Saturday, April 18, 2009

DOSA MENGUNDI BARISAN NASIONAL (Siri 2)

Sebelum ini telah dijelaskan hukum mengundi atau menyokong kezaliman. Memang jelas di dalam al Quran bahawa menyokong kezaliman adalah satu perbuatan yang haram. Hari ini kita melihat bahawa Barisan Nasional telah melakukan kezaliman ini. Kita nampak di hadapan mata kita, bahawa mereka merampas hak rakyat bersuara dan berpandangan, mereka menyekat kuliah-kuliah agama dan sebagainya.
.
Timbul persoalan lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan kezaliman? Zalim adalah lawan bagi adil. Mereka yang tidak adil dianggap sebagai seorang yang zalim. Maksud perkataan zalim ialah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Contohnya melantik seorang yang penipu sebagai pemimpin, sedangkan dia tidak layak untuk memimpin.
.
Contoh yang lain ialah, merampas hak orang lain. Atau menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya, dan ia juga termasuk dalam kategori zalim. Hari ini, Akta Zalim yang paling jelas ialah ISA. ISA berfungsi menangkap sesiapa sahaja, tanpa dibicarakan, tanpa diberi peluang membela diri dan tanpa waran. Tangkap sesedap hati.
.
.
Kenapakah ISA dikatakan zalim? Ia dikatakan zalim kerana telah menangkap orang yang tidak bersalah, tanpa bukti dan sebagainya. Di dalam Islam, bukti memainkan peranan penting sebelum satu-satu hukuman dijatuhkan. Islam juga menggunakan saksi sebagai salah satu bukti tersebut. Tetapi, malangnya, apa yang terjadi di Malaysia hari ini, Barisan Nasional telah mengangkat akta yang zalim ini. Maka kerajaan yang mengangkat kezaliman sebagai satu akta, sudah pasti kerajaan itu adalah kerajaan yang zalim.
.
Maka, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang zalim, dan sesiapa yang menyokong Barisan Nasional (kerajaan) ini adalah berdosa, dan hukum mengundi parti ini adalah haram. Ia sama sahaja sekiranya Pakatan Rakyat yang melakukan kezaliman. Sekiranya terbukti bahawa Pakatan Rakyat juga melakukan kezaliman, maka hukum mengundinya juga haram. Tetapi, perkara ini tidak dapat dibuktikan.
.
Apabila Barisan Nasional menang di dalam pilihanraya, disebabkan pengundi-pengundi di Malaysia, lalu menyebabkan kezaliman berleluasa, maka pengundi-pengundi ini akan menanggung dosa tersebut! Tidak kira ustaz atau orang biasa, kaya atau miskin, tua atau muda, hukumnya sama sahaja. Tetapi, ia berbeza pula dengan mereka yang "tidak tahu" kezaliman Barisan Nasional.
.
Mereka yang tidak tahu tentang kezaliman Barisan Nasional, lalu mengundinya, maka dia dianggap salah tetapi tidak berdosa, kerana kejahilannya. Tetapi, sekiranya orang tersebut sengaja tidak mahu mengikuti perkembangan semasa, dan sengaja tidak mahu melihat situasi kezaliman ini, maka dia tetap menanggung dosa kerana "melakukan sesuatu tanpa ilmu".
.
Oleh itu, jauhilah daripada melakukan perbuatan haram ini. Orang yang menanggung kezaliman Barisan Nasional bukannya anda seorang, bahkan semua rakyat yang berstatus Malaysia. Dan anda jangan lupa, doa orang yang dizalimi ini dimakbulkan. Anda juga jangan lupa bahawa orang yang menyokong kezaliman, juga dikatakan sebagai zalim. Maka orang yang mengundi Barisan Nasional juga dianggap zalim. Fikir sejenak.
.
Salam Perjuangan
.
Dr Fikrah

DOSA MENGUNDI BARISAN NASIONAL (Siri 1)

Sebelum ini saya pernah menulis artikel yang bertajuk "Jauhi daripada menyokong kezaliman", yang telah saya letakkan di ruang Tazkirah. Hari ini pula, ramai tertanya-tanya, "apakah hukum mengundi Barisan Nasional?" Persoalan ini sama sahaja dengan soalan-soalan fiqh yang lain, seperti "apakah hukum mengerjakan Solat Sunat Dhuha?" dan sebagainya. Ya, setiap perbuatan di dunia ini, tertakluk di bawah 5 hukum.
.
5 hukum tersebut ialah, wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Kelima-lima hukum ini sudah biasa didengari, namun, ramai yang tidak dapat mengukurkan berdasarkan kehidupan di dunia ini. Mengundi Barisan Nasional juga termasuk dalam 5 hukum ini. Jadi, apakah hukum mengundi Barisan Nasional? Adakah ia wajib, sunat, harus, makruh atau haram?
Dalil daripada al Quran
.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman, yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak diberi pertolongan (Surah Hud :113)
.
Di dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman itu adalah satu perbuatan yang HARAM. Perkara haram, apabila dilakukan, akan mengundang dosa. Contohnya seperti melakukan muqaddimah zina, seperti berdua-duaan dan sebagainya. Ia adalah haram, dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat dosa yang akan dihitung oleh Allah di Hari Akhirat.
.
Selain itu, perkataan "jangan" telah digunakan di dalam ayat tersebut, yang jelas menunjukkan bahawa ia adalah satu perkara yang haram. Manakala sekiranya ayat tersebut berbentuk suruhan, ia adalah wajib, contohnya seperti solat, puasa dan sebagainya. Inilah hakikat yang telah dijelaskan oleh ulama’ fiqh. Kalau masih tak percaya, bolehlah belajar fiqh sendiri.
.
Bagaimana pula dengan hukum mengundi BN? Adakah ia juga dikatakan haram? Jawapan yang mudah untuk dijawab ialah hukumnya haram. Apakah dalilnya? Dalil haram mengundi Barisan Nasional ialah ayat al Quran di atas tadi. Ini kerana Barisan Nasional sudah terkenal dengan zalim. Sekiranya Barisan Nasional tidak dikatakan sebagai zalim, maka tidak haram mengundinya.
.
Sekiranya PR yang melakukan kezaliman, maka hukumnya haram mengundi PR. Sekiranya Barisan Nasional melakukan kezaliman, maka hukumnya juga haram! Hari ini bagaimana? Sekiranya anda melihat bahawa Barisan Nasional itu melakukan kekejaman, dan sekiranya mereka menguasai kerajaan, akan menyebabkan kerosakan yang banyak, maka hukumnya adalah haram.
.
Salam Perjuangan
.
Dr Fikrah

BN PERAK AKAN TERKUBUR SETELAH ZAMBRY MENANG KES PENGGANTUNGAN


Kelmarin, Zambry telah memenangi kes penggantungannya dan beberapa orang exconya. Beliau sempat memberi nasihat supaya PR dapat menerima keputusan mahkamah dengan sebaiknya. Mungkin hatinya gembira atas kemenangan tersebut. Saya ingin bertanya, “berapa lamakah kegembiraan itu?” Wahai Zambry, tiada seorang pun manusia di dunia ini yang gembira sepanjang masa!

Saya yakin orang yang gembira, pasti akan dirudung sedih. Bahkan, semakin hebat kegembiraan tersebut, semakin hebatlah kesedihan yang bakal dihadapinya. Kalau sebelum ini, Najib gembira kerana berjaya menjadi PM, dan terlepas daripada Kes Altantuya, namun, esok lusa, beliau pasti akan sedih dengan jawatannya sebagai PM itu.

Contoh yang boleh saya berikan, seorang yang menang wang judi lalu membeli sebuah kereta BMW. Sudah pasti dia akan gembira ketika itu, kerana disangkanya sebagai durian runtuh. Namun, malang sekali, ketika memandu kereta tersebut, dia mengalami kemalangan yang teruk sehingga menyebabkan kakinya kudung. Kesedihannya kehilangan kaki akan dideritai sehingga akhir hayatnya!

Begitu juga Zambry. Beliau seronok dengan kes yang dimenanginya. Namun, anda jangan lupa, sekiranya anda menang ketika perbicaraan dengan Nizar sekalipun, anda tetap akan bersedih. Sekiranya benar anda akan terus menjadi MB selepas ini, tunggulah pilihanraya akan datang. BN akan terkubur terus! Muka anda akan dikenali ramai dengan watak seorang perampas kuasa. Anda akan merana sampai mati akibat jawatan yang anda menangi.

Adakah pilihanraya akan datang, anda masih berusaha menggunakan pengundi hantu? Kami persilakan kepada anda supaya menggunakan pengundi hantu! Semakin ramai pengundi hantu, semakin bertambah kebencian manusia (bukan hantu) terhadap anda. Anda lebih layak digelar wakil hantu, bukan wakil rakyat.

Kalau sebelum ini pengundi Melayu Pakatan Rakyat dikatakan berkurangan di Bukit Gantang, namun, perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu digembirakan oleh BN. Biarlah semua orang Melayu tolak Islam sekalipun, Allah berkuasa untuk menukar Islam kepada bangsa lain yang inginkan Islam. Sebelum ini Melayu adalah mereka yang beragama Islam sekiranya menurut perlembagaan persekutuan.

Namun, ia mungkin akan menjadi tidak relevan satu hari nanti. Perak akan dikuasai oleh bangsa bukan Melayu yang inginkan Islam. Ini kerana pemikiran manusia adalah selari dengan Islam, dan orang yang tidak mahukan Islam adalah mereka yang tidak berfikir, atau dengan bahasa kasar, takda otak.

Orang seperti ini disifatkan di dalam al Quran sebagai binatang. Siapakah orang ini? Mereka adalah orang yang mempunyai hati, tetapi tidak mahu menerima Islam. Mereka juga mempunyai telinga, tetapi sengaja menolak kebenaran yang sampai ditelinganya, mereka mempunyai mata, tetapi sengaja tidak mahu melihat kebenaran Islam… mereka inilah binatang, bahkan lebih teruk.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Friday, April 17, 2009

ISA ZALIM....13 ORANG 'DIBEBASKAN' 3 LAGI 'DICULIK' OLEH POLIS MALAYSIA

Sumber : Ummu Asiah

Apakah perasaan anda sekiranya orang yang tersayang, apatah lagi seorang anak yang menjadi harapan keluarga tiba-tiba hilang....tentu sedih, pedih dan remuk redam rasa hati...

Khabar yang diterima ialah 'polis telah menangkap dan menahan anak saya'....polis beri no telefon ini untuk dihubungi di Bukit Aman. Adik yang tercinta cuba sedaya upaya menghubungi no yang diberikan, namun jawapan yang diberikan ialah tiada tahanan bernama Agus Salim di PRC Bukit Aman....ini adalah perkara biasa yang terpaksa dilalui oleh kesemua keluarga mangsa tahanan ISA.

Penahanan itu diketuai oleh ASP Zaini Akhir dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (No telefon: 0322627475).

Agus Salim seorang warga Indonesia, datang mencari nafkah dengan bekerja di sebuah restoran Tom Yam di Larkin, Johor. Adiknya, Fatin juga bekerja di sebuah restoran di pekan yang sama. Agus ditahan sebaik mahu memulakan kerja sebaik selesai solat Asar. Kejadian penangkapannya dirakam oleh pihak polis, dan 5 buah kenderaan polis mengiringi Agus Salim ketika dibawa pergi. Berita penangkapannya disampaikan kepada adiknya melalui taukeh restoran tersebut.

Hari ini ibu dan Adik lelaki Agus datang jauh dari Medan, memenuhi undangan GMI untuk membawa nasib dan masalah mereka untuk diadukan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia SUHAKAM. Memang SUHAKAM tidak punya hak atau kuasa untuk membebaskan tahanan ISA, namun mereka dapat berusaha untuk mencari di mana tahanan berada, mereka berupaya memastikan nasib tahanan sedikit terbela.

Alhamdulillah, bersyukur kerana keluarga Agus Salim, ibu dan adik-adiknya masih berani untuk keluar mendedahkan tentang penangkapan Agus Salim di bawah ISA. Tidak ramai yang berani untuk keluar mendedahkan tentang kezaliman yang menimpa diri mereka bila dicengkam dengan akta zalim ISA.

Hari ini kami bersyukur kerana dapat melayan keluarga yang dizalimi ini. Mereka datang jauh dari Medan, sampai lewat tengah malam semalam dan dijemput oleh Cikgu Laila ke rumahnya. Pagi ini saya bersama Kak Aliza telah membawa mereka berdua ke SUHAKAM untuk bersama menyerahkan memorandum tentang penangkapan terkini 3 orang ke semuanya.

Mereka yang ditahan paling terkini dan tidak didedahkan oleh kerajaan baru Malaysia, adalah Agus Salim yang ditahan pada 5 Mac 2009 , Abdul Matin Bin Anol Rahmat yang ditahan pada 1 April 2009 dan Johar Bin Hassan yang tidak diketahui bila ditahan (tiada maklumat terperinci diperolehi setakat ini).

Abdul Matin berumur 61 tahun adalah bapa kepada Saodah Matin, yang mana suaminya Zaini Zakaria juga telah ditahan dibawah ISA selama lebihkurang 4 tahun dan baru dibebaskan beberapa bulan yang lepas. Mereka juga tinggal di Johor.

Untuk penahanan Abdul Matin, walaupun keluarganya pernah melalui episod hitam penahanan ISA, keluarganya tidak memaklumkan kepada GMI mengenai penahanan Pakcik Matin, kami hanya mendapat maklumat dari isteri bekas tahanan ISA yang lain.

Inilah yang cuba didedahkan oleh Puan Aliza (gambar di atas), betapa ISA ini amat menakutkan bagi mangsa dan keluarganya...hinggakan tidak berani mendedahkan mengenai tangkapan yang berlaku. Keluarga Pakcik Matin juga masih menunggu masa yang ditetapkan oleh polis untuk mendapat peluang perjumpaan.

Dato' Siva Subramaniam amat memahami isu-isu mengenai ISA, beliau telah beberapa kali melawat Kem Kamunting dan mendengar dan melihat sendiri nasib tahanan ISA. Beliau juga tahu yang tahanan ISA hanya boleh bertemu dengan keluarga hanya disebalik dinding cermin, mereka tidak dapat menyentuh sesama sendiri, isteri tidak dapat bersalaman dengan suami, anak tidak dapat memeluk ayahnya...bercakap juga hanya melalui interkom.

Beliau juga menyelar sikap kerajaan yang sewenangnya menahan seseorang tanpa dibicarakan hingga bertahun lamanya...beliau menyebut bahawa ketika Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayah kepada Najib mula hendak menggunakan ISA, beliau telah berjanji bahawa akta ISA tidak akan menahan dan menangkap seseorang sewenangnya dan tidak menangkap mereka yang tidak bersalah.

Kini ISA bukan sahaja digunakan sewenangnya malah ahli keluarga juga tidak dimaklumkan mengenai tangkapan dan di mana tahanan berada. Untuk kes Agus Salim sudah 50 hari berlalu dan mereka tidak tahu di mana Agus Salim berada.

Datuk S Subramaniam juga berkata, beliau berjanji akan mengesan tahanan dan melawat mereka."Saya memberi jaminan untuk menemui tiga orang ini untuk dapatkan maklumat dan akan memaklumkannya kepada GMI dan ahli keluarga."

Ketika di dalam perjalanan ke SUHAKAM kami telah cuba memberi sedikit maklumat kepada adik dan ibu Agus Salim..kami menekankan bahawa apa yang penting untuk disemat dengan yakin dihati ialah..seseorang tidak boleh ditahan tanpa dibicarakan, setiap orang punya hak untuk mengambil peguam dan membela dirinya dan perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dibuktikan setiap pertuduhan yang dilemparkan.

Alhamdulillah, Junaidi memahami dan menjawap dengan tenang setiap persoalan yang ditujukan oleh wartawan.

"Saya harap polis Malaysia bebaskan abang kerana abang saya belum tahu apa salahnya."
"Agus perlu dibicarakan di mahkamah untuk mengetahui beliau bersalah atau tidak."

Sepanjang mereka berada di Kuala Lumpur, mereka akan menjadi tamu Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA, GMI dengan bantuan YB Zuraidah, Ahli Parlimen Ampang. Pengerusi GMI juga mendedahkan kisah yang terkini yang menimpa keluarga tahanan ISA, di mana seorang tahanan ISA yang baru dibebaskan telah mengalami tekanan perasaan dan mengugut untuk membunuh diri. Sebelumnya dia telah memecahkan handphone isterinya dan melarang isterinya keluar bekerja.

Inilah tekanan yang dihadapi oleh bekas tahanan ISA setelah mereka dibebaskan...... Bebas..... setelah bertahun ditahan... namun kezaliman masih mencengkam hidup mereka...
ISA ZALIM!!!!!

1 MALAYSIA : KERETA BARU, ENJINNYA LAPUK

Sejak kebelakangan ini kita telah gembar-gemburkan oleh Najib tentang kemunculan kereta keluaran BN yang terbaru. Ia dinamakan 1 Malaysia. Kereta ini digembar-gemburkan sebagai sebuah kereta keluaran terbaru yang canggih, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Harap body sahaja baru, tetapi enjin lama, bahkan sudah lapuk!

Sebelum ini, saya pernah mengumpamakan bahawa UMNO adalah barang lapuk yang masih dijual. Maka para pembelinya telah tersilap, kerana membeli barang buruk yang bernama UMNO ini. Tetapi kali ini, BN pun lebih kurang sama. Lebih-lebih lagi kabinet Najib yang dikatakan sebagai wajah baru, tetapi pemikiran UMNO kuno.

Hari ini pula, sekali lagi keluaran kereta baru berenjin lapuk ini cuba untuk mempengaruhi rakyat. Harganya tidaklah mahal sangat, tetapi, apabila diuji cuba, ternyata enjinnya macam haram jadah.

Saya teringat tentang Sirah Nabi Muhammad SAW, yang menceritakan tentang apa yang terjadi hari ini tentang pemikiran lama ini. Orang Arab di zaman Nabi Muhammad SAW sangat taksub dengan pemikiran nenek moyang mereka. Apa yang disokong oleh nenek moyang mereka, itulah yang mereka pertahankan walaupun perlakuan itu memang menjijikkan.

Contohnya, orang Arab Jahiliyah melakukan tawaf mengelilingi Kaabah dalam keadaan tidak berpakaian! Mereka mengatakan bahawa ini adalah amalan nenek moyang mereka yang perlu diteruskan. Haprak bukan? Hari ini, rakyat Malaysia tidak kira bangsa, mengatakan bahawa kita perlu menyokong apa yang telah disokong oleh nenek moyang kita, walaupun sokongan tersebut adalah sokongan kepada kezaliman!

Hari ini, 1 Malaysia juga adalah permasalahan yang sama. Ia adalah kereta teknologi kuno yang digembar-gemburkan oleh nenek moyang kita. Sampai hari ini, segalanya haprak semata-mata. 1 Malaysia perlu dianggap sebagai satu cadangan yang perlu difikirkan. Jangan berpegang dengan sesuatu yang tidak kita tahu.

Najib menggembar gemburkan istilah 1 Malaysia, tetapi rakyat terus menerus merana. Sistem kapitalis tetap diteruskan. Adakah 1 Malaysia ini adalah 1 BN? Atau 1 UMNO? Iaitu, harta dan keuntungan negara dikaut bersama…. Bersama siapa? Bersama-sama kronilah. Inilah sistem Kapitalis yang menjahanamkan golongan-golongan bukan kroni.

Najib mengatakan bahawa 1 Malaysia ini adalah penyamarataan taraf hidup. Percayakah anda? Atau ia hanya retorik yang digimikkan? Dari dulu lagi, mereka mengemukakan dakyah yang sama, iaitu penyamarataan hidup. Tetapi, sampai sekarang, haprak je lebih. Contoh yang paling jelas, 60 billion yang hanya digimikkan. Mereka mengagih-agihkan kepada siapa? Masihkah anda menanti hasil 60 billion itu? Inilah satu penantian yang sia-sia.

Inilah perjuangan yang diteruskan oleh Najib hari ini. Sama sahaja dengan omongan nenek moyang dahulu. Masih lagi tidak dapat menerima Islam. Masih lagi bongkak untuk menerima dakwah Islam. Kalau betullah Najib ini sudah menjadi seorang yang baik, maka, laksanakanlah Islam. Kalau hanya disuap dengan gimik sepertimana yang dilakukan PM-PM sebelum ini, Najib dijamin “tidak lama”.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

HAKIM 2 X 5 ATAU 5 X 2? TETAPI JAWAPANNYA TETAP 25!!


Semacam pelik sekiranya kedengaran di sebelah PR, tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Manakala disebelah BN pula mengatakan kebenaran di pihak mereka. Begitu juga sekiranya berlaku sebaliknya. Apabila keputusan mahkamah memihak kepada PR, sudah pasti PR akan berpuas hati, dan BN pula terpaksa menanganggung malu dilemparkan pelbagai cercaan.

Siapakah yang benar? Dan siapakah yang bersalah dalam persoalan ini? Mahkamah sudah pun memutuskan bahawa penggantungan Zambry dan exco-exconya tidak sah. Sekiranya sah, sudah pasti blogger-blogger PR akan mencerca habis-habisan terhadap zambry kerana telah dibuktikan bersalah. Soalan lagi, siapakah yang benar, dan siapakah pula yang bersalah?

Walaupun hakikatnya Allah sahaja yang tahu, tetapi suka untuk saya jelaskan di sini bahawa kebenaran itu adalah benar dan salah itu tetap salah. Mana mungkin kebenaran itu bertukar menjadi salah, dan perkara yang salah itu terbalik menjadi kebenaran. Tidak semestinya kalah di mahkamah, bermaksud kita adalah salah. Dan tidak bermaksud juga sekiranya kita menang di mahkamah, kita adalah seorang yang berada di pihak yang benar.

Habis tu? Mana adil kalau macam ni…!! Ya, memang sudah diketahui bahawa Malaysia sendiri mempunyai undang-undang yang tidak adil dan memeningkan. Sekiranya PR membuat kesalahan, tetapi menang di dalam mahkamah sekalipun, ia tetap salah. Begitu juga BN, sekiranya BN itu yang melakukan kesalahan, tetapi menang di dalam mahkamah, ia tetap salah.

Inilah hakikat yang terjadi di Malaysia. Selagi undang-undang Islam tidak dilaksanakan, sampai kiamat takkan selesai. Ada orang bertanya, bagaimanakah Islam dapat menyelesaikan isu ini? Sebelum menjawab soalan ini, saya bertanya kembali, “Adakah hakim itu seorang yang adil?” lagi saya bertanya “Benarkah kamu tahu dia adalah seorang yang adil?” lagi saya bertanya “Berapa ramaikah yang mengakui keadilan hakim itu?”.

Di dalam menjawab persoalan dan isu ini, saya masih lagi belum jelas kedudukan hakim yang mengendalikan pebicaraan tersebut. Kenapakah saya perlu meraguinya? Ini kerana sejauh manakah kita meyakini bahawa hakim itu seorang yang adil?

Wahai hakim, tahukah anda betapa besarnya dosa seorang hakim apabila bertindak zalim (tidak adil)? Adakah anda sebagai seorang hakim, sama peranannya sebagai seorang qadhi yang berhak menjatuhkan hukuman? Persoalan yang bertalu-talu ini sepatutnya disedari oleh semua orang. Keadilan itu boleh dikoyak-koyakkan, tetapi kebenaran itu tidak boleh diperlakukan begitu.

Kebenaran tidak mungkin dapat dikoyakkan kerana apabila ia dapat dikoyakkan, ia bukanlah satu kebenaran. Jaket kulit asli, tidak mungkin dapat dikoyakkan, tetapi jaket ciplak, mudah sahaja untuk dibuat begitu. Bagaimana pula kita hendak tahu hakim itu seorang yang adil? Mudah sahaja, tengoklah pada Perdana Menteri sendiri.

Sekiranya anda yakin orang nombor satu ini (perdana menteri) adalah seorang yang adil, maka, kemungkinan hakim itu juga seorang yang adil. Tetapi sekiranya Perdana Menteri pun masih dalam “misteri” statusnya, maka sudah pasti hakimnya 2 X 5 sahaja. Oleh itu, untuk mendapatkan jawapannya, fikirlah sendiri. Tengoklah pada Najib dan nilailah sendiri. Anda akan kenali hakim itu……

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Thursday, April 16, 2009

RM 45,786 DIGUNAKAN UNTUK PUJA ROSMAH, BERAPA PERUNTUKAN PULA UNTUK MEMUJI ALLAH?

Saya terkejut setelah membaca berita tentang pembaziran yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Sepertimana yang diberitakan, sebanyak RM 45,786 telah dibelanjakan untuk membeli ruangan iklan satu muka di sebuah akhbar arus perdana untuk mengucap terima kasih kepada Rosmah kerana sudi melawat Daerah Rembau. Itu tidak termasuk kos mencetak banner, poster dan lain-lain.

Timbul tanda tanya dalam benakku. Kenapakah sampai begitu sekali Kerajaan Negeri Sembilan belanjakan? Hebat sangatkah Rosmah ini? Sudahlah duit tersebut adalah duit rakyat. Kalau duit sendiri takpa juga, walaupun individu yang membazir itu adalah sahabat syaitan. Harga tersebut bukannya sedikit. Berapa ramai lagi orang yang memerlukan duit tersebut di Negeri Sembilan. Mereka hanya berjalan di pasaraya untuk meminta sedekah seringgit atau dua…
.Saya teringat juga sebuah kisah Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang yang paling hebat di alam semesta, jauh lebih hebat dari Najib dan Mahadet. Nabi Muhammad SAW adalah seorang pemimpin kerajaan yang tidak memiliki dosa. Tetapi, Baginda SAW tetap mengerjakan ibadah dengan bersungguh-sungguh, walaupun terpaksa mengorbankan waktu rehat di malam hari.

Satu ketika, Saidatina Aisyah terjaga daripada tidur, dan mendapati Nabi Muhammad SAW sedang bertahajjud (solat di waktu malam). Setelah selesai beberapa kali solat, beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Kenapa kamu beribadah sehingga bengkak kakimu, sedangkan kamu tidak mempunyai dosa…” Lalu Baginda SAW menjawab.. “Aku ingin menjadi hambaNya yang bersyukur…”

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Baginda SAW. Beliau beribadah sehingga bengkak kaki semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kepada Allah. Tetapi hari ini, apa yang terjadi kepada kerajaan hari ini, sangat berbeza dengan Baginda SAW. Mereka membazirkan peruntukan yang begitu besar untuk memuja manusia, sedangkan berapa pula peruntukan untuk memuji Allah?

Nabi Muhammad SAW adalah seorang nabi yang tidak memiliki dosa, dan Baginda SAW sangat tekun beribadah. Kita hari ini, sudahlah dosa bertimbun-timbun, tetapi solat fardhu pun payah! Duit beribu-ribu dibelanjakan untuk memuja seorang manusia yang akan mati, tetapi berapa senkah kita belanjakan untuk memuji Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan?!

Kepada siapakah ucapa terima kasih? Adakah kita mengucapkan terima kasih kepada seorang manusia, kerana jasanya yang sedikit, sedangkan kita lupa berterima kasih kepada Allah yang telah menjadikan kamu daripada air mani yang tidak berharga? Sekiranya Allah tidak mengizinkan kehadiran Rosmah pada hari itu, berapa banyakkah pembaziran? Sepatutnya kita berterima kasih kepada Allah!

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

NAJIB DAH JADI BAIK, ATAU HANYA BERLAKON SEBAGAI ORANG BAIK?

Saya terbaca sebuah berita yang menyiarkan kenyataan Najib yang bertajuk “Rendah Hati Perlu Dimiliki Ahli Politik, Ahli Parlimen”…. Pada mulanya saya menyangka Najib sudah kembali ke pangkal jalan, tetapi, rupa-rupanya beliau tersalah sedikit dalam bercakap. Mungkin tidak disengajakan. Di antara kata-kata beliau yang menimbulkan persoalan…
.

… Beliau berkata bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat, terutamanya masyarakat tradisional, amat cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri….

"Sebagai contoh, jika saya berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk miskin di dalam kawasan saya, saya memastikan tingkah laku saya tidak akan membuatkan mereka berasa tidak selesa, dan pemergian saya ke sana bukanlah bertujuan memandang rendah atau bersikap menghina mereka,"….

Saya membacanya berulang kali, dan apa yang saya dapati (mungkin tersilap), seolah-olah terdapat kesilapan. Di manakah silapnya? Apa yang saya lihat, seolah-olah rendah diri itu adalah satu perkara yang dibuat-buat, atau dengan kata lain… berlakon sebagai seorang yang rendah diri. Mungkin saya juga tersilap, tetapi anda boleh baca sendiri. Ini apa yang saya faham.

Adakah rendah diri itu digunakan sebagai menarik perhatian masyarakat tradisional? Atau digunakan untuk bermuka-muka dengan orang miskin? Ya, seolah-olah berlakon menjadi seorang yang baik. Kebiasaannya, orang yang berlakon sebagai seorang yang baik ini, adalah orang yang jahat. Mana mungkin seorang yang sudah baik, ingin berlakon sebagai seorang yang baik….

Sekiranya orang itu memang benar seorang yang rendah diri, dia tidak berlakon ketika bersama-sama masyarakat. Tetapi, orang yang tinggi diri, terpaksa berlakon supaya disenangi masyarakat. Betulkan? Atau sayakah yang tersilap. Contohnya keperibadian Nabi Muhammad SAW ketika kanak-kanak dan remaja lagi. Beliau sudah digelar al Amin, kerana orang mengenali wataknya yang boleh dipercayai.

Walaubagaimanapun, berlakon sebagai seorang yang baik, adakalanya lebih bagus daripada orang yang terus terang berbuat jahat. Adakalanya juga, ia lebih teruk. Ini kerana orang ramai telah menyangka seseorang itu baik, rupa-rupanya seorang yang jahat. Hakikatnya, kedua-duanya sama sahaja! Dan kedua-duanya adalah jahat.

Saya meletakkan harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beliau tidak berlakon sebagai seorang yang baik, semata-mata untuk memenangi hati rakyat. Kalau anda adalah seorang yang jahat, maka ubahlah supaya menjadi seorang yang baik. Janganlah anda menjadi seorang yang jahat, tetapi berlakon sebagai seorang yang baik. Orang yang ikhlas berkata tidak sama dengan orang yang pandai berkata…..

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

ANTARA RAIS YATIM DAN BLOGGER PEMBELOT NEGARA

Berita semalam telah menyiarkan kenyataan Rais Yatim yang meminta supaya blogger menghentikan daripada menyebarkan berita palsu dan menyentuh peribadi seseorang. Saya yakin beliau sedang “bercakap” dari pihak blogger pembela Negara yang kononnya membela Negara. Ini kerana beliau sendiri memberitahu bahawa sesiapa yang masih berbuat demikian, akan dikenakan di bawah Akta Komunikasi.

Tetapi hakikatnya, bloggers yang mendakwa mereka sebagai pembela Negara lebih teruk memfitnah dan menyerang peribadi seseorang. Semua ini sudah dapat dilihat sendiri. Tengoklah blog-blog yang meletakkan logo pembela Negara, mereka itulah yang menabur berita palsu. Wahai Rais, apa tindakan terhadap mereka?

Di dalam Blog Perakbangkit yang pernah dibuat laporan polis sebelum ini, apa hasil siasatan? Sudah jelas terbukti. Saya ingin membuat satu pepatah Melayu… “Tikus di hujung dunia dapat dilihat, tetapi gajah di hadapan mata, tidak nampak….” Mungkin sengaja dibuat-buat tidak nampak. Hasil daripada pepatah yang disebut, terdapat dua kemungkinan. Samada tikus tersebut terlalu besar atau orang yang melihat itu rabun dekat.

Saya anggap, orang yang melihat tersebut adalah rabun dekat. Dia tidak nampak gajah di hadapan, dan mungkin juga dia buat-buat tidak nampak. Saya tahu, hakikatnya Rais Yatim terasa “sakit” dengan pena-pena yang menyerangnya. Pernah saya tulis sebelum ini, artikel yang menyatakan bahawa “blog” adalah salah satu tentera Allah yang bakal menyebabkan kejatuhan BN.
.
Burung Ababil telah diutuskan oleh Allah untuk menjahanamkan tentera Abrahah. Seekor nyamuk telah membunuh Namrud, seorang raja yang hebat. Laut Mati telah menelan Firaun yang mendakwa dirinya sebagai tuhan…. Dan banyak lagi. Barisan Nasional hari ini bagaimana? Kemungkinan besar, blog-blog inilah tentera Allah di zaman moden, atau lebih dikenali sebagai internet.

Serangan Burung Ababil telah menyebabkan menghancurkan kekuatan Abrahah yang terkenal dengan ketenteraan yang kuat. Tetapi sebelum dia menyerang Kaabah, dia telah merampas harta kabilah yang menjaga Kaabah, lalu dia memanggil ketua kabilah tersebut. Maka datanglah Abu Talib berjumpa Abrahah yang ketika itu berada di sempadan Mekah. Abu Talib berkata kepada Abrahah, “Pulangkan harta-hartaku yang telah engkau rampas!..”

Abrahah terkejut kerana disangkanya Abu Talib akan meminta supaya Kaabah tidak diserang. Tetapi, Abu Talib dilihat mementingkan harta semata-mata. Lalu Abrahah bertanya kepada Abu Talib, .. “Adakah kamu tidak bimbangkan Kaabah sekiranya aku meruntuhkannya?..” Abu Talib menjawab, “Harta yang engkau telah rampas itu adalah kepunyaanku, manakala Kaabah itu adalah kepunyaan Tuhan, Dialah yang akan menjaganya!

Ya, memang benar. Islam itu adalah kepunyaan Allah, dan kita perlu menjaganya kerana Islam itu adalah Agama kita! Sekiranya terdapat musuh-musuh Allah yang berani “mengusik” Islam, maka lihatlah, tentera Allah itu adalah semua makhlukNya, dan selain daripada Allah, semua adalah makhlukNya, termasuk mereka yang degil.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Wednesday, April 15, 2009

MEREKA BERGADUH SESAMA MEREKA

Semenjak kenaikan Najib sebagai Perdana Menteri, kerajaan dilihat agak goyah. Masalah semakin hari semakin menimbun. Orang BN sendiri dilihat tidak meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Najib. Contoh yang dapat kita lihat ialah, MIC cuba untuk “melarikan” diri daripada BN. Begitu juga MCA yang melihat kabinet Najib sebagai pelan rancangan mengukuhkan kroni.

Begitu juga UMNO Johor yang melihat isu Jambatan Bengkok sebagai isu yang kontroversi. Khairi yang menang sebagai Ketua Pemuda “dianaktirikan” oleh Najib sendiri. Dan pelbagai lagi. Kalau sebelum kenaikan Najib, beliau terkenal dengan kes Altantuya, dan kes tersebut masih dianggap misteri sehingga beliau naik sebagai Perdana Menteri. Jelas, namanya kotor di mata dunia.

Adakah kabinet Najib ini tidak tahan lama? Ubat tahan lama yang diturunkan oleh Mahadet sudah habis tarikh luput? Atau apa? Saya teringat juga kisah Perang Khaibar yang telah saya tulis di dalam artikel “MIC minta fasakh daripada BN”, yang menunjukkan realiti perpecahan BN hari ini. Saya juga teringat firman Allah SWT…

Sekiranya kamu rasa perit (menghadapi musuh Allah), mereka juga merasa perit sepertimana kamu rasai (Surah an Nisa : 104)

Kalau sebelum ini Pakatan Rakyat telah dituduh bermacam-macam. Mereka mengatakan Pakatan Rakyat tidak sehaluan. Mereka berkata lagi “PAS terpaksa menggadaikan prinsip mereka semata-mata untuk bergabung dengan orang kafir”. Tetapi segalanya terpalit kembali ke muka mereka.

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, telah diceritakan bahawa di antara pemimpin-pemimpin musyrikin Mekah pernah berlaku pergeseran ketika permulaan Perang Badar. Iaitu Utbah bin Rabi’ah tidak bersetuju orang-orang Musyrikin memerangi Nabi Muhammad SAW. Beliau mengatakan bahawa tindakan memerangi sanak saudara itu adalah satu perkara yang sia-sia dan menimbulkan fitnah.

Tetapi, Abu Jahal juga antara pimpinan besar, menjawab kembali kata-kata tersebut dengan mengatakan bahawa Utbah bin Rabi’ah telah disihir oleh Nabi Muhammad SAW. Keengganan Abu Jahal tersebut, menyebabkan berlakunya peperangan tersebut. Di permulaan perang lagi, Utbah bin Rabi’ah telah terbunuh, dan diakhir peperangan, Abu Jahal sendiri terbunuh.

Hari ini, pergeseran di antara pimpinan BN, sudah pasti akan memberi untung kepada PR. Apakah hasil daripada pertempuran PR dan BN? Ya, sepertimana yang telah diceritakan, kedua-dua pimpinan tersebut, terbunuh di dalam peperangan tersebut. Adakah BN dan segala parti-partinya akan mengalami kekalahan yang teruk selepas ini? Fikirlah sendiri

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

BN BAKAL MENJADI OKU

Sebelum ini kita didengarkan dengan penyingkiran secara “berhikmah” yang telah dilakukan terhadap Khairi. Malang betul, dia sudah memenangi hati pemuda dengan begitu perit. Sudahlah buku tentang sialnya didedahkan di dalam buku tersebut, ditambah pula dengan kes politik wang. Tetapi, dia masih lagi menggagahi untuk memenangi pertarungan tersebut. Dan pertarungan ini tidak menyebelahi Mukhriz al Anak Bapaki.
.

Di dalam kes ini, Khairi yang juga mewakili pemuda telah ditendang daripada kabinet buruk Najib. Apakah implikasinya? Suka untuk saya umpamakan dengan Pakatan Rakyat yang begitu mengutamakan golongan muda. Di dalam Pakatan Rakyat terdapat Unit Amal, Pemuda dan sebagainya. Selain itu, golongan muda dianggap peneraju di dalam sebuah kesatuan.

Malangnya, Najib mengatakan bahawa UMNO dianggotai oleh orang-orang muda, tetapi hakikatnya mereka adalah orang tua yang tidak mengaku tua. Selain itu, golongan mahasiswa turut menentang kenaikan Najib sendiri, apatah lagi kewujudan UMNO dan BN yang dilihat semakin tidak relevan.

Sedikit pemahaman yang ingin saya berikan kepada BN, supaya mengutamakan golongan muda, yang benar-benar muda. Apa yang dilihat, pemuda dan remaja BN lebih suka berfoya-foya bersama perempuan, mensia-siakan zaman mudanya dan sebagainya. Perlukah saya buktikannya? Hakikatnya orang yang tidak tahu perkembangan sahaja yang akan mempersoalkan begitu.

Mari kita mengkaji bagaimana peri pentingnya golongan muda di zaman Nabi Muhammad SAW. Pembesar-pembesar Quraisy, tidak dapat menerima kemunculan seorang muda (Nabi Muhammad SAW) yang dianggap sebagai seorang yang cuba menghapuskan pengaruh mereka. Mana tidaknya, ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda SAW bertentangan dengan kepentingan mereka.

Oleh itu, Nabi Muhammad SAW mendidik anak-anak muda supaya dapat menerima ajaran Islam, dan meninggalkan ajaran sesat nenek moyang mereka. Kalau selama ini ajaran UMNO itu dianggap sesat, maka tinggalkanlah ajaran nenek moyang ini. Berubahlah mulai sekarang. Nabi Muhammad SAW menerima wahyu ketika umurnya 40 tahun dan masih dianggap pemuda.

Antara orang muda yang mengikut kebenaran ajaran Baginda ialah Abu Bakar as Siddiq lebih muda 3 tahun daripada Baginda SAW, Saidina Umar al Khattab 27 tahun. Selain daripada itu seperti Saidina Uthman, Saidina Ali, Abdullah bin Mas’ud, Abdul Rahman Auf, al Arqam bin Abi al Arqam, Sa’id bin Zaid, Mus’ab bin Umair, dan ramai lagi.

Oleh itu, kehilangan golongan muda dianggap sebagai satu kecacatan besar di dalam sebuah kesatuan. Dan hari ini BN dilihat seperti itu. Golongan muda mereka entah ke mana. Bukti yang paling jelas ialah penyingkiran Khairi dan menyebabkan mereka kehilangan satu jentera yang bakal mewarisi perjuangan mereka. Maka, Siapakah lagi yang akan mewarisi BN?

Kita bukan lahirkan orang yang umurnya muda, tetapi otaknya sudah tua. Ataupun orang yang muda, tetapi amalannya ibarat lelaki awal remaja. Kita bukannya mempunyai orang yang muda semata-semata, tetapi kita melahirkan generasi pemuda yang bakal mewarisi perjuangan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah