Tuesday, March 24, 2009

TV 3 SEPATUTNYA LEBIH AWAL DIGANTUNG


Hari ini, akhbar Harakah dan Suara Keadilan telah digantung oleh KDN kerana dikatakan menyebarkan berita yang palsu, dan mengandungi unsur-unsur hasutan. Tindakan KDN yang menggantung kedua-dua akhbar ini adalah satu tindakan yang bersifat kebudak-budakan, seolah-olah “melatah” apabila keaiban sendiri didedahkan. Persoalan yang ingin saya timbulkan di dalam artikel ini ialah “Bagaimana pula TV3?”.

TV3 yang selama ini pernah disaman kerana menyebarkan fitnah (bukan menyebarkan berita), dan masih terus bergiat dalam menghancurkan PR. TV3 sudah lama dilihat sebagai agen UMNO untuk meluaskan empayar media mereka. Namun, pada pandangan saya, TV3 hanyalah alat penyebar fitnah. Sedangkan pimpinan UMNO sendiri sudah mengatakan bahawa “kita tidak boleh memfitnah”…

Semalam juga telah disiarkan oleh Utusan bahawa PM sendiri menegah ahli UMNO menyebarkan fitnah. Sebelum itu, Rafidah dan Khairi, apabila difitnah, terus melatah lalu mengeluarkan kenyataan tentang fitnah yang semakin parah. Tetapi apabila TV3 menyebarkan fitnah, mereka pula bertepuk tangan, termasuk KDN.

Manakala hari ini, apabila Harakah dan Suara Keadilan telah digantung, lebih menampakkan bahawa kerajaan hari ini seolah-olah “sudah habis cara” untuk menghalang kebenaran ini tersebut. Ingin saya ingatkan di sini bahawa kebenaran itu, sekiranya diizinkan oleh Allah SWT, ia tidak mampu disekat dengan kekuatan manusia yang kerdil ini.

Wahai KDN!, anda tidak mampu menyekat air yang mengalir, anda tidak mampu menyekat masa daripada terus berjalan, anda tidak mampu menyekat cawan kaca yang terjatuh daripada pecah, anda juga tidak mampu menghalang kebenaran daripada tersebar. Walaupun hari ini, Harakah dan Suara Keadilan digantung, percayalah, kebenaran itu bukan hanya melalui Harakah dan Suara Keadilan sahaja, bahkan lebih banyak lagi yang mampu menyampaikan kebenaran.

Percayalah, tindakan anda ini hanyalah tindakan yang sia-sia dan telah dikategorikan sebagai menyekat daripada jalan Allah SWT. Balasan bagi mereka yang menyekat daripada jalan Allah ini ialah mendapat Laknat Allah sepertimana yang telah dijelaskan di dalam Surah Hud 18-19. Kalau hari ini anda tidak percaya, marilah kita tunggu, siapakah yang menjadi mangsa terhadap kejahatan yang dilakkan oleh tangan mereka sendiri!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

SPR, JANGAN LAKUKAN TUGASAN UMNO!


Akhbar Utusan semalam telah mendedahkan kenyataan yang mengaibkan, bahkan membuka pekung di dada sendiri oleh SPR. Tajuk berita tersebut ialah “SPR kesal pembangkang ghairah berkempen sebelum penamaan calon”. Kenyataan tersebut dibuat oleh Pengerusi SPR sendiri, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof, yang mengatakan bahawa tindakan pembangkan memasang bendera dan mengedar risalah sebelum penamaan calon dianggap haram.

Beliau berkata ……

“sebarang bentuk kempen seperti penyebaran risalah serta kain rentang yang mempunyai kata-kata menghina dan menghasut sepatutnya tidak boleh dilakukan sebelum penamaan calon pada 29 Mac ini”.

''Gantung bendera pun sebenarnya tidak boleh lagi, kalau sudah penamaan calon barulah boleh berkempen. Pada masa itu kempenlah sepuas-puasnya sehingga tengah malam 6 April ini”.

''Bagi saya Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kena ambil tindakan kerana perbuatan menggantung poster dan bendera mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu, jadi kalau sudah ada yang pasang bendera atau poster maknanya ia dipasang secara haram,"

Pada pandangan saya, mengapakah beliau kesal dengan PR yang memasang bendera, sedangkan BN juga sudah melakukan perkara yang sama? Sekiranya haram, sudah pasti bendera-bendera BN itu juga diharamkan. Tetapi, langsung tidak dinyatakan di dalam kenyataannya. Jelas menunjukkan SPR mengeluarkan kenyataan yang memalukan. Hanya menyalahkan sebelah pihak sahaja.

Selain itu, sekiranya pemasangan bendera sebelum penamaan calon adalah diharamkan, kenapakah Malaysia yang sudah puluhan kali berpilihanraya, tidak pernah pula diharamkan? Baru sekarang diharamkan? Aziz juga tidak mengambil sebarang tindakan, hanya menyatakannya sebagai haram, kemudian duduk dan tengok sahaja.

Saya agak lucu dengan kenyataannya yang pertama sekali di dalam artikel ini. Penyebaran risalah dan kain rentang yang mempunyai kata-kata MENGHINA, boleh dilakukan, tetapi mestilah selepas penamaan calon. Haprak punya SPR!, mereka pula mengesyorkan supaya menyebarkan kata-kata hina selepas penamaan calon.

Tidak mengapalah, mungkin Aziz tersilap cakap. Mungkin beliau bermaksud lain. Tetapi apa yang menjadi persoalannya di sini ialah, kenapakah kempen tidak boleh dilakukan sebelum penamaan calon, sedangkan sebelum ini tidak pernah disebut.

Selain itu, turut diberitakan, bahawa Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang meminta pembangkang berhenti daripada menghasut rakyat supaya membenci Mufti dan Sultan. Kenapalah Ketua UMNO ini berotak budak? Hanya menuduh tanpa bukti, sedap mulutnya menyebarkan fitnah! Kenapa Ketua UMNO ini tidak melaporkan ke pihak polis? Buktikan siapakah yang menyebar fitnah membenci Mufti dan Sultan.

Ketua UMNO Bukit Gantang ini sudah habis modal, lalu menebar fitnah mengatakan PR menghasut supaya membenci Sultan dan Mufti. Kalau begitu, saya pun ingin mengatakan kepadanya, mungkin juga UMNO yang berbuat demikian, lalu dituduh PR yang melakukannya. Kalau mereka meminta kepada saya bukti, saya hendak Ketua UMNO haprak tadi mengemukakan bukti terlebih dahulu untuk menduduh PR berbuat demikian!

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

Monday, March 23, 2009

SEKIRANYA LEMBAGA DISIPLIN BENAR-BENAR BERDISIPLIN, TIADA SIAPA YANG LAYAK BERADA DI DALAM UMNO


Kes yang terjadi kebelakangan ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada UMNO. Aktiviti rasuah mereka sudah mendarah daging di dalam tubuh UMNO. Sepertimana artikel yang pernah saya tulis sebelum ini, Lembaga Disiplin telah mengorbankan sebahagian untuk menyelamatkan sebahagian yang lain. Ini kerana, sekiranya Lembaga Disiplin benar-benar berdisiplin, tiada siapa yang layak berada di dalam UMNO!

Najib pun sudah banyak kes yang disenyapkan! Tetapi, ibarat kata Tengku Razaleigh, ia seolah-olah menangkap ikan bilis tetapi melepaskan ikan-ikan besar. Namun, realiti yang kita lihat hari ini, disiplin yang diamalkan oleh Lembaga Disiplin boleh dipertikaikan. Walaupun Ali Rustam dikatakan berlapang dada dengan keputusan tersebut, tetapi saya yakin, beliau masih tersenyum kerana beliau masih lagi KM di Melaka.

Sedangkan politik wang yang diamalkan oleh Ali sudah mampu mencampakkannya ke luar tingkap, tetapi UMNO masih lagi menganggapnya sebagai pejuang! Ya, beliau memang pejuang haprak. UMNO masih lagi mengakui kedudukannya sebagai KM. Inilah yang dikatakan permainan catur Najib.

Namun, sepertimana yang dikatakan, di dalam setiap lapisan UMNO, daripada atas sehinggalah prebet-prebet mereka, semuanya pengamal politik wang. Sekiranya semua ini tidak mengamalkan politik wang, mana mungkin Najib boleh naik menjadi TPM, dan tiada siapa yang akan menganggotai pimpinan UMNO. Siapakah yang melihat Najib sebagai seorang yang berkredibiliti? Melainkan dia memberi “duit raya” supaya orang mengatakan kredebiliti yang diciptanya.

Dengarlah nasihatku wahai Najib. Hidup anda di dunia ini hanya sementara. Anda akan berhadapan dengan dua lorong, samada mati atau menjadi seorang tua, dan akhirnya akan mati juga. Kalau anda dipanjangkan umur oleh Allah, anda akan mengenali apa itu nyanyuk. Ketika itu, adakah wang-wang haram ini dapat menyelamatkan anda? Adakah mereka yang anda rasuah hari ini dapat membantu anda kelak? Fikirlah sebelum terlambat.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

HARI INI KITA LEMAH – SHAHRIZAT


Sebuah kata-kata yang telah diungkapkan oleh Shahrizat “hari ini kita lemah” di dalam Akhbar Utusan semalam. Beliau mengatakan bahawa Wanita UMNO dalam keadaan lemah hari ini kerana beberapa faktor. Beliau juga telah mengemukakan bahawa ahli Wanita UMNO seramai 1.3 juta, namun, masih dianggap lemah dan tidak bermaya untuk menjadi tulang belakang kerajaan.

Apa yang saya agak tertarik dengan kata-kata Shahrizat ini, beliau yakin bahawa Wanita UMNO sememangnya lemah dan tidak bermaya. Beliau sendiri mengakuinya, sedangkan mereka (Wanita UMNO) mempunyai peruntukan yang banyak dan kemewahan yang berlipat ganda berbanding muslimat PAS. Tambahan pula beliau mengatakan bahawa ahli Wanita UMNO seramai 1.3 juta, satu bilangan yang banyak, tapi haprak.

Tetapi, dengan semua itu, Wanita UMNO masih lemah, tidak bermaya. Bagaimanakah boleh jadi sedemikian? Mari kita lihat kata-katanya lagi….

"Sepatutnya Wanita UMNO mesti menjadi suara lantang membela nasib wanita Malaysia”

"Tetapi hari ini persepsinya ialah Wanita UMNO telah gagal untuk memperjuangkan aspek politik yang paling kritikal untuk UMNO iaitu isu wanita, keluarga dan syariah,"

Antara perkataan yang mencuit hatiku ialah “membela nasib wanita Malaysia”, “isu wanita, keluarga dan syariah”. Ini kerana sememangnya perjuangan Wanita UMNO bukanlah untuk membela nasib wanita Malaysia, tetapi membela periuk nasi kami semata-mata. Perkataan kedua yang diungkapkan, adakah mereka memperjuangkan isu wanita, keluarga dan syariah? Tudung pun tak pakai!

Saya masih ingat lagi kata-kata seorang Wanita UMNO, bahawa dia lebih suka suaminya menyimpan perempuan lain daripada berpoligami. Siapakah yang berkata begitu? Semua orang menyaksikannya. Adakah ini perjuangan Wanita UMNO? Saya cabar kepada semua Wanita UMNO, tunjukkan kepada saya “seorang Wanita UMNO” yang menutup aurat dengan lengkap! Saya tidak pasti, samada mereka mengerti apa itu “menutup aurat dengan lengkap”?

Sudah mempunyai wang yang berjuta-juta pun masih lagi merasa lemah? Kenapa? Tidak cukup dengan duit yang ada? Ya, mereka hanya menerima wang tersebut lalu membanyakkan lemak di perut, sudah sememangnya akan menyebabkan tubuh itu lemah. Perjuangan mereka hanya duit, langsung tidak membawa sebarang makna.

Kalau Wanita UMNO masih lagi berterusan dengan perjuangan seperti ini, mereka akan mengalami kegagalan besar di dunia dan akhirat. Penat lelah mereka (sekiranya ada), hanyalah sia-sia, langsung tidak membawa apa-apa kebaikan. Shahrizat pula perlu kembali kepada pelaksanaan Islam yang sebenar, BUKAN sepertimana yang difatwakan oleh Masyitah!

Masyitah sendiri pakai tudung tak habis, tetapi boleh pula mengeluarkan fatwa. Shahrizat lagilah, bukannya memakai tudung, tetapi memakai tutup kepala. Inikah perjuangan yang dimaksudkan? Hentikanlah dan bertaubatlah sebelum segala makhluk di muka bumi ini mejadi saksi terhadap perjuangan songsang kamu.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

DENGARLAH NASIHATKU WAHAI NAJIB


Akhbar hari ini menceritakan bahawa Najib telah mengagihkan sebanyak 3.2 billion kepada kontraktor untuk menjalankan projek-projek. Beliau menyifatkan bahawa pihak kerajaan memandang serius terhadap pembangunan dan kemajuan ini. Selain itu, pengagihan ini dibuat selepas dua minggi selepas Bajet Mini dibentang. Apa pandangan anda? Adakah Najib pantas membuat kerja, atau pantas mengkayakan kroni-kroninya?

Saya tidak menuduh Najib cuba mengkayakan kroni-kroninya, tetapi sejarah yang telah dirakamkan sebelum ini, UMNO sememangnya begitu. Kami masih lagi meragui keikhlasan hati Najib ketika membentankan Bajet Mini tersebut. Kenapakah Najib cuba mengkayakan kroni-kroninya? Apakah tujuannya membentangkan Bajet Mini yang begitu banyak itu?

Pada saya, kemungkinan yang berlaku ialah Najib mengambil pendekatan “2 dalam 1”. Atau dengan lebih jelas, beliau cuba memperdayakan rakyat dengan 60 bilion, dan dalam masa yang sama beliau mengkayakan kroni-kroninya sahaja. Sudah pasti, sekiranya rakyat tersebut tidak mempunyai akal, akan mudah terpedaya dengan bilangan yang banyak itu. Tetapi, kepada siapakah projek itu diberi?

Mana mungkin beliau memberikan projek yang besar itu kepada orang-orang “biasa” yang bukan dari kalangan kroni-kroninya. Ini kerana ia seolah-olah satu pembaziran kerana orang biasa tersebut, baginya tidak membawa manfaat. Manakala kroni-kroninya yang diberikan projek tersebut akan lebih memberi sokongan kepadanya. Namun, ini hanyalah teori. Sejauh manakah kebenarannya, Najib sendiri ada jawapannya.

Hari ini, Muhyidin pula cuba membela Najib, sekurang-kurangnya beliau memperoleh tempias-tempias keuntungan tersebut. Namun, Muhyidin juga tersilap langkah dengan menampakkan ketaksubannya kepada Najib. Bagaimana pula dengan Mahathir yang cuba ditarik oleh Najib? Ya, di antara strategi Najib ialah, beliau cuba menarik balik Mahathir dengan geng-geng tua nya yang seolah-olah merajuk dengan Pak Lah.

Beliau begitu menjaga reputasinya agar tidak tercemar. Beliau cuba menjadi seorang pemimpin yang benar-benar berpengaruh, tidak seperti Pak Lah. Namun, sejauh manakah hasil strateginya itu? Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Sepandai-pandai Najib melompat, akhirnya akan terkantoi juga.

Harakahdaily 21 Mac memberitakan bahawa Akhbar Perancis, Liberation telah mengeluarkan satu berita bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Berita tersebut, sudah pun tersebar ke Perancis, apatah lagi di kalangan rakyat Malaysia sendiri? Tok Guru Nik Aziz menyarankan agar beliau dapat membersihkan namanya di mata dunia, sebelum kesnya itu menjahanmkan reputasi yang dibinanya dari sekarang.

Wahai Najib, anda perlu menerima hakikat, tiada manusia yang tidak membuat kesalahan, melainkan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan anda cuba menyembunyikan kesalahan! Walaupun sudah dibuktikan beliau terlibat sebagai pengamal politik wang, namun, beliau masih dapat berlindung diri. Tetapi, di dalam kes Altantuya, sampai hari ini, rakyat masih kebingungan. Semua orang masih menanti Najib membersihkan dirinya dari tuduhan tersebut.

Kalau sebelum ini, Gobind telah dihalau keluar kerana meminta Najib membersihkan dirinya, tetapi hari ini, apakah tindakan Najib untuk membersihkan namanya di mata dunia! Hakikatnya Gobind cuba memberi peringatan kepada Najib, bahawa kedudukannya amat bahaya di mata dunia, tetapi, Gobind pula yang digantung. Hari ini, hakikat itu jelas dan sekiranya Najib bakal menjadi PM, seluruh dunia akan menyifatkan bahawa PM Malaysia terlibat dalam kes pembunuhan.

Di manakah Najib dapat meletakkan mukanya lagi? Adakah dia akan memenjarakan semua manusia di dunia ini yang menyangka begitu? Itulah, Tok Guru Nik Aziz memberi makluman awal, supaya reputasi Najib di masa akan datang terpelihara. Tetapi, kenapakah Najib masih lagi berdiam diri tentang kes tersebut? Entahlah. Hargailah nasihat ini sebelum terlambat.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

RAFIDAH DAN KHAIRI, PENYEBAR FITNAH YANG DIFITNAH


Hari ini, berita yang agak melucukan menyinggah di telinga saya, iaitu sebuah buku yang bertajuk “Tuah dan Sial Khairi Jamaluddin” yang dikatakan mengancam jiwanya. Lalu beliau telah membuat laporan polis terhadap penulisan buku tersebut kerana dikatakan alat penyebar fitnah terhadap dirinya, yang kononnya “bersih”. Beliau juga mengakui bahawa penulisan tersebut telah dibuat oleh UMNO sendiri untuk menjatuhkan reputasinya, kononnya baik.

Tetapi, bagi saya, ia seolah-olah membukti satu hakikat yang tidak boleh disangkal lagi. Bukankah sebelum ini Khairi terkenal dengan penyebar fitnah. Lidahnya tidak henti-henti menghina Islam dan ulama’. Tetapi hari ini, kelakuannya tersebut telah ditimpakan semula oleh Allah SWT ke mukanya sendiri. Ahli UMNO sendiri yang cuba memfitnahnya.

Saya tidak pasti samada benar buku itu adalah fitnah, tetapi persoalan utama yang perlu diperhatikan sekarang ialah “Adakah Khairi tidak melihat lidahnya memfitnah orang sebelum ini?”. Mulutnya cukup lancang berkata-kata, walaupun ia hanya omongan kosong yang tidak membawa sebarang makna.

Selain itu, Berita Harian hari ini mendedahkan kenyataan Rafidah Aziz yang kesal dengan SMS Fitnah yang tersebar luas, melibatkan fitnah terhadap dirinya. Padan muka! Saya masih ingat lagi beliau membidas kata-kata Tok Guru Nik Aziz yang menyifatkan mereka yang menolak hukum Allah ini sebagai binatang. Beliau (Rafidah) mengatakan …. “Islam tidak mengajar kita menuduh orang sebagai binatang….”. Pandai pula dia bercakap tentang agama, sedangkan tudung tak pernah pakai!

Sememangnya di dalam al Quran terdapat ayat yang menyebut tentang kebinatangan mereka yang menolak hukum Allah, tetapi Rafidah tidak membaca al Quran. Hari ini, Mahathir melabelkan Zaid sebagai “katak”, hei Rafidah, di manakah kenyataan kamu dahulu? Berani menolak kebenaran yang disebut oleh Tok Guru, tetapi, apabila Mahathir buat malu, lidah Rafidah kelu!

Memang padan muka dia dan Khairi difitnah! Sememangnya mereka patut difitnah kerana mereka memfitnah ulama’. Khairi yang sudah terkenal dengan pengamal politik wang sepertimana yang telah dibukti oleh Lembaga Disiplin, masih lagi mampu mempertahankan dirinya. Sama sahaja macam Rafidah, apabila difitnah, baru tergadah.

Di dalam artikel ini, saya ingin memberi nasihat kepada Khairi dan Rafidah, supaya menyedari perbuatan mereka yang lalu, dan tidak mengulanginya. Allah boleh mengembalikan semula fitnah-fitnah mereka dalam masa yang singkat. Sangat rugilah bagi mereka yang tidak menyesali perbuatannya terdahulu, walaupun sudah diberikan balasan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

MEE SEGERA NAJIB DI BUKIT GANTANG


Sebelum ini, Najib beriya-iya mengatakan bahawa pembangunan dan kemajuan yang dijanjikan bukanlah secepat “mee segera”. Tetapi hari ini, mee segera buatannya sudah pun menjadi di Bukit Gantang. Mee segera ini berbentuk penurapan jalanraya. Saya pun sangat suka dengan situasi tersebut, tetapi sangat menyampah dengan Najib yang hanya tahu mengamalkan mee segera.

Saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar-gambar penghasilan dan pembuatan mee segera tersebut, kerana kamera digunakan oleh abang saya. Namun, sekiranya anda berminat untuk melihat mee segera tersebut, bolehlah ke Bukit Gantang, dan anda akan menyaksikan proses pembuatan Mee Segera Najib yang semakin giat dikembangkan.

Proses penurapan jalan yang dilakukan di Bukit Gantang sangat bergerak pantas. Seolah-olah dicucuk oleh sesuatu. Tiba-tiba sahaja jalan diturap. Kalau sebelum ini, jangan kata menurap jalan, bahkan memperbanyakkan kurap-kurap kat jalanraya!

Apa yang dilihat di Bukit Gantang ialah pencemaran penglihatan yang dilakukan oleh orang upahan UMNO. Mereka telah diupah untuk memasang bendera, kain rentang dan sebagainya. Tetapi, hanya sekadar mencemarkan pandangan. Saya pun hairan, siapakah yang sanggup menebalkan mukanya untuk memasang bendera BN? Saya yakin, sekiranya tidak diupah, tiada siapa yang sanggup memasang bendera biru itu.

Selain itu, ceramah oleh Masyitah, mufti Barisan Nasional juga diadakan, kononnya menarik pehatian penyokong-penyokong hantu BN di Bukit Gantang. Saya terkejut kerana mereka menghantar Masyitah untuk meraih undi, sedangkan beliau hanya tin kosong di dalam BN. Mereka cuba mengatakan “sekiranya PAS mengadakan ceramah, BN pun kena ada ceramah juga”.

Malangnya, BN bukan berceramah, tetapi “cuba belajar berceramah”. Sebab itulah mereka menghantar Masyitah, kerana Masyitah pandai mereka-reka fatwa. Oleh itu, beliau telah diberi kepercayaan oleh BN untuk bercakap di hadapan rakyat Bukit Gantang. Adakah Allahyarham Us Roslan sebelum ini berceramah seperti Masyitah?

Di sini, saya ingin memberitahu secara baik kepada BN. PAS tidak mengajar ahli-ahlinya taksub kepada individu semata-mata. Bahkan berpegang dengan Islam, bukannya bertaklid buta dengan pimpinan. Kami faham perjuangan kami. Kami tidak dipaksa atau dibayar untuk bersama PAS. Tidak macam orang BN. Sekiranya Allahyarham Us Roslan telah meninggalkan Bukit Gantang, tetapi perjuangan PAS tetap ada.

PAS tetap ada walaupun Allahyarham Us Roslan meninggal dunia. Perjuangannya masih hidup walaupun beliau sudah pergi. Itulah yang dinamakan perjuangan. Sekiranya pimpinan PAS meletakkan seorang yang lain sebagai calon, kami tetap menyokong calon tersebut, kerana kami tidak taksub kepada individu, tetapi berpegang dengan perjuangan yang dibawa.

Sebaliknya, apa yang terjadi di dalam UMNO sangat memalukan. Apabila hilangnya tokoh mereka disebabkan politik wang, mereka terus merasa tidak puas hati dengan pimpinan sendiri. Mereka berbalah sesama mereka, kerana itulah mereka digelar taksub kepada individu, bukannya perjuangan UMNO. Yang peliknya, setelah Ali didapati bersalah, sebahagian ahli UMNO seolah-olah merajuk dengan tindakan tersebut sehingga menyebabkan perpecahan.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

Saturday, March 21, 2009

TIADA ERTI KESENANGAN JIKA TIDAK MENGALAMI KESUSAHAN


Kehidupan manusia di dunia ini umpama roda yang sedang berpusing, dan terus berpusing sehinggalah ia terhenti, iaitu ketika kematian seseorang. Ketika roda hidup manusia sedang berputar, sudah pasti bahagian bawah roda akan naik ke atas, dan bahagian atas akan turun ke bawah. Tidak mungkin sebuah roda yang bulat, yang berputar, tetapi bahagian atasnya tetap berada di atas.

Hakikat kehidupan manusia hari ini, selepas kesusahan, pasti datangnya kesenangan. Mana mungkin selepas kesusahan, datang kesusahan. Begitu juga kesenangan. Kesenangan dan kesusahan adalah perkara yang berbeza. Kita tidak akan mengenal erti sebuah kesenangan sekiranya kita tidak merasai kesusahan. Begitu juga kita tidak akan merasa susah sekiranya kita tidak pernah menikmati kesenangan.

Begitu juga siang dan malam, tidak akan wujud erti “malam” sekiranya tiada waktu siang. Begitulah sebaliknya. Maka kedua-dua perkara yang berlawanan ini sering berputar, sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Oleh itu, setiap kesedihan pasti ada kegembiraan. Mana mungkin seseorang akan berterusan sedih di dalam hidupnya, kerana roda itu terus berputar.

Ramai yang beranggapan bahawa dirinya adalah insan yang paling teruk diuji. Setiap hari, kesusahan demi kesusahan dialaminya. Tetapi hakikatnya, dia terlupa bahawa terdapat jutaan manusia lain yang lebih menderita daripada dirinya. Sekiranya dia bersedih kerana kehilangan orang yang disayangi, sudah berjuta-juta manusia yang sudah merasainya.

Begitu juga kesusahan, sekiranya dia merasakan dirinya adalah orang yang paling susah, tetapi sebenarnya dia lupa, masih terdapat berjuta-juta orang yang jauh lebih susah daripada dia. Hatinya sering berkata, akulah orang yang paling perit diuji, sedangkan dia tidak pernah dimalukan di hadapan khalayak ramai.

Nabi Muhammad SAW, ketika berdakwah di Thaif, Baginda SAW, telah dilempar dengan batu dan najis oleh penduduk-penduduk di situ, kerana menyebarkan Islam. Pernahkah kita diperlakukan begitu? Nabi SAW pernah diuji dengan ancaman dibunuh oleh ramai orang, sehinggakan Baginda SAW bergelar WANTED oleh masyarakat Mekah. Sedangkan kita tidak pernah diuji sedemikian.

Adakah dengan kesusahan yang sedikit ini kita sudah merasa lemah? Sekiranya kita kalah dengan ujian, kita tidak akan merasa kesenangan hidup. Kesenangan akan dapat dinikmati setelah kesusahan itu dialami. Kegembiraan akan dapat dirasai setelah kesedihan itu didepani. Anda tidak akan merasa senang sekiranya anda tidak mahu menerima kesusahan. Oleh itu, hadapilah kesusahan dan kesedihan untuk mendapat kesenangan dan kegembiraan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

PENDEDAHAN TENTANG KES WANITA UMNO


Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN dan jurugambar NASIR SUDIN)baru-baru ini bersua muka dengan suami Senator Datin Paduka Norhayati Onn, Ir Mohd Suffian Abdul Aziz membicarakan salah laku moral isterinya, isu politik wang dan bekas Menteri Besar Selangor Dato' Seri Khir Toyo. Sembang-sembang santai dengan bekas Ketua Pemuda UMno Klang itu mengambil tempat di salah sebuah hotel di ibu negara 12 Mac lalu.

HARAKAH:Apa status kes Nusyuz isteri saudara, Senator Norhayati Onn setakat ini?

SUFFIAN:Pada 23 April depan ianya akan dibacakan di Mahkamah Syariah Shah Alam dan peguam beritahu jika dia tak hadir, satu waran tangkap akan dikeluarkan kerana ingkar. Seingat saya sudah 10 kali saya hadir tetapi dia langsung tak datang.

Apa hasrat saudara dan mahukan sebenarnya?
.
Saya nak isteri saya itu tidak ada sebarang tuntutan ke atas saya dan ada apa-apa hak ke atas anak-anak. Saya mahu buktikan kebenaran dalam masalah rumah tangga saya dan saya juga mahu nama baik saya dibersihkan.

Dia dakwa saya macam-macam..'the damage is done' walaupun dia sudah tarik balik saman fasakh ke atas saya.Dia kata dia nak berbaik-baik semula dengan anaknya dan sanggup pergi kaunseling... tetapi sampai sekarang dah setengah tahun lebih, tiada apa-apa yang berlaku. Tidak pernah berinteraksi dengan anak-anak, bulan puasa ke atau Hari Raya ke, jauh sekali hari jadi..seolah-olah dia 'membuang' anaknya sendiri.

Merujuk gambar Norhayati dengan bekas Ahli Parlimen Gombak Dr Rahman ini diambil, di mana kejadian ini berlaku?

Ketika Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir, Kelantan pada tahun 2005. Berlaku di bilik salah sebuah hotel di Kota Bharu. Semuanya ada terkandung dalam surat akuan bersumpah saya bertarikh 12 Oktober, 2006 dan juga sembilan laporan polis dibuat termasuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor. (Menunjukkan salinan gambar dan laporan polis)

Setakat ini status laporan polis bagaimana?

Tiada sebarang tindakan dan sudah empat tahun ianya terjadi. Tapi kes Elizabeth Wong, cepat betul tindakan polis. Tukar polis Wilayahlah, cari orang itu, ini sampai nak cari luar negara sedangkan kes itu berbeza dengan kes isteri saya yang lebih teruk moralnya.

Elizabeth, dia bukan Islam...mungkin pergaulan itu membenarkan malah isunya ialah orang menceroboh 'privasi'. Tapi kes isteri saya ialah adakan hubungan sulit dengan orang lain. Ada gambar, video dan rakaman perbualan. Kenapa tiada tindakan? Ia melibatkan seorang Senator Dewan Negara dan pemimpin pergerakan Wanita Umno.

Selain polis, kepada siapa saudara mengadu?

Dato' Seri Khir Toyo...tetapi Khir kata itu hal rumah tangga. Selesaikanlah sendiri dan dia tak buat apa-apa tindakan. Dia lindungi Norhayati kerana mahu sokongan untuk bertanding pemilihan Umno dulu dan jaga reputasinya sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu. Kini nak jadi calon Ketua Pemuda Umno pula. Dia kena jaga orang-orang ini yang ada pengaruh nak 'support' dia dalam pemilihan.

Bukan masalah berpuas hati atau cukup hukuman kepada Norhayati. Dr Rahman digugurkan tetapi kenapa dia masih lagi dilantik semula sebagai Senator Oktober tahun lepas. Saya ada juga jumpa pemimpin Umno yang lain (off record) tetapi mereka K.I.V (Keep In View) saja.

Ini kejadian ke berapa kali?

Banyak dah berlaku. Antaranya di Kuala Lumpur, Petaling Jaya (beberapa nama hotel disebut) malah setiap kali dia tangkap gambar, telefon bimbit itu ada tarikh dan masa. Bila saya 'check' memang tepat.

Ada yang kata ianya teknik super-impose (cantuman, tindanan) dan ada pihak ketiga?

Dia cakap berbelit-belit. Mari masuk mahkamah dan bawa pakar-pakar teknologi...tengok. Super-impose ke tidak?

Ada saudara bertemu sendiri dengan bekas ahli parlimen Dr Rahman?

Ada, saya pergi rumahnya dengan abang saya. Rahman kata biasalah gambar itu...hubungan antara pesakit dan doktor. Menyirap darah saya...yang peluk-peluk itu apa..apa lagi saya pun bagilah dia sedass dan bergasak ...(Off record). Lepas itu saya buat laporan polis dan dia juga buat tetapi tiada sebarang siasatan.

Apa lagi bukti yang saudara ada?

Ada video rakaman yang mungkin jauh lebih teruk daripada kes Elizabeth. Malu saya nak siarkan dan kasihan anak-anak malu...(Suffian mengalirkan air mata)

Bukankah saudara 'orang kuat' Khir Toyo suatu ketika dulu sehingga saudara pernah diarah oleh beliau untuk 'mencari' dan menggertak Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang mendedahkan kes rasuah beliau dulu?

Ya betul, saya memang orang kuat dia...dan memang saya disuruh cari Lutfi. Khir Toyo siap cabar lagi....dia ingat aku ni siapa, aku ni Menteri Besarlah.

Berpengalaman sebagai bekas Ketua Pemuda Umno Klang, apakah ini insiden pertama melibatkan moral dan salah laku pemimpin Umno?

Saya dah lama dalam sistem ini. Ini bukan kali pertama, ada pemimpin Umno yang terlibat, ada yang ada bukti dan ada yang tidak diketahui. Cuma saya 'respect' juga yang bukan Islam ini, dia buat dia mengaku bertanggungjawab macam Dato' Chua Soi Lek dan Elizabeth Wong tetapi pemimpin Umno yang macam ni (tunjukkan gambar isteri) sampai sekarang tak mengaku. Jujurlah....

Adakah saudara pernah kena ugut dan diancam keselamatan?

Ada, banyak kali malah anak-anak saya diugut untuk tidak mendedahkan keburukan moral ibu mereka dan membawa ke mahkamah. Anak lelaki saya dipukul, anak perempuan disergah dan macam-macam lagi.

Status saudara dengan Norhayati masih suami isteri?

Ya, tetapi itulah dia tak serik. Baru-baru ini anak saya beritahu terserempak dengan ibunya dengan lelaki lain, 'dating' malam. Saya siasat, dia seorang yang terlibat dengan Animation Advertising (Pengiklanan Animasi). Sebelum itu ada dua tiga orang yang lain dia berpacaran
Malu nak cakap tetapi orang macam ini tidak layak jadi pemimpin apatah lagi ada jawatan berprestij seperti Senator. Saya dapat tahu dia 'lobi' pemimpin Umno untuk dapat jawatan itu.

Sebagai orang yang rapat dengan dengan Khir Toyo, apakah persepsi saudara dan layakkah dia bertanding Ketua Pemuda Umno?

Jangan jadi sombong. Ingat asal dan sejarah dulu sebelum jadi Menteri Besar. Sedarlah sikit. Jangan kata orang lain rasuah atau tuduh orang tak bermoral. Saya rasa orang macam ini lupakan sahajalah. Kalau nak jadi Ketua Pemuda Umno dia mesti ada karektor dan watak nasional. Ini bukan bertanding Ketua Umno Sabak Bernam. Mesti mahir berbahasa Inggeris kerana Ketua Pemuda akan bertemu dengan pemimpin dunia. Maaf cakap itu...dia tak ada. Bukan masanya lagi.

Begitu juga dengan Norhayati yang akn bertanding Exco Wanita Umno...

Inikah yang akan memimpin bangsa dan agama. Kalau hobinya buat kerja lain, baik lupakan saja dan letakkan jawatan Senator. Kalau buat silap minta ampun dengan Allah, kalau salah pikul sendiri, jangan sampai aniaya orang lain terutamanya anak-anak... Anak saya yang kecil tiga tahun...kasihan dia (mengalir air mata). Mungkin orang tak percaya, dan jarang-jarang berlaku tetapi ketiga-tiga anak saya yang jaga sejak kes itu...ayah yang menjaga bukan ibunya.

Saudara bersediakah untuk menghadapi sebarang tindakan undang-undang seperti saman atas pendedahan isu salah laku moral ini?

Saya berani hadapinya. Cabarlah di mahkamah khususnya melibatkan Senator Norhayati.

Tentang politik wang dalam Umno, termasuk 900 aduan rasuah dan dapatkah dibendung , apatah lagi dengan wujud Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ?

Tidak dapat. Mungkin dikurangkan sedikit boleh. Ianya dah berakar umbi. Dasyat... dan kronik. Macam mana nak buktikan pun susah juga. Kalau belanja makan, beri duit minyak RM300 seorang untuk datang, itu pun politik wang. Sembang-sembang sedikit, sedekah duit...macam mana tu?

Tentang 900 aduan kepada Lembaga Displin Umno, ada yang buat aduan tu sebab nak jatuhkan pemimpin dan ada yang memang ada bukti.

Dah jadi budaya. Duduk jumpa perwakilan belanja teh tarik pun dikira politik wang. Definasinya tak jelas tapi memang wujud. Budaya kita lebih kepada kebendaan. What can i get? At the end of the day hanya beberapa orang perwakilan yang ada 'kuasa' untuk memilih kita. Itu yang mencecah (pemilihan agung Umno tahun 80-90an) RM200,000 seorang. Sekarang kurang sikit daripada itu.

Payah nak ubah. Kalau tak boleh bagi tunai, mereka masuk dalam akaun bank. Dulu tahun 90an' ada duit RM1,000. Koyak dua. Satu kau ambil dan satu lagi pemimpin pegang. Menang cantum balik. Boleh pakai.

Selain politik wang, adakah proses pemilihan undi juga dicemari?

Umno ini, macam-macam kepakaran dia ada. Saya tak nak cerita banyak. Ada kes, tertutup lampu di PWTC sekejap waktu proses kira undi. Ada yang seluk kertas undi simpan dalam seluar dalam pun ada. Pernah beberapa ahli akademik buat penilaian semula proses kiraan undi pemilihan agung Umno menyatakan bahawa ianya dibuat dengan tidak betul. Tapi itu semua tidak didedahkan.

Semua 'korupsi' kah dan tiada seorang pun yang bersih?

Ada yang baik malah mereka ini kita tengok cara kerja dan bercakap memang benar-benar ikhlas. Tak perlu pakai wang dan mereka juga tak pernah tawar wang dan kita tahu mereka ini pemimpin yang 'genuine'. Saya tak nak sebut nama, nanti dikatakan kempen orang tertentu. Saya akan tolong orang-orang macam ini. Saya suka macam Allahyarham Dato' Harun Idris dulu, itu betul-betul pejuang.

Bagaimana dengan tindakan anak Dato' Haron untuk dapatkan injuksi mahkamah halang perhimpunan agung Umno 27 Mac ini?

Tak boleh buat injuksi. Dalam Perlembagaan Umno, mana-mana ahli yang bawa kes ke Mahkamah akan dipecat. Clearly stated. Dia akan dipecat.

Bagaimana isu 'hijacked' kuasa di Perak?

Saya rasa kalau Tun Mahathir dulu dia ikut 'prosedure'. Dia akan buat 'smart move'. Bawa ke DUN, buat undi tak percaya. Ikut proses. Ini semua orang nampak macam 'hijacked'. Jika Mahathir pun, dia tak akan berdiri di samping orang-orang yang lompat.

Akhir kata saudara...

Kita bukan 'above the law'...saya nak Norhayati lepaskan jawatan dia sebagai Senator dan kita 'bertarung' secara sama rata. Sekarang dia ada kuasa, ada immunity. Dia bohong pada orang atas, kata dia dah berbaik-baik dengan 'family' tetapi sebaliknya, kemudian burukkan saya. Saya juga nak bersihkan nama saya. Tunaikan hak anak-anak dan sebagai pemimpin masyarakat.

Herman-Simpati kepada nasib suami Senator nie. Rumahtangga beliau menjadi mangsa politik Khir Toyo. Semoga dia tabah dan sedar akan yang berlaku selama ini ada hikmahnya. Kembalilah merujuk pada Allah. Semoga disitu ada ketenangan dan pembelaan yang lebih adil.
.

ARTIKEL LUCU : MAHATHIR DAN ZAID, SIAPAKAH YANG TIDAK WARAS?


Saya terkejut apabila membaca Perak Express semalam, Mahathir begitu marah dengan kenyataan Datuk Zaid yang meminta supaya Yang Dipertuan Agong tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri. Sehingga Mahathir menyifatkan Zaid sebagai katak, dan Yang Dipertuan Agong tidak akan dengan kata-kata katak. Selain itu, Zaid juga dikatakan sebagai tidak waras kerana mengemukakan kenyataan tersebut.

Soalan yang ingin saya timbulkan di sini ialah, siapakah yang tidak waras, dan siapakah yang dikatakan sebagai “katak”? Jawapannya, sudah pasti mereka yang menyebelahi pandangan Zaid, akan mengatakan bahawa Mahathir adalah tidak waras, dan katak. Manakala mereka yang menyebelahi Mahathir pula, akan mengatakan bahawa Zaid adalah tidak waras dan katak.

Mari kita ukur dengan pandangan kita pula. Terdapat sebuah cerita lucu yang saya petik daripada sebuah akhbar..

Satu ketika, seorang pemimpin negara melawat Hospital Sakit Jiwa. Di dalam hospital tersebut, terdapat pelbagai kelakuan yang pelik, dilihat oleh pimpinan negara tersebut. Sampai di satu bilik, beliau terlihat seorang pesakit yang sedang memancing tanpa kail di dalam sebuah baldi. Dia terasa geli hati melihat gelagat pesakit jiwa tersebut, lalu bertanya “ikan apakah yang sedang engkau pancing?” Orang gila tersebut menjawab dengan penuh perasaan “Engkau sudah gilakah, mana ada ikan di dalam baldi ini!”

Cerita ini, menceritakan bahawa orang gila telah menuduh seorang pemimpin sebagai gila, kerana bertanya soalan yang tidak masuk akal. Siapa sebenarnya gila? Adakah pesakit atau pemimpin? Atau kedua-duanya gila, atau kedua-duanya tidak gila? Sebelum saya menjawab persoalan ini, saya ingin kemukakan teori yang kedua, juga agak pelik.

“Orang gila tidak akan mengaku dia gila”

Saya bertanya semula, “orang yang waras pun tidak mengaku dia gila!” Jadi, siapakah yang gila sebenarnya?

Di dalam situasi yang sedang kita bincangkan hari ini, Mahathir telah menuduh “tidak waras” kepada Zaid adalah satu tuduhan yang agak memalukan dirinya sendiri. Seoalah-olah Mahathir tidak professional di dalam membuat kenyataan. Anda boleh baca sendiri kata-katanya yang terlalu kesat yang dilemparkan kepada Zaid.

Saya tidak menuduh sesiapun gila, sebaliknya, ingin menegur Mahathir supaya tidak menuduh orang “tidak waras”. Ini kerana Zaid adalah waras, dan dia dituduh tidak waras. Jelas menunjukkan bahawa ia adalah satu tuduhan yang tidak berasas, dan tidak boleh digunapakai. Oleh itu, kata-kata Mahathir tersebut, langsung tidak boleh digunapakai.

Seperti pesakit jiwa tadi yang menuduh pemimpin tersebut sebagai gila, sedangkan dia mempunyai hujahnya untuk mengatakan pemimpin itu gila. Tetapi, Mahathir tidak punya bukti untuk mengesahkan ketidakwarasan Zaid. Jadi, adakah Mahathir lebih teruk daripada pesakit jiwa tadi? Saya tidak menuduhnya sebegitu, tetapi sekadar melontarkan sesuatu untuk dijadikan pengajaran bersama.

Selain itu, kenyataan Mahathir itu juga, adakala mencuit hati, apabila dia menyifatkan Zaid sebagai katak, dan Agong tidak akan mendengar kata-kata si katak. Tetapi yang saya peliknya, Mahathir mendengar kata-kata si katak dan mengambil perhatian pula dengannya. Tetapi, dia tidak membenarkan Agong berbuat sepertimana yang dilakukannya.

Selain itu, Mahathir juga telah mengemukakan kenyataan yang memalukan buat kali kedua dengan penggelaran “katak” itu. Sudah pasti, sekiranya terdapat seorang pesakit jiwa yang mendengar kata-kata tersebut sudah pasti mereka akan mengatakan bahawa Mahathir adalah seorang yang gila, kerana Zaid dan katak langsung tiada persamaan, tetapi Mahathir boleh menyamakannya! Sama seperti cerita tadi bukan?

Oleh itu, pengajaran yang boleh diambil daripada artikel ini ialah, janganlah menuduh orang sembarangan atau menggelar dengan sesuka hati. Orang yang gila pun, mereka tetap makhluk Allah, bahkan mereka tidak berdosa disebabkan gila mereka. Katak juga makhluk Allah yang menjalankan amanahnya setiap hari, sekiranya katak sudah tidak menuruti perintah Allah, sudah pasti manusia pun akan menjadi makanan katak! Tetapi manusia lebih teruk daripada itu.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

SPRM MENJATUHKAN AIR MUKA SENDIRI


Semalam, Utusan Malaysia telah menyiarkan berita tentang siasatan SPRM terhadap Speaker Perak, Sivakumar yang dikatakan terdapat “elemen salah guna kuasa”. Kedangkalan SPRM di dalam situasi ini sangat jelas, dan kebodohan mereka semakin terserlah lagi apabila Ketua Pesuruhjayanya membuat kenyataan. Saya harap, kenyataan yang memalukan tersebut tidak diulangi buat kali kedua.

Beliau mengatakan bahawa terdapat “elemen salah guna kuasa” yang dilakukan oleh Sivakumar. Apabila ditanya, apakah elemen tersebut? Beliau berkata…

“Bila saya cakap nanti orang marah, tetapi bagi kita ada elemen salah guna kuasa, jadi SPRM menjalankan siasatan”

“Kes ini bukan melibatkan pendakwaan tetapi masih di peringkat siasatan dan jangan salah anggap. SPRM menjalankan siasatan untuk menentukan keterangan-keterangan berhubung perkara ini dapat dikumpul”

Kenapakah saya mengatakan ia adalah kenyataan yang memalukan? Ini kerana apabila ditanya tentang elemen tersebut, beliau tidak menjelaskannya, kerana bimbang dimarahi orang. Beliau menambah lagi bahawa, ia masih dalam siasatan, oleh itu, elemen tersebut tidak dapat diberitahu. Aku tergelak kerana alasan yang diberikan sangat mengaibkan mereka sendiri.

Semalam, saya terlihat seorang budak sedang memanjat pokok mangga, kemudian turun. Saya menghampirinya, lalu bertanya dengan baik, apa yang kamu lakukan di sini. Dengan tersipu-sipu seperti menyembunyikan sesuatu, budak tersebut menjawab… ”.. adaaalahh… rahsia..” Setelah puas bertanya, tetapi masih lagi menyembunyikan sesuatu, sudah pasti jawapan tersebut, seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

Apabila SPRM ditanya, mereka seolah-olah menyembunyikan sesuatu yang misteri. Selama ini, pakar penganalisis sudah pun mengesahkan berdasarkan perlembagaan dan perundangan bahawa penggantungan Zambry adalah sah! Tetapi, apabila sampai kepada SPRM, “terdapat elemen salah guna kuasa di situ”. Saya masih bingung dengan tindakan SPRM semalam.

Selain itu, SPRM menampakkan lagi keaibannya ialah sengaja mengkura-kurakan kes-kes rasuah pimpinan UMNO yang begitu jelas dan terdapat bukit. Tetapi, apa yang mereka buat? Sekadar menerima laporan kemudian tidur! Apabila terdengar khabar angin tentang PR, mereka berkata… “segera buat siasatan!!, kita akan telus dan bersih!!” Habis, bagaimana dengan pimpinan UMNO?

Kes Ali Rustam yang begitu jelas terlibat dalam politik wang, masih lagi dianaktirikan walaupun sudah terdapat bukti yang sah, bahkan disahkan oleh Lembaga Disiplin UMNO sendiri. Tetapi, mereka masih memekakkan telinga. Itulah dia SPRM, apabila ditegur, dikatakan sebagai marah, apabila ditanya, tak mahu menjelaskan.

Saya menyeru kepada SPRM agar bertindak benar-benar telus dan jujur. Kalau mereka masih begini, mereka sendiri akan menerima tohmahan dan kutukan daripada semua orang. Malang betul. Saya tidak mahu mereka jadi lebih teruk, dan harap agar teguran ini mampu merubah prestasi mereka.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah