayatnya. Ia adalah fitrah semulajadi manusia. Sekiranya kita melihat kepada Sirah Nabi Muhammad SAW, Baginda juga pernah bersedih, iaitu ketika kematian isterinya, Saidatina Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Thalib dalam satu-satu masa.

Tahun tersebut telah dinamakan “Tahun Kesedihan”, sehingga hari ini kita mengetahui tentang kisah tersebut. Hakikat yang perlu kita ambil di sini ialah bagaimanakah kita hendak menghilangkan kesedihan yang ada? Sekiranya kita melihat kepada sebab-sebab berlakunya kesedihan, seperti perpisahan, pergaduhan, kebencian dan sebagainya. Dan hakikat ini tidak boleh lari dari kehidupan seorang manusia.

Oleh itu, seseorang itu terpaksa berhadapan dengannya, dan mampu untuk mengawal kesedihan tersebut supaya tidak melampaui batasan. Bukankah Nabi SAW sendiri melarang umatnya daripada menangisi pemergian seseorang? Satu ketika, anak Baginda SAW meninggal dunia, lalu Nabi SAW menitiskan air mata kerana pemergiannya. Lalu sahabat Baginda SAW bertanya, bukankah engkau melarang daripada menangisi kematian? Baginda SAW menerangkan bahawa itulah perasaan manusia, tetapi hendaklah dikawal supaya tidak melampau, dengan meraung, menyakitkan badan dan sebagainya.

Kadangkala kita merasa sedih disebabkan ujian yang menimpa kita. Ujian tersebut diuji oleh Allah SWT untuk melihat kekuatan dan kesabaran kita di dalam menghadapi ujian tersebut. Semakin dekat seseorang itu dengan Allah SWT, semakin tinggilah ujiannya. Antara ujian tersebut ialah kesedihan. Ketika Nabi SAW berada di dalam Gua Thur bersama Saidina Abu Bakar, Baginda telah menyatakan kepada beliau, “janganlah bersedih, Allah bersama kita”.

Bagaimanakah pula kita hari ini? Kita sering diuji dengan kesedihan, tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, berapakah besarnya nilai kesedihan tersebut? Atau berapa mahalkah nilai benda yang disedihkan itu? Atau kenapa perlu aku bersedih, bukankah Allah SWT bersamaku? Atau, kenapakah perlu aku bersedih sekiranya diuji, sepatutnya aku gembira kerana berada hampir denganNya.

Oleh itu marilah kita fikir sejenak. Manusia hari ini sedih disebabkan kehilangan sesuatu benda yang disayangi. Sekiranya kehilangan seseorang di dalam hidup, mengapakah kita bersedih sedangkan kita sendiri sudah tahu bahawa setiap jiwa pasti akan pergi? Sekiranya seseorang itu bersedih kerana diuji dengan ujian yang besar, mengapakah kita bersedih sedangkan ujian tersebut adalah tanda hampirnya kita dengan Allah?

Sekiranya kita bersedih kerana putus cinta, mengapakah kita bersedih sedangkan cinta yang sebenar milik Allah? Bukankah Dialah yang menjodohkan seseorang? Sekiranya sudah ditetapkan jodoh seseorang, maka tidak perlulah disedihkan kerana sudah pasti cinta itu tiada pada orang yang memutuskan cinta tersebut. Maka, apa lagi yang perlu disedihkan?

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah