Wednesday, March 11, 2009

LAUNGAN TAKBIR MAMPU MENGHALAU SYAITAN


Biasa kedengaran semasa ceramah umum, laungan takbir “Allahuakbar”. Memang menggetarkan hati sesiapa yang mendengarnya. Namun, disebalik kalimah ini terkandung rahsia yang begitu besar. Ia mampu menghalau syaitan, sehingga mereka lari lintang pukang apabila mendengarnya.

Itulah kalimah pertama ketika azan dilaungkan. Sehinggakan, apabila azan kedengaran, syaitan melarikan diri, dan menyelamatkan diri masing-masing kerana ia sangat menyakitkan mereka. Bahkan hati mereka bergetar ketakutan apabila mendengar laungan tersebut. “Sangat menakutkan” kata mereka.

Selain itu, ia membangkitkan semangat umat Islam yang beriman kepada Allah SWT, yang tiada kuasa untuk membandingiNya. Sekiranya seseorang itu lesu, lemah tak bermaya, cubalah laungkan azan atau takbir untuk menghilangkan penyakit syaitan tersebut.

Memang benar firman Allah SWT di dalam Surah an Nas, bahawa syaitan terdiri dari kalangan jin dan manusia. Apabila dilaungkan azan, ramai manusia-manusia ini yang tidak menyukainya. Apabila azan subuh dilaungkan, rasa benci terdetik di hati. “Buat bising sajala!”. Sekiranya azan Zohor pula menganggu mereka untuk membuat kerja dan begitulah seterusnya.

Tetapi, ketika ceramah umum diadakan, golongan-golongan syaitan di kalangan manusia ini merasa panas punggung apabila mendengar laungan tersebut. Terus sahaja dimaki dan dikutuk perbuatan tersebut dengan melabelkan bermacam-macam. Tetapi itulah hakikatnya.

Contohnya, apabila laungan azan di dalam televisyen kedengaran, terus dikatakan “menyibuk sahaja azan ni.. nak tengok TV pun tak senang” Tidakkah mereka tahu, ia adalah panggilan untuk berjumpa Allah SWT. Sultan atau raja manakah yang menjemput anda 5 kali sehari untuk bertemu dengannya? Bukankah Allah SWT adalah Tuhan bagi segala sultan dan raja?

Itulah sebabnya, menderhakai Allah SWT adalah dosa yang sangat terkutuk. Bagaimana pula menderhakai pemimpin? Adakah ia dianggap derhaka? Menderhakai pemimpin kerana tidak mahu menderhakai Allah itulah yang kebenaran. Apa gunanya sekiranya kita tidak mahu menderhakai pemimpin sedangkan Allah SWT, Tuhan bagi pemimpin tersebut diderhakai?

Selain itu, Al Quran yang merupakan Kalam Allah SWT juga mampu memanaskan mereka. Sehinggakan dalam satu hari, hendak membaca al Quran pun payah. Walaupun di dalam solat diwajibkan membaca al Fatihah, tetapi, mereka tidak pun mendirikan solat! Apabila mendengar bacaan al Quran, terus sahaja menukar siaran dan sebagainya.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

1 comment:

  1. Menderhakai pemimpin kerana tidak mahu menderhakai Allah itulah yang kebenaran.
    Macamana tu?
    Kalau tak pernah kenal Allah macamana nak menderhakainya?

    ReplyDelete